oleh: zizi hashim
12 Sep
12Sep

Resorts World Genting sekali lagi bakal menjadi saksi dentuman nostalgia apabila trio legenda Hong Kong, Grasshopper (草蜢), memilih penghujung tahun ini untuk menyulam kembali kenangan dan mencipta babak baharu bersama peminat Malaysia. Re: GRASSHOPPER Concert Tour 2025 akan berlangsung pada 27 Disember 2025, jam 6 petang di Arena of Stars. Satu perayaan penuh makna untuk menutup tirai tahun dengan muzik yang sudah empat dekad menjadi sebahagian hidup ramai.

Lebih dari sekadar sebuah konsert, ia menandakan kebangkitan semula selepas detik mencabar. Tahun lalu, Remus Choy terpaksa melalui pembedahan otak dan seluruh perjalanan jelajah Asia mereka tertunda. Kini, dengan semangat baru, Grasshopper kembali membawa tenaga tanpa sempadan. “Re itu lebih daripada sekadar tajuk, ia tentang Recover, Restart, Reunion, dan Rearrange,” jelas Calvin Choy. “Selepas pemulihan Remus, kami memulakan kembali perjalanan ini, bersatu semula dengan peminat Asia, dan mengatur semula lagu-lagu klasik agar memberi pengalaman baharu.”

Senarai lagu yang bakal menghiasi malam penuh gemilang itu termasuk “Love Trap”, “Half a Heart”, “Forget Love Samba”, dan “Baby, I’m Sorry”. Namun Grasshopper tidak sekadar bernostalgia, mereka juga membawa karya terbaru. Remus dengan senyum sinis berkongsi, “Saya tulis lagu ‘Old but Spicy’ kerana seperti halia, semakin tua semakin kuat rasanya. Sama seperti kami, semangat ini tidak pernah padam.” Lagu tersebut menjadi simbol semangat juang, pertumbuhan, dan api yang terus menyala meski usia kian bertambah.

Bagi mereka, konsert kali ini ibarat jamuan hotpot Hong Kong yang penuh keakraban. Calvin berseloroh, “Sekali cuba, kamu pasti mahu lagi. Kali kedua akan terasa berbeza.” Edmund So menambah dengan ketawa, “Dan kali ini, menunya ada hidangan baharu!” Sementara Remus melengkapkan, “Dan tentunya, lebih pedas!”

Tiket untuk Re: GRASSHOPPER Concert Tour 2025 akan mula dijual 12 September untuk pemegang Genting Rewards Card (GRC) Gold dan ke atas, manakala jualan umum dibuka 17 September jam 3 petang. Harga bermula RM268 (PS4) hingga RM868 (VIP), dengan tambahan diskaun 10% untuk ahli GRC dari kategori VIP hingga PS3. 

Dengan karisma yang tidak pernah pudar, persembahan lincah, dan daya tahan yang membuktikan mereka masih relevan selepas 40 tahun, Grasshopper menjanjikan satu malam di Genting Highlands yang mengikat generasi, malam di mana muzik menjadi bahasa penyatuan, dan kenangan menjadi nadi yang hidup kembali.

Comments
* The email will not be published on the website.