Tiada yang lebih sunyi daripada seorang adik yang saban hari menelan luka dalam diam, demi menjaga hati yang tidak pernah menghargainya. Di situlah bermulanya kisah Di Sebalik Reda, drama 30 episod yang menjentik hati dan mengocak emosi, mulai 30 Jun 2025, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 6 petang di Astro Prima. Disulam daripada karya asli Siti Rosmizah Semail di bawah label SR One dan diarah penuh rasa oleh Fairuz Loy, naskhah ini menjanjikan bukan sekadar hiburan, tetapi perenungan tentang pengorbanan yang sering tidak dihargai, dan kasih yang terlalu diam hingga terbenam.
Darlina, gadis tabah yang diperankan buat julung kali oleh Siti Khadijah Halim dalam slot Tiara, membawa kita menelusuri watak seorang anak yang dibebani oleh rasa bersalah hanya kerana dilahirkan sihat. Damia, kakaknya yang kini berkerusi roda, menjadi pusat perhatian keluarga, meskipun sifatnya mendominasi dan penuh dengki. Darlina terpaksa mengetepikan impian demi menjaga keseimbangan keluarga yang goyah. Namun ujian sebenar datang dalam bentuk cinta. Taufiq (lakonan Adam Lee) hadir membawa secubit harapan dalam hidup Darlina, tetapi cinta ini rupanya terbelah dua. Damia juga mahukan jejaka yang sama. Mampukah Darlina terus mengalah, atau sudah tiba masanya dia mempertahankan haknya sendiri?
Bagi Siti Khadijah, menjelmakan Darlina bukan sekadar bermain watak. Ia adalah proses menyelami dan menyatu dalam jiwa seorang gadis yang sabar luar biasa. “Saya ‘bercakap’ seperti Darlina, luar dan dalam set. Saya perlu menyayangi Darlina untuk menjadikannya nyata,” ujar pelakon berbakat itu yang meyakini bahawa reda adalah menerima tanpa dendam, walau hati sudah luka berulang kali.
Adam Lee pula menghidupkan sosok Taufiq. Lelaki yang setia, anak emak, dan kadang terlalu melindungi. Hanya seminggu diberi untuk mendalami watak, namun Adam tidak ambil mudah. “Saya perlu mengenali naskhah sebelum memproses. Setiap babak, setiap nafas Taufiq perlu saya hayati dengan ikhlas,” katanya. Apa yang membuat Di Sebalik Reda lebih menyengat ialah tema perebutan cinta antara adik-beradik. Satu topik yang jarang disentuh tetapi dekat dengan realiti. Ia membongkar sisi gelap kasih keluarga: bahawa kadangkala yang paling kita cinta adalah yang paling melukai.
Drama ini tidak hanya tertumpu pada cinta segitiga yang menyesakkan. Ia turut membuka lembar kisah Zainab, nenek yang mahu menebus dosa silam setelah bertahun meminggirkan anaknya, Rahim. Namun niat baik itu terhalang oleh Zaidi dan Nabila, adik dan ipar Rahim yang diselaputi kerakusan. Sebuah kemalangan akhirnya mengungkap kebenaran dan menyatukan kembali hati-hati yang lama renggang.Mengangkat watak OKU dengan bermaruah.
Sebagai kesinambungan tradisi slot Tiara, Di Sebalik Reda menampilkan watak golongan kurang upaya bukan sekadar pelengkap cerita, tetapi sebagai inti nadi yang menolak plot ke hadapan. Damia, dalam segala kelemahannya, juga manusia yang berkehendak dan bernafsu, menuntut simpati tetapi mencetuskan dilema.
Dengan lakonan mantap barisan pelakon tambahan seperti Delimawati, Rashdan Baba, Sheila Mambo, Sahronizam dan Aleza Shahdan, drama ini menebarkan makna reda dalam pelbagai lapisan. Kadangkala reda itu menerima takdir, dan kadangkala, ia tentang keberanian menolak sesuatu yang menyakitkan demi memelihara jiwa sendiri.
Di Sebalik Reda bukan kisah dongeng, tapi cermin kepada kita, tentang harga diam seorang adik, dan betapa mudahnya keluarga menyalah tafsir kasih sayang.