oleh: zizi hashim
09 Jan
09Jan

Seruan ini bergema tepat pada masanya. The Voice of Hind Rajab, yang mula menemui penonton Malaysia di pawagam sejak 8 Januari 2026, hadir sebagai sebuah karya kemanusiaan yang menyingkap kisah seorang kanak-kanak dari Gaza. Satu naratif yang berpaksikan usaha menyelamat, koordinasi misi bantuan, serta realiti konflik yang mencabar nurani dan nilai sejagat manusia.

Respon awal penonton tempatan memperlihatkan gelombang sokongan yang meyakinkan sejak malam tayangan perdana. Maklum balas positif dan perbincangan yang rancak telah mendorong penambahan lokasi tayangan daripada 17 kepada 29 pawagam di seluruh negara. Perkembangan ini menjadi isyarat jelas bahawa rakyat Malaysia melihat filem ini sebagai lebih daripada hiburan; ia ditanggapi sebagai wadah solidariti dan saluran suara kemanusiaan. Terima kasih, Malaysia.

Di pentas antarabangsa, The Voice of Hind Rajab mencatat pencapaian luar biasa apabila Perancis muncul sebagai pasaran dengan kutipan box office tertinggi, merekodkan jumlah $2,389,340 sejak hari pertama tayangan pada 26 November 2025, menurut data Box Office Mojo. Angka ini membuktikan kekuatan mesej filem tersebut, yang diterima merentasi batas agama, budaya dan bahasa.

Pencapaian di Perancis menjadi penanda aras yang signifikan, lebih-lebih lagi apabila komuniti Muslim di negara itu hanya membentuk sekitar 10 peratus daripada populasi. Konteks ini membuka ruang refleksi buat Malaysia — sebuah negara dengan kira-kira 65 peratus penduduk beragama Islam dan sering lantang menyuarakan solidariti terhadap Palestin serta penentangan terhadap genosid — untuk menterjemahkan pendirian itu melalui sokongan yang lebih nyata.

Sekiranya Perancis mampu mengangkat filem ini ke puncak kutipan, Malaysia juga berupaya mencipta gema yang sama, malah lebih besar. Bukti telah ditunjukkan. Kini pentas itu terbuka luas untuk Malaysia menyatakan keseriusannya.

Sejak sekian lama, Malaysia dikenali sebagai negara yang konsisten menyokong isu kemanusiaan, khususnya berkaitan Palestin. Kali ini, sokongan tersebut boleh dizahirkan melalui satu tindakan yang jelas dan terukur. Setiap tiket yang dibeli menjadi suara peribadi, setiap kerusi pawagam yang terisi membentuk pernyataan kolektif bahawa negara ini memilih untuk tidak berdiam diri. Ayuh, Malaysia! Penuhi pawagam sekarang!

Sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial, Media Prima akan menyumbangkan RM1.00 daripada bahagiannya bagi setiap tiket yang terjual kepada Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima, menjadikan pengalaman menonton ini turut membawa makna yang lebih mendalam.

Hayati inspirasi kisah benar yang menggugah emosi dan menyentuh jiwa ini di pawagam berdekatan. Jangan berhenti. Hari ini, kitalah suara mereka.

Comments
* The email will not be published on the website.