oleh: zizi hashim
17 Jul
17Jul

Ketika muzik sentiasa berkembang merentasi zaman, ada satu pentas yang terus menjadi saksi kepada perjalanan panjang para pengkarya tanah air. Selama lebih tiga dekad, Anugerah Industri Muzik (AIM) bukan sekadar sebuah majlis penyampaian trofi, tetapi lambang penghargaan terhadap bakat, dedikasi dan kreativiti insan yang menghidupkan nadi industri muzik Malaysia.

Kini, sempena ulang tahunnya yang ke-25, sejarah baharu bakal diukir. Buat julung kalinya sejak diperkenalkan pada tahun 1993, AIM25 akan berlangsung di luar Semenanjung Malaysia apabila Borneo Convention Centre Kuching (BCCK), Sarawak dipilih sebagai lokasi penganjuran pada 26 September 2026. Langkah berani itu bukan sekadar pertukaran lokasi, sebaliknya membawa makna yang jauh lebih besar dengan membuka ruang agar suara, budaya dan identiti muzik dari seluruh pelosok negara diraikan di pentas yang sama.

Menerusi edisi Jubli Perak ini, TVS tampil sebagai Penyiar Rasmi dan Penganjur Bersama, sekaligus memainkan peranan penting membawa kemeriahan malam anugerah paling berprestij negara itu ke seluruh Malaysia melalui siaran televisyen, platform digital dan penstriman percuma menerusi TVS Inspire. Diasaskan oleh Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), AIM sejak sekian lama menjadi pentas utama yang mengiktiraf kecemerlangan penyanyi, pencipta lagu, penerbit, pemuzik serta tenaga kreatif yang membentuk wajah industri muzik tempatan. Selama 25 edisi, anugerah ini berkembang seiring perubahan landskap muzik negara, membuka ruang kepada pelbagai genre, bahasa dan identiti budaya untuk diraikan secara adil

Pemilihan Kuching sebagai tuan rumah pula membawa simbolik yang cukup besar. Lebih daripada sekadar destinasi penganjuran, bandar raya itu menjadi titik temu antara bakat dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak, sekaligus memperlihatkan bahawa muzik Malaysia lahir daripada kepelbagaian budaya yang saling melengkapi. Pada masa sama, penganjuran AIM25 di Sarawak turut memperkukuhkan kedudukan negeri itu sebagai hab seni, budaya dan acara kreatif bertaraf nasional serta serantau. 

Sempena sambutan Jubli Perak, AIM25 turut memperkenalkan dua kategori baharu yang mencerminkan evolusi industri muzik negara. Kategori Lagu Borneo Terbaik diwujudkan bagi mengiktiraf karya yang mengangkat kekayaan budaya, bahasa dan tradisi masyarakat Sabah serta Sarawak, manakala Lagu Perayaan Terbaik pula diperkenalkan bagi meraikan karya yang mencerminkan semangat perpaduan masyarakat majmuk Malaysia. Kedua-dua kategori ini membuktikan komitmen AIM untuk terus berkembang seiring kepelbagaian ekspresi kreatif negara.

AIM25 turut menerima sokongan strategik daripada kerajaan menerusi Kementerian Komunikasi, yang menyalurkan Dana Pengiktirafan bernilai RM950,000 kepada pemenang bagi 16 kategori melalui peruntukan pembangunan yang diuruskan MyCreative Ventures (MyCV). Selain itu, Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP Sarawak) turut menyokong penganjuran ini menerusi Geran Sokongan Acara, memperkukuhkan lagi aspirasi Sarawak sebagai destinasi utama acara kreatif negara.

Bagi Ketua Pegawai Media TVS, Mohamad Sardon Zainal, penganjuran AIM25 di Kuching membawa makna yang jauh melangkaui sebuah acara hiburan. "Apabila AIM, anugerah muzik paling berprestij negara, memilih untuk meraikan Jubli Peraknya di Kuching buat julung kali, ia bukan sekadar satu penghormatan, tetapi satu pengiktirafan bahawa suara dari Sarawak kini turut menjadi suara Malaysia." Beliau berkata, menerusi AIM25 dan program khas Hits 122 Edisi AIM25, TVS berharap dapat membawa penonton lebih dekat dengan perjalanan penggiat seni tanah air serta memperkenalkan bakat muzik Malaysia kepada khalayak yang lebih luas melalui televisyen, digital dan platform TVS Inspire.

Sebagai sebahagian daripada kempen menuju malam kemuncak, TVS turut menerbitkan Hits 122 Edisi AIM25, siri mingguan sebanyak 13 episod yang akan mula disiarkan pada 25 Julai 2026, setiap Sabtu jam 8.30 malam di TVS 122. Program ini bakal mengimbau sejarah AIM, menampilkan kisah pemenang terdahulu, calon-calon AIM25 serta insan di sebalik tabir yang membentuk industri muzik Malaysia. Sementara itu, CATS FM diumumkan sebagai Rakan Radio Rasmi AIM25, melengkapkan ekosistem penyiaran menerusi pelbagai promosi dan kandungan khas yang akan menyemarakkan keterujaan menuju malam anugerah. Kerjasama ini dijangka memperluaskan lagi capaian AIM25 kepada masyarakat Sarawak dan seluruh negara.

Pengerusi RIM merangkap AIM, Rosmin Hashim, menyifatkan sambutan Jubli Perak ini sebagai detik penting dalam sejarah industri muzik Malaysia. "AIM25 amat bermakna kerana kita meraikan Jubli Perak bagi sebuah anugerah muzik yang telah menjadi platform penting dalam mengiktiraf bakat, kreativiti dan dedikasi penggiat muzik Malaysia. Sepanjang 25 edisi, AIM terus berkembang seiring perubahan industri muzik negara."

Apabila tirai AIM25 dibuka di Kuching September nanti, yang diraikan bukan sekadar para pemenang. Sebaliknya, seluruh perjalanan muzik Malaysia, daripada kota besar hingga ke pelosok Borneo, daripada suara yang sudah lama dikenali hingga bakat yang baru mahu melangkah, akan berdiri di bawah langit yang sama, membuktikan bahawa muzik sentiasa menjadi bahasa yang menyatukan sebuah negara.

Comments
* The email will not be published on the website.