Konsep 'healing' menjadi kata kunci. Ia tidak muncul sekadar trend, tetapi sebagai refleksi pasca-pandemik ketika dunia menuntut manusia mencari semula ruang tenang dalam diri. Agak sukar untuk dijelaskan, tentang bagaimana muzik menyentuh jiwa manusia, menyembuhkan luka yang tidak kelihatan dan menenangkan resah yang tidak terucap. Dari ilham itu, lahirlah 'Healing Night 2026', sebuah konsert berskala besar yang menjadikan muzik sebagai medium penyembuhan diri, bukan hanya hiburan.
Bertempat di Stadium Merdeka Kuala Lumpur pada 24 Januari 2026, acara ini menjanjikan malam yang sarat emosi, berjiwa dan penuh kehangatan, dipenuhi suara-suara yang telah menjadi penawar dalam kehidupan ramai: Ella, Anuar Zain, Dayang Nurfaizah, serta dua bintang dari seberang, Kangen Band dan Lyodra. “Selepas pandemik, kita melihat masyarakat dunia memilih fasa pemulihan atau healing dengan pelbagai cara. Dan salah satu cara terbaik ialah melalui terapi muzik,” ujar Herman Aziz, Ketua Pegawai Eksekutif Yumeca Sdn Bhd, penganjur utama acara ini.


Herman menjelaskan, Healing Night 2026 adalah kolaborasi tiga entiti kreatif yang terdiri dari Kembar Nusantara Sdn Bhd sebagai penganjur utama, Creative Page Sdn Bhd untuk produksi, dan Yumeca Sdn Bhd bagi strategi, pemasaran serta penglibatan pengguna. “Kami mahu mencipta pesta yang bukan hanya menggembirakan mata dan telinga, tetapi yang boleh dirasai terus ke hati,” tambahnya.Lebih daripada konsert, Healing Night 2026 adalah perayaan semangat positif. Ia membawa mesej: bahawa hiburan juga mampu menjadi terapi, jika disampaikan dengan kejujuran dan niat baik.
Gabungan nama-nama besar dalam dan luar negara memberi dimensi baharu kepada konsep penyembuhan melalui muzik. Ella, sang ratu rock yang tak pernah kehilangan kemilau; Anuar Zain, simbol romantisme dan kelembutan suara; Dayang Nurfaizah, penyanyi bersuara magis yang menjunjung rasa. Bersama mereka, dua ikon dari Indonesia, Kangen Band dan Lyodra, melengkapkan misi menyatukan dua bangsa serumpun dalam satu harmoni.


“Inteam pernah menyatukan kita melalui nasyid, dan kini giliran suara-suara ini menyatukan kita melalui rasa,” ujar Herman. “Setiap penyanyi membawa frekuensi emosi tersendiri. Ada yang lembut, ada yang berapi, tetapi semuanya menuju satu tujuan iaitu pemulihan diri.” Menjadi antara wajah utama konsert ini, Ella meluahkan keterujaannya untuk kembali ke pentas yang penuh sejarah dengan tema yang begitu dekat di hatinya.
“Saya menyifatkan konsep Healing Night 2026 sebagai sesuatu yang segar dan penuh makna dengan situasi masa kini. Konsert bukan hanya tentang hiburan, ia boleh menjadi terapi yang baik untuk melepaskan tekanan dan mengembalikan tenaga positif. Saya sangat tidak sabar untuk menghiburkan anda bersama rakan-rakan artis lain seperti Anuar Zain, Dayang, Kangen Band dan Lyodra,” ujar Ella, penuh semangat. Suaranya bukan sekadar janji persembahan, tetapi seperti ajakan lembut untuk kita datang, duduk, dan membiarkan muzik menyapu debu dari jiwa yang letih.




Tidak hanya persembahan pentas, penganjur memperluas konsep healing ke dalam seluruh pengalaman acara. Rekabentuk pentas akan menggambarkan perjalanan emosi manusia dari gelap ke terang, dari keresahan menuju damai. Penonton juga boleh menikmati “healing tents” dan “relaxation zones”, ruang santai dengan suasana aromaterapi, cahaya lembut dan muzik instrumental yang menenangkan, direka khas untuk memberi ruang pernafasan di tengah hiruk-pikuk konsert.
“Healing Night 2026 bukan hanya pesta bunyi, tapi pengalaman menyeluruh. Kami mahu penonton pulang dengan hati yang lebih ringan,” tambah Herman. Acara ini turut mendapat sokongan penuh daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), yang melihat Healing Night 2026 sebagai salah satu usaha memperkukuh hubungan budaya serantau menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).
Menurut Dato’ Shaharudin, Ketua Setiausaha MOTAC, “Healing Night 2026 hadir tepat pada masanya ketika kita sedang mengorak langkah menuju VM2026. Acara seperti ini memainkan peranan penting dalam menjadikan Malaysia destinasi pelancongan yang meriah dan kaya dengan kepelbagaian budaya, di mana muzik, seni dan masyarakat bersatu dalam keharmonian.”



Bayangkan malam Januari di bawah langit Kuala Lumpur, Stadium Merdeka bercahaya seperti jantung yang berdegup untuk bangsa. Suara Anuar Zain yang tenang, lantunan vokal Dayang yang menusuk jiwa, dan gema Ella yang penuh keberanian, bertaut dengan nostalgia cinta dari Kangen Band dan pesona muda Lyodra. Semua berpadu dalam satu malam yang dicipta untuk merawat.
Bagi Herman dan seluruh pasukan Yumeca, Healing Night bukan hanya acara tahunan. Ia adalah gerakan jiwa, percubaan untuk membawa masyarakat kembali mengenal kedamaian dalam bentuk paling universal iaitu muzik. “Kami mahu orang datang bukan hanya untuk menonton, tetapi untuk merasakan sesuatu. Untuk pulang dengan hati yang lebih lapang,” katanya menutup bicara.
Tiket rasmi akan mula dijual di www.ticket2u.com.my dengan harga bermula RM190. Peminat dinasihatkan untuk mendapatkan tiket lebih awal agar tidak terlepas peluang menyertai malam penuh magis ini. Kerana mungkin, di antara sorotan lampu dan gema nyanyian, anda akan menemui sedikit ketenangan yang telah lama hilang.

