oleh: zizi hashim
14 May
14May

Tatkala dunia hiburan semakin dipenuhi bunyi yang bising tetapi kosong makna, masih ada manusia yang percaya muzik boleh menjadi jalan pulang untuk hati-hati yang sedang lelah. Dalam zaman di mana anak muda terlalu dekat dengan media sosial, visual dan hiburan digital, dakwah juga sedang mencari bahasa baharunya sendiri dengan cara lebih lembut, lebih dekat dan lebih memahami jiwa generasi hari ini.

Dari ruang itulah Nasyid Friday lahir sebagai sebuah gerakan seni kerohanian moden yang mahu menghidupkan kembali roh nasyid dalam bentuk lebih segar dan relevan. Digerakkan oleh Adnin Roslan selaku pengasas Tarbiah Sentap, projek tersebut bakal bermula setiap hari Jumaat dari Jun 2026 sehingga Januari 2027 menerusi penghasilan karya-karya kerohanian lengkap bersama video muzik dan kandungan dakwah digital. 

Bagi Adnin, nasyid bukan sekadar hiburan biasa. Ia adalah medium yang boleh membawa manusia kembali mengingati Tuhan dalam dunia yang semakin sibuk dan melelahkan. “Kami memilih hari Jumaat kerana ia adalah penghulu segala hari dan kami mahu menjadikan setiap Jumaat sebagai hari untuk menyebarkan karya yang membawa nilai positif, ketenangan dan dakwah melalui seni,” katanya.

Beliau turut percaya bahawa generasi hari ini sebenarnya masih mencari karya yang mempunyai roh dan makna, cuma pendekatannya perlu lebih moden dan dekat dengan realiti semasa. “Hari ini, anak muda sangat dekat dengan muzik, media sosial dan visual. Jadi saya percaya dakwah juga perlu hadir dalam bentuk yang dekat dengan jiwa mereka,” tambahnya lagi.

Nasyid Friday bakal melibatkan lapan penyanyi dan kumpulan nasyid termasuk Adnin Roslan, Aniq Muhai, Aswan Anwar, One Path, Rabithah, Fetya, The Truth serta Autotune Band. Sepanjang projek berlangsung, sebanyak enam lagu dalam lapan album bakal dihasilkan dengan pendekatan lebih kontemporari tanpa meninggalkan elemen dakwah dan kerohanian yang menjadi teras utama gerakan tersebut.

Apa yang membuat projek ini terasa lebih menarik adalah keberanian mereka membawa isu-isu remaja dan kehidupan anak muda ke dalam karya-karya nasyid yang lebih moden dan emosional. Menurut Adnin lagi, beliau mahu membuktikan bahawa karya yang mengingatkan manusia kepada Tuhan juga mampu hadir dengan visual cantik, susunan muzik moden dan kualiti produksi tinggi. “Saya mahu buktikan bahawa karya yang mengingatkan kepada Tuhan juga boleh dihasilkan dengan kualiti yang tinggi, visual yang cantik, susunan muzik yang moden dan mesej yang menyentuh hati,” ujarnya. 

Dalam masa sama, kumpulan Fetya pula memilih untuk membawa tema perjuangan Palestin sebagai salah satu pengisian utama karya mereka dalam projek tersebut.Menurut wakilnya, Bilal, Palestin bukan sekadar isu politik tetapi simbol kekuatan iman dan kebebasan manusia. “Palestin adalah simbol kebebasan dan kemerdekaan. Banyak perkara kita belajar dari mereka; kekuatan iman, tarbiyah jihadiyah dan kesatuan politik,” katanya.

Sementara itu, Ridwan mewakili kumpulan Rabithah berharap karya-karya dalam Nasyid Friday mampu menjadi alternatif hiburan yang benar-benar menenangkan jiwa masyarakat. “Karya-karya yang kami hasilkan ini bukan dibuat sekadar untuk hiburan semata-mata, tetapi sebagai satu alternatif hiburan yang mendidik jiwa dan mengajak manusia kembali dekat kepada Allah,” ujarnya.

Lebih menarik, projek ini turut menerima penyertaan beberapa selebriti dan artis jemputan seperti Saiful Apek, Anas Tahir dan Alif Azhari yang bakal muncul dalam tiga daripada lapan album projek tersebut. Tidak terhenti pada muzik semata-mata, Tarbiah Sentap turut merancang penghasilan sekitar 200 kandungan dakwah digital setiap bulan termasuk sketsa Islamik, buku dakwah dan jelajah dakwah di seluruh Malaysia.

Dan mungkin dalam dunia yang semakin sesak dengan hiburan tanpa arah, Nasyid Friday sedang cuba mengingatkan manusia bahawa seni juga boleh menjadi jalan untuk hati kembali tenang.

Comments
* The email will not be published on the website.