oleh: zizi hashim
19 Nov
19Nov

Seulas harapan seolah berputik semula ketika Exists mengumumkan bahawa pentas mereka akan kembali menyala dengan nuansa yang lebih mewah. Sebuah malam yang dijanjikan istimewa, intim, elegan dan dirangka penuh ketelitian demi peminat yang setia sejak awal perjalanan kumpulan legenda ini. Pengumuman mengenai penundaan EXISTS PREMIUM LIVE @ PJ daripada 4 Oktober ke 20 Disember 2025 membawa nada kejujuran: mereka ingin melahirkan sebuah persembahan yang benar-benar premium, selaras dengan judul yang dipilih.

Konsert itu bukan lagi acara rutin, tetapi sebuah malam yang diperhalusi, dirangka dengan ketelitian teknikal dan emosi, supaya setiap detik menjadi pengalaman yang terpahat lama. Sean Ng daripada JioBuddy menjelaskan bahawa keputusan ini lahir daripada kesepakatan Exists sendiri. Semua ingin memastikan konsert kali ini menjadi persembahan yang memancarkan nilai eksklusif dari segi muzik, penceritaan, interaksi hingga sentuhan sentimental yang tidak pernah diabadikan dalam konsert-konsert mereka sebelum ini.

Musa mengungkapkan konsep premium itu sebagai sebuah malam lebih dekat, lebih intim, lebih “up close and personal”, dengan empat segmen penceritaan yang membedah momen sentimental sepanjang perjalanan muzik Exists. Melalui sesi sembang santai, peminat bakal mengetahui kisah di sebalik lagu-lagu malar segar: bagaimana ia tercipta, perasaan yang mengiringi proses rakaman, serta kenangan yang tetap hidup dalam jiwa para anggota.

Along Exists menyatakan keyakinannya terhadap sutradara konsert, Jennifer Thompson, yang dikenali berani mencipta pengalaman pentas bernilai seni tinggi. Bersamanya, Exists ingin mencambahkan perasaan premium bukan saja melalui susunan muzik tetapi juga kehangatan cerita dan interaksi. Menurut Ajai, malam itu akan menjadi ruang istimewa yang belum pernah dihadirkan kepada peminat. Ia bukan hanya kemewahan visual dan audio, tetapi kemewahan jiwa, sebuah pertemuan di mana peminat dan pemuzik berkongsi sejarah yang sama.

Sebagai tanda penghargaan mendalam, Exists mencatat sejarah baharu dengan menawarkan dua hadiah eksklusif kepada peminat bertuah. Along menyerahkan gitar Manuel Rodriguez yang merakamkan karya seperti Setanggi Syurga, Salam Rindu dan dimain sewaktu Studio Kool. Hadiah kedua pula ialah set dram PDP CenterStage yang disumbangkan JS Music, sebuah nadi ritma yang bakal menjadi kenangan peminat sehingga bila-bila.

“Untuk menjadi pemenang, ikutlah perjalanan kami sampai ke pentas JioSpace 20 Disember nanti,” ujar Ujang, penuh keterujaan. Penundaan tarikh dianggap keuntungan waktu bagi Exists, ruang tambahan untuk memperhalusi sistem bunyi, susunan muzik dan kelancaran teknikal. Mereka mahu peminat merasai pesona premium yang autentik, sesuai dengan dedikasi mereka sebagai pemuzik yang sudah tiga dekad mewarnai industri.

Ezad menjelaskan bahawa Exists menghargai setiap wang, masa dan tenaga peminat. Justeru, persembahan ini dirancang sebagai malam paling mewah mereka pada tahun 2025 sebelum menyambung siri konsert tahun hadapan.

Dari sisi penganjur, JioBuddy percaya sepenuhnya kepada piawaian Exists, sebuah kumpulan yang konsisten melahirkan karya evergreen sejak awal 1991. Mereka memberi jaminan konsert ini akan menampilkan standard premium: dari permainan muzik, hingga audio, hingga pengalaman peminat sendiri.Sebagai bonus tambahan, 100 peminat bertuah akan berpeluang bergambar secara peribadi dengan setiap anggota Exists.

Tiket kategori Premium (RM588), VIP (RM488) dan Diamond (RM368) boleh diperoleh melalui www.jiotix.asia, dengan kuota Diamond ditambah atas permintaan tinggi. Semua tiket yang telah dibeli kekal sah untuk tarikh baharu.Peminat yang ingin mendapatkan harga istimewa boleh memilih diskaun bundle korporat iaitu 20% untuk 30 tiket, 30% untuk 50 tiket, dan 40% untuk 100 tiket. Peluang cabutan bertuah pula mengikut kategori:
• Premium — 3 peluang
• VIP — 2 peluang
• Diamond — 1 peluang

Malam 20 Disember 2025 dijanjikan sebagai detik terakhir Exists menutup tahun dengan elegi mewah, sebuah pertemuan jiwa yang memadukan nostalgia, cinta dan muzik yang terus relevan merentas zaman.

Comments
* The email will not be published on the website.