oleh: zizi hashim
15 Aug
15Aug

Sebagai peminat karya dan legasi Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, berita penangguhan Konsert Legasi P. Ramlee ke tahun 2026 terasa seperti satu penantian yang berpanjangan. Namun, ia bukanlah penangguhan yang sia-sia. Menurut pihak penganjur, langkah ini adalah sebahagian daripada strategi untuk menaik taraf pementasan menjadi sebuah persembahan berskala nasional, seiring dengan pengaruh luar biasa nama P. Ramlee yang merentasi generasi.

Konsert ini pada asalnya dijadualkan berlangsung pada 20 September 2025, menampilkan barisan artis tersohor tanah air yang akan menghidupkan kembali karya-karya agung seniman lagenda itu. Namun, keputusan untuk menangguhkan acara dibuat demi memastikan setiap elemen produksi dari susunan muzik, pencahayaan, rekaan pentas, hinggalah kepada naratif persembahan mencapai tahap terbaik.

“Kami tidak lagi melihat Konsert Legasi P. Ramlee sebagai sekadar persembahan satu malam, tetapi sebagai titik tolak untuk membina jenama budaya nasional yang mampan. Dengan barisan pemuzik orkestra, artis terkemuka dan sokongan industri kreatif, langkah ini membolehkan kami memperluas pengaruh dan ruang kepada penglibatan masyarakat dan rakan korporat,” kata Dato’ Khairul Anwar Salleh, Pengarah Eksekutif TanahAir Films.

“Dari pentas konsert ke medan seni budaya, festival ini memberi ruang kepada kami untuk membawa semula roh dan semangat P. Ramlee dalam pelbagai dimensi. Saya melihat peluang ini untuk memperluaskan maksud legasi itu sendiri. Tan Sri P. Ramlee bukan sekadar seniman, beliau mewakili nilai, semangat zaman, suara bangsa dan pemikir zaman yang berani menyentuh isu, nilai dan rasa. Pendekatan baharu ini akan menjadikan legasi beliau lebih dekat dengan generasi masa kini,” ujar Adlin Aman Ramlie, Pengarah Kreatif Festival dan salah seorang peneraju Projek Perdana P. Ramlee.

Bukan mudah membina sebuah persembahan yang benar-benar layak memanggil namanya sebagai Legasi. Penangguhan ini memberi ruang untuk lebih banyak penyelidikan, latihan intensif, dan penambahan elemen visual yang mampu membawa penonton seolah-olah kembali ke zaman kegemilangan Studio Jalan Ampas. Meski penantian ini memerlukan kesabaran, hasilnya kelak akan membayar semula setiap detik yang ditunggu. Tahun 2026 bakal menjadi pentas yang bukan sahaja menghidupkan semula karya P. Ramlee, tetapi juga menyatukan hati rakyat Malaysia dalam satu alunan seni yang agung persis kata-kata P. Ramlee sendiri, “Hidup takkan indah tanpa seni, seni takkan kekal tanpa jiwa.”

TanahAir Films menyampaikan penghargaan mendalam kepada semua penaja, rakan strategik dan media yang setia bersama sejak awal. Penangguhan ini, bagi mereka, adalah keberanian untuk memastikan festival kelak benar-benar meninggalkan gema yang berpanjangan. Kepada pemegang tiket, pihak Ticket2U akan menghubungi dalam tempoh tiga minggu bagi urusan penukaran tarikh, naik taraf atau bayaran balik. Segala perkembangan akan dikongsi di laman rasmi serta media sosial.

Comments
* The email will not be published on the website.