oleh: zizi hashim
17 Jul
17Jul

Sorotan mata tak teralih. Nafas seakan tertahan. Lautan manusia berkumpul bukan kerana rusuhan, bukan juga kerana konsert, tetapi demi secebis detik, satu pandangan, dan mungkin sebuah senyuman daripada bintang yang mereka agungkan. Lee Soo-hyuk, figura Korea Selatan yang terkenal dengan wajah 'tiada perasaan' namun mempesona, akhirnya menjejak kaki ke Malaysia, dan kegilaan pun bermula.

Petang 16 Julai 2025, Pavilion Kuala Lumpur berubah rupa menjadi mini stadium penuh euforia. Lebih 2,000 peminat menyesakkan ruang legar utama, bersorak bagaikan gelombang ombak yang tiada surut. Acara Galaxy Unfolds Roadshow yang ditaja Samsung menjadi pentas kepada kemunculan perdana Lee Soo-hyuk di Malaysia, bersempena tayangan eksklusif drama thriller S LINE di Tonton.

Seawal jam 2 petang, konvoi manusia mula membanjiri setiap pelusuk Pavilion. Ada yang datang dari utara dan selatan, membawa sepanduk bersulam harapan dan cinta, antaranya berbunyi “Lee Soo-hyuk’s die-hard fan is here!!!” dan “Tonton ❤️ Lee Soo-hyuk”. Sorakan, tangisan, pelukan sesama peminat, semuanya menghidupkan atmosfera yang lebih mirip pesta keagungan selebriti berbanding pelancaran produk.

Menjelang jam 5 petang, ketika kelibat bintang itu muncul, ruang Pavilion KL seakan meledak. Jeritan terhambur, ada yang rebah sebak, dan ada yang hanya mampu menatap dengan mata berkaca. Tangannya melambai tak putus-putus, senyuman lembut terselit malu-malu, dan suaranya yang bergetar ketika menyapa peminat, “I’m so happy to finally meet Malaysian fans. I’m super nervous right now.” Getar itu jujur, dan peminat pun membalasnya dengan gelombang cinta yang tulus.

Namun puncak paling memukau datang saat bibir itu menyebut, “Aku cinta padamu.” Hati ribuan peminat meletup serentak. Jeritan bagaikan guruh berdentum, seolah-olah langit Pavilion sendiri meraikan detik itu. Terlihat beberapa peminat menangis teresak-esak di hadapan pentas. Satu pemandangan yang memahat betapa mendalamnya pengaruh Lee Soo-hyuk ke atas pencinta K-Drama tanah air.

Lee Soo-hyuk bukan hanya mencipta kekecohan manis di Pavilion, tetapi menyulam sejarah baru dalam hubungan peminat Malaysia dengan bintang Korea. Dalam waktu singkat itu, beliau bukan sahaja menawan mata, tetapi juga menyentuh hati. “I hope to visit Malaysia more,” ucapnya sebelum meninggalkan pentas, dan ramai yang percaya, janji itu akan ditunaikan.

Kini, buat mereka yang belum puas menikmati pesonanya, S LINE sedang distrim secara eksklusif di Tonton. Dua episod pertama telah dilancarkan serentak dengan Korea pada 11 Julai, menandakan permulaan kepada kisah penuh misteri yang menjanjikan debaran dan ketagihan. Lee Soo-hyuk mungkin telah meninggalkan Pavilion, namun getar yang ditinggalkan masih belum reda. Kuala Lumpur masih merasai degup langkahnya, dan peminat masih menyimpan gema jerit nama yang tak sempat habis diluahkan. Oppa telah datang, dan hati kita… telah hilang.

Comments
* The email will not be published on the website.