oleh: zizi hashim
20 May
20May

Bukan semua manusia pandai membuka hati selepas pernah kecewa. Ada yang memilih untuk diam, menjauh dan mempersoalkan setiap rasa yang hadir kerana takut luka lama kembali berulang. Dari ruang emosi yang rapuh itulah Zynakal kembali dengan single terbaharu berjudul "NIAT", sebuah karya yang menyelami keresahan tentang keikhlasan, ketakutan untuk jatuh cinta dan dilema mempercayai seseorang dalam dunia hubungan moden hari ini.

Dikenali sebagai antara figura muzik urban tempatan yang memiliki identiti tersendiri, Zynakal sekali lagi mempertaruhkan penulisan lirik yang dekat dengan realiti generasi muda. NIAT membawa pendengar menyelami konflik seseorang yang mula mempersoalkan maksud sebenar sebuah hubungan: adakah cinta itu benar-benar ikhlas, atau sekadar ruang sementara untuk mengisi kekosongan hati.

Melalui bait lirik seperti: “apa niat dalam hati, benarkah aku kau cari, atau cuma mahu isi kekosongan dalam hati” lagu ini menggambarkan perasaan manusia yang mahu dicintai tetapi pada masa sama takut untuk terlalu rapat kerana trauma dan pengalaman lalu yang masih menghantui diri. Namun di situlah kekuatan sebenar Zynakal sebagai seorang pengkarya. Dia tidak menulis tentang cinta yang sempurna, tetapi tentang rasa-rasa yang sering gagal dijelaskan manusia dalam kehidupan sebenar: rasa takut, curiga dan kerinduan untuk difahami.

Sebelum dikenali sebagai penyanyi, Zynakal terlebih dahulu membina nama sebagai komposer dan penerbit rakaman menerusi beberapa lagu popular seperti "Sabar" nyanyian Ismail Izzani, "Selamat Tinggal Sayang" oleh Haqiem Rusli serta "Terasa Cinta" nyanyian Fara Hezel dan Aiman Tino. Karier nyanyiannya pula mula melonjak menerusi single "Terbang" pada tahun 2018 sebelum fenomena "Sakit" bersama Yonnyboii menjadikan namanya antara artis muda paling berpengaruh dalam arus perdana muzik Malaysia. Lagu tersebut pernah menduduki tangga pertama carta RIM “Single Paling Distrim di Malaysia” selama lapan minggu berturut-turut. 

Sepanjang perjalanan seni, Zynakal turut melalui pelbagai fasa kehidupan yang banyak membentuk dirinya menjadi seorang pengkarya lebih matang dan jujur dalam penulisan. "NIAT" lahir sebagai refleksi kepada pengalaman dan emosi yang terasa dekat dengan ramai pendengar hari ini: tentang manusia yang takut mencintai, tetapi dalam diam masih berharap untuk difahami seseorang. Dengan susunan muzik minimal tetapi emosional, lagu ini menggabungkan melodi santai bersama lirik yang mudah melekat dan relatable, menjadikannya dekat dengan sesiapa sahaja yang pernah melalui hubungan tidak pasti atau rasa cinta yang terlalu rumit untuk dijelaskan.

Single ini turut memperlihatkan sisi kreatif Zynakal yang terus berkembang apabila beliau sendiri bertindak sebagai komposer, penulis lirik, mixing engineer dan turut bekerjasama dengan Wongie7 selaku penerbit lagu bersama jurutera mastering Ian Koren. Dalam masa sama, perjalanan kreatifnya turut diperluaskan menerusi jenama Soul Booster yang dibangunkan sebagai lanjutan kepada dunia seni dan identiti muziknya sendiri. Bagi Zynakal, Soul Booster bukan sekadar merchandise biasa, tetapi ruang untuk menghubungkan muzik, emosi dan peminat dalam pengalaman yang lebih peribadi. 

"NIAT" kini sudah boleh distrim di semua platform digital.

Comments
* The email will not be published on the website.