Gelora fenomena drama Cina terus melangkaui sempadan negara. Setelah berjaya mencipta komuniti peminat yang semakin besar di Malaysia, iQIYI International sekali lagi menghidupkan keterujaan itu menerusi kepulangan iQIYI STARSHIP 2026, kali ini dengan membawa seorang bintang yang sekian lama dinantikan untuk bertemu peminat secara bersemuka. Pada Ahad, 13 September 2026, Sunway Velocity Mall, Kuala Lumpur bakal menjadi lokasi pertemuan istimewa antara peminat tempatan dan Duta Global Antarabangsa iQIYI, Cheng Lei (丞磊).
Acara ini bukan sahaja menandakan persinggahan kedua program iQIYI STARSHIP di Malaysia, malah menjadi penampilan pertama Cheng Lei di negara ini sejak namanya melonjak sebagai antara pelakon drama Cina paling berpengaruh dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Kehadiran Cheng Lei pastinya membawa makna tersendiri buat peminat yang selama ini hanya mengikuti lakonannya di kaca televisyen dan platform penstriman. Pelakon itu dikenali menerusi kejayaan drama How Dare You!? (成何体统), Legend of the Female General (锦月如歌) dan My Journey to You (云之羽), yang bukan sahaja mencatat tontonan tinggi, malah mengukuhkan reputasinya sebagai antara pelakon generasi baharu paling menyerlah dalam industri drama Cina.

Lebih mengkagumkan, drama How Dare You!? muncul sebagai antara siri berbahasa Cina paling popular di dunia pada suku pertama 2026, apabila pantas menduduki carta teratas drama global iQIYI. Menerusi watak Xiahou Dan (Zhang San), Cheng Lei berjaya memikat penonton dengan lakonan yang penuh emosi dan berlapis, menggabungkan elemen perjalanan masa, percintaan serta permainan politik dalam sebuah penceritaan yang kompleks. Sebelum itu, beliau turut menerima pujian menerusi drama Shadow Love (与晋长安) apabila membawakan tiga watak berbeza dalam satu produksi. Keupayaannya menampilkan tiga personaliti yang berbeza dalam satu naskhah menjadi bukti kematangan lakonan Cheng Lei, sekali gus memperkukuh kedudukannya sebagai antara pelakon yang semakin mendapat perhatian di peringkat antarabangsa.
Menurut Pengarah Kanan iQIYI Asia Tenggara, Dinesh Ratnam, sambutan luar biasa peminat Malaysia terhadap drama Cina menjadi antara faktor utama iQIYI membawa semula STARSHIP ke Kuala Lumpur. "Membina dan menyambung kejayaan iQIYI STARSHIP sebelum ini yang singgah di Malaysia, kami teruja untuk membawa pengalaman ini kembali ke Kuala Lumpur. Berkali-kali, penonton Malaysia telah menunjukkan kepada kami betapa mendalamnya keterujaan mereka terhadap drama Cina dan bintang-bintang yang menghidupkan kisah-kisah ini. Membawa Cheng Lei sebagai penghubung kepada peminat adalah cara kami untuk meneruskan hubungan tersebut, sambil meraikan drama yang mereka cintai bersama-sama."

Beliau menjelaskan bahawa iQIYI STARSHIP merupakan antara inisiatif utama syarikat dalam memperluaskan kandungan drama Cina ke peringkat global. Program ini diwujudkan bagi membawa para pelakon lebih dekat dengan peminat melalui pengalaman interaktif yang membolehkan mereka bukan sekadar menonton drama di skrin, tetapi turut berinteraksi secara langsung dengan bintang kegemaran masing-masing. Acara yang dijadual berlangsung jam 1.30 petang itu dijangka menjadi antara pertemuan peminat drama Cina paling dinanti tahun ini. Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai akses eksklusif serta perkembangan terkini melalui saluran media sosial rasmi iQIYI Malaysia di Instagram, TikTok dan Facebook.
Lebih daripada sekadar sesi bertemu peminat, iQIYI STARSHIP 2026 menjadi bukti bagaimana dunia hiburan kini semakin merapatkan jurang antara bintang dan penonton. Dalam setiap watak yang dihidupkan Cheng Lei, tersimpan kisah yang pernah menemani jutaan peminat di seluruh dunia. September nanti, kisah itu tidak lagi hanya hidup di skrin, tetapi hadir lebih dekat, dalam sebuah pertemuan yang pasti meninggalkan kenangan sukar dilupakan.