Ambisi sering bermula dengan sebuah impian. Namun apabila keinginan mengatasi kewarasan, sempadan antara harapan dan ketamakan mula menjadi kabur. Ada manusia yang percaya setiap kejayaan lahir daripada usaha. Ada pula yang sanggup mencari jalan pintas, walaupun jalan itu dipenuhi misteri, pantang larang dan kuasa yang tidak pernah sepatutnya disentuh. Daripada premis yang mengundang renungan inilah lahir Keramat Gunung Jerai, sebuah filem psikologi seram (supernatural horror) yang mengangkat persoalan tentang harga sebenar sebuah kejayaan apabila ia diperoleh melalui ritual yang menyalahi fitrah.
Lebih daripada sekadar kisah gangguan makhluk halus, naskhah ini menyulam elemen persahabatan, penyesalan, obsesi dan pembalasan dalam sebuah perjalanan yang perlahan-lahan mengheret penonton ke dalam kegelapan yang sukar dijangka. Filem ini akan mula distrim secara eksklusif di Tonton bermula 8 Julai 2026. Lebih menarik, Keramat Gunung Jerai turut mencipta sejarah apabila menjadi Tonton Originals pertama yang diperkenalkan menerusi model Transactional Video on Demand (TVOD) atau Pay-Per-View (PPV) pada harga RM12. Ia juga merupakan kandungan PPV kedua yang ditawarkan di platform Tonton selepas kejayaan Fury Championship Vol. 2, sekaligus memperlihatkan komitmen platform penstriman tempatan itu dalam memperluaskan pengalaman hiburan digital kepada penonton Malaysia.


Naskhah ini menampilkan gandingan pelakon berkaliber seperti Niezam Zaidi, Cristina Suzanne, Iedil Dzuhrie Alaudin, Sara Ali, Akmal Asyraf dan Kis Aisha. Lebih istimewa, filem ini menjadi karya sulung Luqman Hafidz sebagai pengarah, diterbitkan oleh Lumatic Films, syarikat produksi yang sebelum ini dikenali menerusi karya berkualiti seperti BRU, Imaginur dan Terbaik Dari Langit. Penceritaan bermula dengan tiga sahabat karib, Hakim, Junaidi dan Wan, yang mendaki Gunung Jerai demi melaksanakan satu ritual terlarang. Mereka terpikat dengan legenda mengenai seketul batu misteri yang dikatakan mampu memakbulkan segala keinginan manusia. Apa yang bermula sebagai pencarian harapan akhirnya membuka pintu kepada sesuatu yang jauh lebih besar daripada kemampuan mereka untuk mengawal.
Selepas malam penuh misteri itu, kehidupan mereka berubah secara drastik. Kejayaan datang tanpa diduga, impian menjadi kenyataan dan segala yang diidamkan seolah-olah hadir dengan begitu mudah. Namun di sebalik limpahan rezeki tersebut, tersembunyi sebuah harga yang tidak pernah mereka sangka perlu dibayar. Sedikit demi sedikit, gangguan ghaib mula menyelinap ke dalam kehidupan mereka, menjadi semakin ganas dan semakin sukar dijelaskan dengan logik akal. Pada masa yang sama, Wan pula menghilang tanpa sebarang khabar, meninggalkan persoalan yang terus menghantui sahabat-sahabatnya.


Bertahun-tahun kemudian, luka lama kembali terbuka apabila anak perempuan Hakim, Laila, tiba-tiba diserang penyakit aneh yang tidak mampu dijelaskan oleh dunia perubatan. Dalam keadaan terdesak, Hakim memilih untuk kembali ke Gunung Jerai bersama Junaidi bagi mencari jawapan terhadap kesilapan yang pernah mereka lakukan. Namun setiap langkah yang diambil bukan membawa mereka lebih dekat kepada penyelesaian, sebaliknya membuka satu demi satu rahsia gelap yang selama ini terkubur. Perjalanan tersebut turut mengheret watak Najiha dan Mek La ke dalam pusaran misteri yang semakin rumit.
Fragmen masa silam yang selama ini dilupakan mula muncul kembali, memperlihatkan bahawa apa yang berlaku bukan sekadar sumpahan biasa, tetapi berkait rapat dengan keputusan-keputusan yang pernah mereka lakukan sendiri. Dalam dunia Keramat Gunung Jerai, setiap pilihan mempunyai akibat, dan setiap janji yang dimeterai dengan kuasa ghaib menuntut balasan yang setimpal. Keistimewaan filem ini bukan hanya terletak pada elemen seram yang mengundang debaran, tetapi juga cara ia mengangkat sisi psikologi manusia. Ketakutan dalam Keramat Gunung Jerai bukan semata-mata datang daripada makhluk yang tidak kelihatan, sebaliknya lahir daripada rasa bersalah, penyesalan dan obsesi yang terus menghantui watak-wataknya.


Unsur mistik dijadikan medium untuk mengupas sifat manusia yang sanggup mempertaruhkan apa sahaja demi mencapai impian, tanpa menyedari bahawa setiap keinginan mempunyai harga yang akhirnya perlu dibayar. Dengan latar Gunung Jerai yang sarat dengan legenda dan aura mistik, sinematografi filem ini turut memperkukuhkan suasana suram yang menyelubungi keseluruhan penceritaan. Setiap bingkai visual dibina untuk membawa penonton menyelami dunia yang dipenuhi teka-teki, ketegangan dan persoalan tentang batas antara kepercayaan, mitos serta realiti.
Bagi peminat filem seram tempatan yang menginginkan sesuatu lebih daripada sekadar adegan kejutan, Keramat Gunung Jerai menawarkan pengalaman yang lebih mendalam. Ia menggabungkan misteri, drama psikologi dan konflik emosi dalam sebuah kisah yang mengajak penonton berfikir tentang akibat daripada setiap keputusan yang dibuat. Kerana kadangkala...Yang paling menyeramkan bukanlah makhluk yang bersembunyi di dalam hutan. Tetapi keinginan manusia sendiri yang enggan mengenal batas.

Keramat Gunung Jerai boleh distrim secara eksklusif di Tonton bermula 8 Julai 2026 pada harga RM12 menerusi model Pay-Per-View (TVOD). Bagi pencinta genre seram psikologi, inilah masa untuk menyelami sebuah kisah yang mengingatkan bahawa tidak semua impian wajar dikejar, dan tidak semua pintu misteri patut dibuka.