Sorakan kemenangan di stadium sering kedengaran indah bagi pencinta bola sepak. Namun apabila minat yang sama mula mengambil terlalu banyak ruang dalam sebuah perkahwinan, gema sorakan itu boleh bertukar menjadi bunyi yang perlahan-lahan merenggangkan dua hati yang pernah berjanji untuk melangkah seiring.
Realiti itulah yang menjadi nadi kepada Offside Husband, drama bersiri mikro terbaharu yang menggabungkan elemen komedi romantik, konflik rumah tangga dan dunia bola sepak dalam sebuah penceritaan yang dekat dengan kehidupan masyarakat hari ini. Dibawakan oleh TV3 menerusi Drama Sangat dan Tonton, naskhah ini mengangkat persoalan yang jarang dibicarakan: sejauh mana seseorang sanggup mempertahankan minat dan cita-citanya tanpa mengorbankan insan yang paling dicintai?

Mempertaruhkan Imran Aqil sebagai Hafiz dan Elfira Loy sebagai Alya, drama ini membawa penonton menyelami kehidupan pasangan suami isteri yang kelihatan bahagia dari luar, namun sedang berdepan ujian yang semakin membesar dari hari ke hari. Selepas empat tahun mendirikan rumah tangga, Alya masih menaruh harapan untuk menimang cahaya mata yang mampu melengkapkan kehidupan mereka. Namun impian tersebut sering terhalang apabila Hafiz terlalu tenggelam dalam dunia yang paling dicintainya iaitu bola sepak.
Sebagai seorang editor sukan, Hafiz bukan sekadar meminati bola sepak. Sukan itu seolah-olah menjadi sebahagian daripada identitinya. Ketika dunia sedang bersiap menyambut kemeriahan Piala Dunia 2026, fokus Hafiz semakin tertumpu kepada kerjaya sehingga banyak perkara penting dalam kehidupan peribadinya mula terabai. Apa yang dianggap sebagai dedikasi terhadap pekerjaan akhirnya menjadi punca kepada keretakan yang perlahan-lahan muncul dalam hubungan mereka.
Dalam masa yang sama, tekanan daripada keluarga turut menambah beban yang sedia ada. Ibu Alya tidak lagi mampu menyembunyikan keinginannya untuk menimang cucu, manakala Alya sendiri semakin penat menunggu perubahan yang diharapkan daripada suaminya. Ketika hubungan mereka mula diuji oleh harapan yang tidak kesampaian, satu lagi cabaran muncul dalam kehidupan Hafiz.

Kemunculan Elin lakonan Ariana Yusof sebagai editor baharu di tempat kerja membuka lembaran konflik yang lebih rumit. Bukan sahaja menjadi pesaing kepada Hafiz dalam merebut jawatan Ketua Editor, malah hubungan profesional yang terjalin antara mereka mula menimbulkan salah faham dalam diri Alya. Apa yang pada awalnya sekadar urusan kerja perlahan-lahan menjadi bayang-bayang yang mengganggu keharmonian rumah tangga mereka.
Ironinya, ketika hubungan mereka berada pada tahap paling rapuh, Alya menerima berita yang selama ini dinantikan. Dia akhirnya disahkan hamil. Namun berita yang sepatutnya membawa kebahagiaan itu hadir ketika pelbagai konflik sedang menghimpit kehidupan mereka. Saat itulah Hafiz terpaksa berdepan persoalan paling besar dalam hidupnya — mampukah dia menjadi suami, bakal bapa dan individu yang berjaya dalam kerjaya pada masa yang sama?
Apa yang menjadikan Offside Husband menarik bukan sekadar konflik yang dibawakan, tetapi cara penceritaannya mengimbangi humor dan emosi. Ada momen yang mengundang ketawa, ada adegan yang menyentuh hati, dan ada juga situasi yang membuatkan penonton melihat kembali realiti kehidupan mereka sendiri. Drama ini mengingatkan bahawa dalam sesebuah hubungan, cabaran terbesar bukanlah kekurangan cinta, tetapi bagaimana dua insan memilih untuk terus saling memahami ketika berdepan tekanan hidup yang berbeza.

Di sebalik latar dunia bola sepak yang penuh semangat dan persaingan, Offside Husband sebenarnya bercerita tentang pengorbanan, komunikasi dan keberanian untuk meletakkan keluarga sebagai keutamaan. Kerana kadangkala, kemenangan yang paling bermakna bukanlah yang diraikan di atas padang, tetapi yang berjaya dipertahankan di dalam rumah sendiri.
Jangan lepaskan peluang menyaksikan Offside Husband setiap hari pada jam 12 tengah hari dan 8 malam secara eksklusif di TikTok Drama Sangat dan Tonton. Sebuah kisah yang ringan untuk ditonton, tetapi sarat dengan makna untuk direnungkan.