oleh: zizi hashim
02 Mar
02Mar

Syawal sentiasa hadir bersama pelbagai rasa: ada yang pulang dengan senyum lebar, ada yang menyeka air mata dalam diam. Tahun ini, Rocketfuel Entertainment memilih untuk merakam seluruh spektrum emosi itu menerusi pelancaran tujuh lagu raya yang dihimpunkan dalam sebuah EP khas sempena Ramadan dan Syawal 2026.

Mengangkat semangat Astro Salam Ramadan 2026, “Bila Bersama, Lagi Jadi”, inisiatif ini menyatukan karya berbeza genre dan penceritaan, daripada rentak rancak M-Pop hingga balada yang meruntun jiwa. Ketujuh-tujuh lagu tersebut bergerak dalam satu “universe” kreatif tersendiri, saling memberi bayangan antara satu sama lain, membentuk naratif raya yang berangkai dan kohesif.

Rindu Raya – ALPHA
Dilancarkan pada 21 Februari 2026, “Rindu Raya” nyanyian ALPHA memperlihatkan sisi lebih tenang kumpulan itu. Bernuansa pop sederhana, lagu ini mengangkat tema kerinduan terhadap keluarga dan kampung halaman.

“Lagu ini memang berbeza daripada kebiasaan kami. Kami mahu tonjolkan sisi yang lebih tenang dan penuh perasaan. Rasa rindu pada keluarga itu sangat universal, dan kami percaya ramai boleh relate dengan ‘Rindu Raya’,” ujar ALPHA. Sehingga kini, lagu tersebut telah meraih lebih 200,000 tontonan di saluran YouTube Rocketfuel Network.

Kampung Kita – Wani Kayrie
Wani Kayrie kembali memeriahkan musim perayaan dengan “Kampung Kita”, kesinambungan kepada fenomena “Cak Cak Cekuk”. Lagu ini memancarkan keceriaan, lengkap dengan melodi yang mudah melekat di ingatan.

“Saya suka lagu raya yang fun dan buat orang rasa hendak menari. ‘Kampung Kita’ ada vibe itu, tapi dalam masa yang sama ada kisah manis tentang perasaan rindu bila hendak jumpa orang yang kita suka,” kata Wani.

Raya Macam Raya – Hael Husaini x ALPHA
Kolaborasi antara Hael Husaini dan ALPHA menerusi “Raya Macam Raya” membawa tenaga segar M-Pop. Dicipta oleh Hael bersama Iqie Hugh, lagu ini menonjolkan keterujaan membuat persiapan Syawal.

“Apabila menjelang raya, kita memang mahu semuanya lengkap. Lagu ini menggambarkan semangat itu, apabila persiapan cukup dan kita bersama orang tersayang, barulah terasa kemeriahan sebenar,” jelas Hael.

Restu Raya – Nadeera
Nadeera pula tampil dengan “Restu Raya”, lagu yang sarat melodi mudah diingati dan mesej kebersamaan. “Saya mahu lagu ini menjadi lagu yang mudah dinyanyikan oleh semua, tidak kira usia. Raya itu tentang kebersamaan, dan saya harap lagu ini dapat menyatukan semua,” jelasnya.

Lagu Raya Untukmu – Hael Husaini
Hael turut menghadiahkan single solo berjudul “Lagu Raya Untukmu” sebagai tanda penghargaan buat peminat setia. “Lagu ini adalah hadiah istimewa untuk peminat yang sentiasa menyokong saya saban tahun,” katanya ringkas namun penuh makna.

Senyum Gugur Di Hujung Doa – Dayang Nurfaizah
Tidak semua Syawal dipenuhi tawa. “Senyum Gugur Di Hujung Doa” oleh Dayang Nurfaizah, hasil ciptaan Hael Husaini dan Iqie Hugh, hadir sebagai balada melankolik tentang kerinduan terhadap insan tersayang yang telah pergi.

“Setiap kali raya, pasti ada yang terasa kehilangan. Lagu ini saya nyanyikan dengan hati yang tulus buat mereka yang merindui insan tersayang. Semoga ia menjadi teman dan penenang jiwa,” kata Dayang. Lagu ini akan dilancarkan di platform penstriman pada 6 Mac 2026.

Duit Raya – Sharul Kamal & Mierul Aiman
“Duit Raya” nyanyian Sharul Kamal bersama Mierul Aiman menyentuh realiti masyarakat masa kini. Dengan lirik pembuka “ada duit takda duit, raya tetap raya”, lagu ini mengingatkan bahawa Aidilfitri diraikan dengan keikhlasan dan kebersamaan.

“Kami mahu lagu ‘Duit Raya’ jadi peringatan yang ringan tapi bermakna. Walau apa pun keadaan, raya tetap tentang keluarga dan kasih sayang,” ujar Sharul. “Elemen rap dalam lagu ini memberi sentuhan moden. Kami hendak sampaikan mesej positif dalam cara yang santai dan fresh,” tambah Mierul.

Menurut Ketua Rocketfuel Entertainment, Sher Leen Wee, pendekatan tahun ini memberi identiti jelas kepada setiap karya. “Kami mahu setiap lagu raya tahun ini membawa identiti yang jelas. Ada yang ceria, ada yang reflektif, dan ada juga yang moden. Inilah realiti masyarakat kita yang berbeza latar belakang dan rasa, tetapi bersatu apabila tibanya Syawal,” katanya.

Gabungan tujuh lagu ini membentuk sebuah landskap raya yang luas. Penuh warna, memori dan pengharapan. Rocketfuel memilih untuk merayakan Syawal bukan hanya dengan irama, tetapi dengan cerita yang dekat dengan kehidupan sebenar.

Comments
* The email will not be published on the website.