oleh: zizi hashim
30 Jun
30Jun

Ada karya yang sekadar mencipta populariti. Namun ada juga karya yang akhirnya menjadi sebahagian daripada sejarah, membesar bersama penontonnya dan meninggalkan jejak yang sukar dipadamkan walaupun bertahun-tahun tidak bersiaran. Itulah legasi Gerak Khas.

Selepas lebih dua dekad menjadi nadi drama kepolisan tempatan, merentasi 20 musim dan 1,054 episod, francais yang pernah diiktiraf Malaysia Book of Records sebagai drama primetime paling lama bersiaran di negara ini akhirnya membuka lembaran baharu menerusi Gerak Khas 2.0. Kebangkitan semula yang diraikan dalam tayangan perdana eksklusif di TGV Suria KLCC ini bukan sekadar menghidupkan nostalgia, malah memperkenalkan evolusi yang lebih berani, lebih moden dan jauh lebih sinematik.

Lima tahun selepas Gerak Khas: The Finale menutup tirai pada 2021, nama yang pernah menjadi rutin setiap minggu buat jutaan rakyat Malaysia kini kembali dengan wajah yang lebih segar di bawah kerjasama Sarawak Media Group (SMG), TVS dan Skop Productions, sambil mengekalkan sentuhan pengarah lagenda Datuk Dr. Yusof Haslam yang membina identiti siri ini sejak 1999. Jika dahulu Gerak Khas sinonim dengan operasi membanteras jenayah konvensional, kali ini ancamannya jauh lebih kompleks.

Malaysia kini berdepan dunia jenayah digital. Misi baharu bermula apabila DCP Dato' Helmi bersama Inspektor Anding dan Unit Gerak Khas melancarkan operasi memburu sindiket dadah yang akhirnya membawa kepada penemuan satu ancaman lebih besar  iaitu sebuah organisasi jenayah berteknologi tinggi dikenali sebagai Black Hydra. Ketika negara digemparkan dengan serangan siber yang melumpuhkan sistem komunikasi nasional, pasukan elit itu turut memburu pakar komunikasi negara, Dr. Hariz, yang kehilangan misterinya membuka lebih banyak persoalan berbanding jawapan.

Lebih menarik, Gerak Khas 2.0 tidak hanya bergantung kepada aksi dan kejar-mengejar. Naratifnya turut menyelami konflik kemanusiaan yang lebih mendalam apabila Inspektor Anding bergelut mempertahankan adiknya, Erina, daripada terjerumus ke dunia jenayah. Dalam masa yang sama, kewujudan pengkhianat dalam pasukan, sabotaj berterusan dan musuh yang sentiasa selangkah di hadapan menjadikan setiap episod sarat dengan debaran sehingga terbongkar bahawa Black Hydra hanyalah sebahagian daripada rangkaian jenayah yang jauh lebih besar.

Kebangkitan semula francais ini turut menemukan semula wajah-wajah yang begitu sinonim dengan Gerak Khas. Datuk Dr. Yusof Haslam, Dato' Hans Isaac, Erra Fazira, C. Kumaresan, SAC (B) Datuk Shaharon Anuar, Deen Maidin, Salina Saibi dan Tisha Shamsir kembali menghidupkan karakter yang pernah mencorakkan era kegemilangan siri tersebut. Pada masa yang sama, barisan pelakon generasi baharu seperti Anding Indrawani, Nabiha Aimi, Emily Elizabeth, Afiq Muiz, Fezrul Khan, Zen Ng, Meynillen Thamil Selvan serta bakat kelahiran Sarawak, Marzella Sigai, menjadi jambatan yang menghubungkan peminat lama dengan generasi penonton baharu.

Satu lagi perubahan yang cukup signifikan ialah pemilihan Sarawak sebagai nadi utama penceritaan. Buat pertama kalinya dalam sejarah francais ini, Malaysia Timur tidak lagi sekadar menjadi lokasi penggambaran, sebaliknya memainkan peranan penting dalam perkembangan jalan cerita. Berlatarbelakangkan Kuching dan kawasan sekitarnya, Gerak Khas 2.0 menampilkan identiti visual yang lebih luas, sekaligus mencerminkan wajah Malaysia yang lebih inklusif dan menyeluruh. Pemilihan Sarawak bukan sahaja memperkayakan nilai estetika siri ini, malah menjadi simbol kepada aspirasi TVS untuk berkembang daripada sebuah penyiar serantau kepada penyiar nasional yang membawa kandungan premium bertaraf negara.

Kehadiran Gerak Khas 2.0 menjadi antara langkah paling signifikan dalam perjalanan TVS memperkukuhkan portfolio kandungan berkualiti tinggi yang mampu menarik penonton daripada seluruh Malaysia. Sebagai siri yang pernah menjadi sebahagian daripada identiti budaya Malaysia, Gerak Khas 2.0 hadir dengan tanggungjawab yang lebih besar daripada sekadar menghiburkan. Ia membuktikan bahawa sebuah karya ikonik masih mampu berkembang mengikut peredaran zaman tanpa kehilangan roh asalnya.

Dengan ancaman jenayah siber, konflik yang lebih realistik, skala produksi lebih besar dan visual yang jauh lebih sinematik, Gerak Khas 2.0 membuka ruang kepada sebuah generasi baharu untuk mengenali francais yang pernah membentuk landskap televisyen tempatan. Bagi peminat lama, ia adalah pertemuan semula dengan watak-watak yang membesar bersama mereka. Bagi generasi baharu, inilah peluang menyaksikan bagaimana sebuah legenda diberi nafas baharu.

Gerak Khas 2.0 bakal bersiaran secara eksklusif di TVS bermula 3 Julai 2026, setiap Jumaat jam 8.30 malam menerusi Saluran 122 di MYTV, Astro dan Unifi TV, serta boleh distrim melalui aplikasi TVS INSPIRE. Sebuah era baharu kini bermula, dan Gerak Khas sekali lagi bersedia membuktikan mengapa namanya terus kekal sebagai antara francais drama paling berpengaruh dalam sejarah televisyen Malaysia.

Comments
* The email will not be published on the website.