Perjalanan harian menaiki tren tiba-tiba berubah menjadi sebuah pentas bergerak apabila Melodi Glam Raya Runway mencipta pengalaman unik di laluan MRT Kuala Lumpur. Acara yang berlangsung pada 12 Mac lalu itu menghidupkan suasana Aidilfitri dengan gabungan fesyen, muzik serta kemunculan selebriti popular, bermula dari Stesen MRT Bandar Utama sehingga berakhir di Tun Razak Exchange (TRX).
Riuh-rendah kemeriahan mula terasa sebaik pengunjung berkumpul di platform stesen. Sebuah persembahan flash mob yang dipimpin oleh bakat One In A Million (OIAM) – Marygrace, Kai Deva, Jimi dan Mariam – membuka tirai acara dengan gerakan penuh tenaga. Penampilan mereka turut disertai Rakan Selebriti Watsons, Sharifah Rose dan Fahrin Ahmad, yang bersama-sama memeriahkan suasana menerusi tarian istimewa berlatarkan lagu Raya jenama tersebut.


Momentum acara diteruskan dengan sesi pelepasan rasmi tren khas Melodi Glam Raya Runway, menandakan permulaan perjalanan sebuah pertunjukan fesyen yang tidak berlangsung di dewan konvensyen atau pentas besar, tetapi bergerak di dalam gerabak tren. Sepanjang perjalanan tren dari Bandar Utama menuju pusat bandar, para tetamu dihiburkan dengan persembahan lagu tema rasmi Watsons Raya yang dibawakan oleh finalis One In A Million.
Suasana bertambah hangat apabila penyanyi Nabila Razali tampil menyumbangkan suara, menjadikan gerabak MRT itu seakan ruang konser kecil yang dipenuhi aura perayaan. Tidak lama kemudian, gerabak tren berubah menjadi runway bergerak apabila barisan model muncul memperagakan rangkaian produk kecantikan dan penjagaan diri daripada Rakan Jenama Watsons. Produk penjagaan kulit, solekan, kesihatan dan penjagaan diri dipersembahkan sebagai inspirasi persiapan menjelang Aidilfitri.


Pada masa yang sama, model-model tersebut turut menggayakan koleksi pakaian dan aksesori Raya daripada jenama fesyen tempatan yang menjadi Rakan Jenama TikTok Shop. Setiap langkah di lorong tren menampilkan gaya Aidilfitri yang moden, segar dan versatile, membuktikan bahawa kemeriahan fesyen tidak memerlukan pentas tradisional. Salah satu tarikan paling menarik dalam acara ini ialah integrasi pengalaman membeli-belah secara langsung. Setiap produk dan gaya yang dipersembahkan turut dipaparkan melalui ciri “beg kuning” di TikTok Shop sepanjang siaran langsung berlangsung.
Penonton yang menonton dari rumah boleh terus membeli produk yang diperagakan – daripada kosmetik hingga pakaian Raya – secara serta-merta melalui platform tersebut.Inisiatif ini bukan sahaja menjadikan acara tersebut lebih interaktif, malah membuka lembaran baharu bagi program Melodi dalam memperkenalkan pengalaman hiburan yang terhubung secara langsung dengan dunia e-dagang. Di tengah perjalanan, suasana santai turut dihidupkan melalui sesi sembang ringan bersama hos Melodi, Ain Edruce dan Fikry Ibrahim. Interaksi mereka bersama tetamu menambahkan elemen spontan sebelum tren berhenti seketika di Stesen MRT Pasar Seni, di mana kemunculan kumpulan model seterusnya meneruskan segmen runway.


Kemuncak acara berlangsung di Stesen MRT Tun Razak Exchange (TRX) apabila perhatian beralih ke pentas utama yang terletak di aras concourse stesen tersebut. Penampilan Datuk Seri Aliff Syukri sebagai pembuka tirai menambahkan elemen dramatik sebelum acara Melodi Glam Raya Runway dilancarkan secara rasmi. Pentas utama kemudian diserikan dengan persembahan barisan penyanyi popular tanah air termasuk Aisha Retno, Amir Masdi, Nabila Razali dan Ernie Zakri.
Gabungan suara dan karisma mereka menjadikan ruang stesen MRT itu berubah menjadi sebuah festival kecil yang dipenuhi sorakan pengunjung. Segmen runway di pentas utama turut menampilkan rangkaian produk yang diperagakan sendiri oleh Duta dan Rakan Selebriti Watsons seperti Ayda Jebat, Che Puan Sarimah, Sharifah Rose, Fahrin Ahmad, Akmal Nazri, Lyssa Jean dan Mekyun. Penampilan mereka membawa inspirasi gaya Raya yang elegan tetapi tetap praktikal untuk digayakan oleh masyarakat.


Mengangkat tema “Gaya Raya Glam”, acara ini menonjolkan idea bahawa penampilan Aidilfitri yang anggun tidak semestinya memerlukan perbelanjaan besar. Sebaliknya, kreativiti dalam memadankan gaya serta pemilihan produk yang tepat mampu menghasilkan penampilan yang menawan. Lebih daripada sekadar acara fesyen, Melodi Glam Raya Runway menjadi simbol kolaborasi antara dunia hiburan, fesyen dan teknologi digital.
Acara ini dianjurkan dengan sokongan Watsons Malaysia sebagai penaja utama dan TikTok Shop sebagai penaja bersama, manakala keseluruhan pengalaman tersebut distrim secara langsung melalui platform TikTok MBuzz Terhangat. Gabungan elemen muzik, gaya dan interaksi digital menjadikan acara ini sebuah pengalaman Aidilfitri yang segar membuktikan bahawa inspirasi Raya boleh muncul di mana-mana, bahkan di tengah perjalanan sebuah tren yang meluncur di kota Kuala Lumpur.
