Sesekali, hadir sebuah malam yang bakal menjadi ruang waktu, dan dalam masa yang sama berfungsi sebagai cermin memantulkan semula roh zaman silam, lalu memanggil kita kembali kepada sesuatu yang hakiki: akar, jiwa dan asal usul seni kita. Pada malam tanggal 20 September 2025 kelak, satu pengalaman agung bakal mengalir dari pentas Mega Star Arena Kuala Lumpur.
Bukan semata-mata sebuah konsert, tetapi ritual jiwa bernama Konsert Legasi P. Ramlee. Sebuah persembahan berskala besar yang dicipta bukan dengan kemegahan semata, tetapi dengan kasih yang tekun dan penghormatan yang luhur terhadap seorang tokoh yang pernah membentuk wajah seni dan budaya tanah air, Tan Sri P. Ramlee.
Tidak hadir secara tiba-tiba. Ia adalah sebahagian dari sebuah pelan jangka panjang yang dinamakan Projek Perdana P. Ramlee, sebuah inisiatif yang digerakkan oleh syarikat produksi tempatan, Tanahair Films Sdn. Bhd., hasil gabungan idealisme 2 sosok berpengaruh: Dato’ Khairul Anwar Salleh dan Adlin Aman Ramlie. Ditubuhkan pada Mac 2024, syarikat ini lahir dengan tekad yang murni iaitu mempersembahkan kandungan yang bukan sahaja berkualiti, tetapi mampu mengangkat semula martabat seni tanah air ke dimensi yang lebih unggul dan merentasi generasi.
Apa yang sedang dibangunkan oleh mereka bukan sekadar produk hiburan, tetapi satu senibina warisan. Dalam payung Projek Perdana ini, lahir pelbagai cabang kandungan: filem biopik dalam format trilogi, dokumentari, program TV, pendidikan komuniti, serta kandungan digital yang diatur rapi sebagai jambatan antara masa lalu dan masa depan. Ia adalah usaha menyeluruh untuk memperkenalkan P. Ramlee sebagai institusi budaya yang masih bernyawa, bukan hanya potret klasik yang digantung dalam galeri kenangan.
Namun, konsert ini adalah permata utamanya. Disusun dengan roh persembahan yang sinematik, teatrikal dan penuh dramatika, ia menjanjikan pengalaman imersif yang menyelusup ke dalam hati penonton. Gabungan elemen klasik, kontemporari dan popular dilakar untuk mencipta suasana yang bukan sahaja nostalgik, tetapi juga segar dan memukau.
Empat orang maestro muzik negara yang terdiri dari Dato’ Ramli MS, Datuk Mokhzani Ismail, Helen Yap dan Michael Veerapen telah dipilih untuk mengemudi 60 pemuzik orkestra dalam menyusun lebih 30 lagu P. Ramlee dalam bentuk medley, duet dan solo. Namun bukan sekadar gubahan semula, mereka akan menyuntik sentuhan baharu yang menghidupkan kembali komposisi lama dengan tekstur emosi yang lebih dalam, tetapi tetap memelihara kemurnian asalnya.
Barisan penyanyi yang menghiasi pentas juga bukan calang-calang. Gabungan legenda dan bintang masa kini seperti Dato’ Jamal Abdillah, Datuk Zainalabidin, Ella, Liza Hanim, MimiFly dan Nadeera, semuanya akan menyalurkan penghormatan peribadi mereka terhadap P. Ramlee menerusi nyanyian yang bersifat intim dan ekspresif, menjadikan malam itu sarat dengan getaran rasa.
Sebagai penambat kenangan, 3 tokoh impersonator tersohor iaitu P. Radhi, Danie Hasbullah dan Musly Ramlee akan memegang peranan khas. Mereka akan membawa kita melintasi lorong nostalgia, membangkitkan kembali gaya, suara dan aura P. Ramlee dengan interpretasi yang bukan sekadar menyerupai, tetapi menghidupkan semula keagungan seniman agung itu dengan cara yang meresap dan kontemporari.
Konsert ini bukan sekadar persembahan, ia adalah resit sosial, lambang bahawa negara ini masih menghargai budayanya. Ia disokong oleh institusi penting seperti Arkib Negara Malaysia, FINAS, Kementerian Komunikasi, Kementerian Perpaduan Negara serta MOTAC. Ia adalah bukti bahawa warisan budaya kita tidak dibiarkan mati, tetapi disemat kembali dalam arus semasa dengan kerjasama strategik antara industri dan kerajaan.
Lebih menarik, konsert ini juga merupakan kesinambungan kepada kejayaan Legasi Podcast, projek audio yang telah pun menginjak usia setahun dan telah membina komuniti pendengar yang rindu pada naratif Melayu yang luhur dan bermakna.
“Di mana kan ku cari ganti, serupa denganmu.” Bait syahdu yang pernah dilantunkan oleh P. Ramlee kini menjelma sebagai mantera kolektif. Ia bukan sekadar rangkap lirik, tetapi pengakuan jujur bahawa bakat seperti beliau tidak mungkin dapat dicari ganti dan justeru itu, perlu dirawat, diraikan, dan dipersembahkan kembali kepada masyarakat dengan penuh cinta dan hormat.
Dato’ Khairul Anwar Salleh pernah berkata bahawa seni yang agung tidak seharusnya tinggal sebagai pusaka bisu. Ia mesti dihidupkan kembali dengan semangat, dengan pendekatan segar, dan yang terpenting, dengan jiwa.
Tiket konsert mula dijual pada 27 Jun 2025 melalui www.ticket2u.com.my. Jangan biarkan malam penuh makna ini berlalu sebagai cerita yang hanya kita dengar daripada orang lain. Hadirlah! Rasakan! Hayati sendiri betapa seni itu mampu menyatukan meski kita datang dari zaman yang berbeza. Kerana legasi yang sebenar tidak pernah menjadi usang, ia cuma menunggu untuk digilap semula, agar cahayanya kembali menyinari wajah bangsa.