Satu malam yang bertaut antara glamor kota dan jiwa tanah kelahiran berlangsung di TGV Suria KLCC ketika tirai tayangan perdana Ninavau diangkat. Aura malam 25 November itu terasa seperti udara yang membawa pulang angin dari Kota Kinabalu sendiri: lembut, namun sarat makna. Para tetamu tiba dengan wajah penuh harapan, menanti sebuah pengakuan yang telah lama digenggam oleh bumi Sabah. Suasana bergema dengan kehangatan komuniti seni apabila tayangan perdana Ninavau menjadi ruang pertemuan antara budaya, emosi dan identiti.
Di ruang lobi, para pelakon, kru penerbitan, dan hadirin saling bertegur sapa dalam suasana yang menghampiri perayaan kecil. Warna-warni busana tradisi Kadazan disulam dengan cahaya neon KLCC, mencipta suasana yang meriah namun tetap bersahaja, satu persilangan budaya yang indah. Ada sesuatu pada malam itu yang membuat jiwa terasa lebih dekat dengan asal-usul; bagaikan suara nenek moyang turut berdiri di antara orang ramai. Setiap yang hadir sudah mengerti bahawa naskhah arahan Bebbra Mailin ini membawa satu jiwa yang lama dinantikan dalam sinema tempatan.


Ketika lampu panggung mulai malap, bisik-bisik perlahan bertukar menjadi diam yang menyatu. Ninavau, karya yang ditenun oleh sutradara Sabah, Bebbra Mailin, membuka kisahnya dengan kelembutan yang memikat. Naskhah ini memilih jalan yang jarang dilalui arus perdana dengan fokus pada suara masyarakat Kadazan, pada pertalian darah yang tidak pernah putus, pada pergolakan jiwa yang tidak selalu boleh diceritakan secara lantang.
Naratif Ninavau menjelmakan perjalanan seorang wanita yang pulang dari kota penuh hiruk-pikuk ke kampung halaman yang menyimpan kenangan dan rahsia. Setelah bertahun merantau di Kuala Lumpur, kepulangannya tidaklah selemah bayang nostalgia. Dia pulang membawa rahsia yang digenggam terlalu lama, lalu bertembung pula dengan rahsia ayahnya, Edward, serta adiknya yang memikul cerita mereka sendiri. Pertembungan ini menjadi pusat graviti emosi filem, mengajak penonton menelusuri lapisan kasih keluarga, luka yang tidak diungkapkan, dan identiti yang kadang-kadang kita sendiri takut untuk hadapi.


Ketegangan yang terhasil bukan keras, namun halus seperti riak ombak di dermaga Tanjung Aru. Diam tetapi mencucuk hati. Konflik antara Ninavau dan bapanya, Edward, ditangani dengan begitu berhemat, membawa penonton menelusuri rahsia yang selama ini terbiar terkubur di celah sunyi keluarga. Penonton awal pada malam tayangan terlihat menghirup setiap nafas filem itu; ramai yang tersenyum kecil. Setiap reaksi lahir daripada rasa keterikatan kerana Ninavau bukan hanya kisah seorang wanita, tetapi kisah rumah yang kita tinggalkan, kisah asal-usul yang tidak mampu kita buang walau sejauh mana kita merantau.
Saya sendiri cukup tertarik dengan runut bunyi "Pulang Ke Cahaya" lantunan Il Mare tentang kasih sayang mendalam terhadap tanah tumpah kelahiran sehingga terkesan sebak. Bebbra Mailin bersama penulis lakon layar Muzammer Rahman membentukkan sebuah kisah yang bukan sahaja menyelami budaya Kadazan, tetapi juga ruang batin seorang wanita yang bergelut dengan beban masa lalu. Setiap watak seakan bernafas dengan kesunyian masing-masing, dan setiap dialog seperti serpihan doa yang tidak pernah sempat disempurnakan.


Tidak hairan filem ini terpilih sebagai pembuka tirai MIFFEST 2025 dan turut melangkah ke Festival Filem Madani Indonesia, dua pentas yang menandakan pengiktirafan terhadap kualiti naskhah ini. Ninavau membawa keistimewaan dari segi perjalanannya sebagai sebuah karya tempatan sekaligus mengangkat Sabah ke layar lebih luas, dan membuktikan bahawa cerita-cerita dari tanahair memiliki kekuatan universal.
Visual arahan Bayu Prihantoro Filemon mengangkat ruang kampung Sabah dengan keindahan yang tidak berlebih-lebihan. Warnanya lembut, bertekstur, bagaikan memegang tangan penonton untuk masuk lebih dalam ke jiwa watak. Sinematografi yang jujur itu membuatkan landskap Sabah tidak tampak sebagai latar semata-mata, tetapi sebagai karektor hidup yang mempunyai roh. Suasana kampung, tanah, langit dan ruang peribadi memautkan penonton pada akar Tanah Sabah. Setiap bingkai lembut warnanya, tenang geraknya, namun sesekali menyala dengan intensiti emosi.


Skor muzik yang dirakam di Freedom Studio Infinity, Tokyo, memberi getar halus yang meresap ke tulang belakang. Ada saat di mana muziknya berfungsi seperti suara hati yang tidak pernah terucap, membawa penonton lebih dekat pada pergolakan Ninavau. Sementara rekabunyi oleh Mohsin Othman, dua kali pemenang FFM, melengkapkan dunia filem ini dengan sensori yang rapi, dari desir angin sampai helaan nafas yang memuatkan cerita. Setiap detik emosional lebih hidup; pernafasan watak, derap langkah tanah basah, bisik angin desa semuanya dirasai, ibarat kita berdiri di sisi mereka.
Gandingan pelakon seperti Jovenea Jim, Tati Eliana Tonny dan Edward Sinsong menambah kekuatan emosinya. Setiap karektor tampil dengan kesederhanaan yang indah. Tiada lakonan berlebihan, hanya manusia yang sedang mencari ruang untuk melepaskan beban lama. Dimensi keluarga yang rawan, penuh pertimbangan jiwa dilakonkan cemerlang. Barisan pelakon dari Sabah membawa tekstur yang asli; tiada kepura-puraan, hanya kelaziman yang dimuliakan menjadi cerita.

Malam tayangan perdana itu tamat dengan tepukan panjang, seperti ucapan terima kasih berjemaah dari semua yang hadir. Mereka bukan hanya menonton sebuah filem, tetapi merasakan perjalanan pulang yang tidak pernah mereka duga. Bagi yang ingin menyelami kisah keluarga, rahsia, dan akar budaya Sabah, Ninavau membuka pawagam seluruh negara pada 4 Disember 2025. Sambutlah naskhah ini dengan hati terbuka. Biar ia mendekatkan dirimu kepada sesuatu yang mungkin telah lama hilang.
Foto Kredit: Finas / Zairul Izzwan