Gegaran muzik rock dan metal tempatan bakal kembali mengaum di tengah kota apabila dua nama besar yang pernah membentuk sejarah muzik keras Malaysia akhirnya disatukan dalam satu malam penuh energi dan nostalgia. Selepas sekian lama dinantikan peminat, Cromok dan Barbarik bakal berkongsi pentas buat pertama kali menerusi Black On White Cromok-Barbarik yang dijadual berlangsung pada 27 Jun 2026 di IdeaLive Arena, 3 Damansara, Petaling Jaya.
Dianjurkan oleh KARL Legacy dengan kerjasama Pentas Barbarik, konsert tersebut dijangka menjadi antara acara rock paling dinanti tahun ini apabila menghimpunkan dua kumpulan dengan identiti muzik yang cukup berbeza tetapi berkongsi pengaruh besar dalam perjalanan muzik tempatan. Namun apa yang benar-benar membuat Black On White Cromok-Barbarik terasa jauh lebih istimewa adalah segmen tribute khas buat kumpulan legenda Kembara yang bakal dipersembahkan dengan susunan muzik lebih segar dan bertenaga tanpa menghilangkan roh asal karya mereka.


Menurut gitaris Barbarik, Jobranko, idea tribute tersebut lahir daripada keinginan untuk memberikan pengalaman konsert yang lebih mendalam dan bukan sekadar persembahan lagu semata-mata. “Saya memang tak suka buat konsert yang terlalu straight-forward. Bagi saya, orang beli tiket bukan sekadar mahu tengok band main lagu, tetapi mereka mahu sebuah pengalaman,” katanya.
Tambah beliau lagi, lagu-lagu Kembara dipilih kerana kumpulan itu banyak mempengaruhi perjalanan muzik dan kehidupan mereka sejak usia muda. “Kami membesar dengan lagu-lagu Kembara. Banyak karya mereka sebenarnya underrated walaupun mempunyai lirik dan mesej yang sangat kuat,” ujarnya. Paling menarik, segmen tersebut bakal menyaksikan Cromok dan Barbarik bergabung di atas pentas dalam beberapa persembahan khas sebagai penghormatan kepada legasi Kembara, sesuatu yang dijangka menjadi antara momen paling emosional malam itu.


Bagi Karl Cromok pula, tribute tersebut ibarat perjalanan nostalgia yang diberikan suntikan tenaga baharu mengikut identiti muzik kedua-dua kumpulan. “Kembara adalah antara muzik yang kami dengar ketika zaman remaja. Jadi segmen ini seperti mengimbau kembali kenangan lama tetapi dengan sentuhan rock yang lebih moden dan bertenaga,” katanya.
Selain tribute istimewa itu, peminat turut bakal disajikan dengan kolaborasi eksklusif antara Cromok dan Barbarik termasuk persembahan single baharu daripada kedua-dua kumpulan yang akan dimainkan secara langsung buat pertama kali.
Konsert ini juga mencipta kelainan tersendiri apabila Cromok tampil dengan konsep No Noise Digital Stage menggunakan teknologi persembahan digital sepenuhnya tanpa amplifier gitar atau dram akustik di atas pentas. Semua audio akan dipantau menggunakan sistem digital dan in-ear monitor bagi menghasilkan bunyi lebih bersih serta pengalaman audio yang lebih berkualiti kepada penonton.


Menariknya, Barbarik pula memilih untuk mengekalkan pendekatan persembahan lebih organik dengan penggunaan monitor wedges dan setup pentas konvensional mengikut identiti kumpulan tersebut, walaupun masih dibantu penggunaan mixer digital. Perbezaan dua pendekatan inilah yang menjadikan Black On White Cromok-Barbarik terasa lebih unik berbanding konsert rock biasa. Turut mendapat sokongan Kementerian Komunikasi Malaysia menerusi MyCreative Ventures di bawah Dana Kandungan Kreatif Industri Muzik dan Dana Persembahan Muzik sebagai usaha memperkukuhkan industri persembahan tempatan.
Konsert tersebut menawarkan tiket bermula RM175 bagi CAT 1 sehingga RM998 untuk pakej VIP. Tiket boleh didapati menerusi platform MyArteez dan Fantopia mengikut kategori yang ditawarkan. Sempena penganjuran konsert ini juga, Royale Chulan Damansara menawarkan pakej penginapan eksklusif buat peminat dengan harga bermula RM238 nett termasuk sarapan, baucar makanan dan perkhidmatan shuttle percuma ke lokasi konsert.


Dan mungkin untuk satu malam nanti, IdeaLive Arena bukan lagi sekadar venue persembahan biasa… tetapi berubah menjadi ruang pertemuan nostalgia, distorsi dan semangat rock yang tidak pernah benar-benar mati dalam jiwa peminatnya. Jom serang IdeaLive Arena 27 Jun 2026 ini, jangan tunggu lagi!