oleh: zizi hashim
29 May
29May

Di tengah lautan buku yang memenuhi setiap ruang Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2026, hadir satu lagi tarikan yang pasti membuatkan peminat drama dan novel sukar menolak godaannya. Tahun ini, dunia yang selama ini hidup di halaman buku dan layar televisyen bakal bertemu secara langsung apabila TV3 membawakan siri pertemuan eksklusif bersama pelakon serta penulis kegemaran ramai.

Bertempat di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), PBAKL 2026 bukan sekadar menjadi destinasi pencinta buku, malah berubah menjadi sebuah ruang yang menemukan imaginasi dan realiti dalam suasana yang lebih akrab. Menerusi inisiatif khas daripada TV3, pengunjung berpeluang mendekati pelakon popular, bergambar, mendapatkan autograf serta beramah mesra dengan individu yang menghidupkan watak-watak kesayangan mereka di kaca televisyen.

Pada 30 Mei, suasana di Booth Drama Sangat di Legar Putra, Tingkat 2 dijangka menjadi tumpuan apabila barisan pelakon drama Akasia terbaharu Yes! Captain Zul Aaryan hadir bertemu peminat dari jam 2.00 petang hingga 4.00 petang. Antara nama yang bakal memeriahkan sesi tersebut ialah Jazmy Juma, Anna Jobling, Nafiz Muaz, Daniel Fong, Natasha Sass dan beberapa lagi pelakon yang menjadi sebahagian daripada drama yang dinanti-nantikan itu. Mereka juga akan membuat penampilan khas di Pentas Utama bagi meraikan peminat dengan lebih dekat.

Menambahkan lagi keistimewaan acara, penulis novel asal Yes! Captain Zul Aaryan, Wnfhanna, turut berada di booth sepanjang 30 Mei hingga 1 Jun. Novel tersebut bukanlah nama asing dalam kalangan pembaca kerana pernah mencipta fenomena di platform Wattpad dengan lebih 2.48 juta bacaan sebelum diterbitkan dalam bentuk fizikal dan akhirnya diadaptasi menjadi drama bersiri.

Kemeriahan diteruskan pada 31 Mei menerusi kehadiran pelakon drama Anom Suraya. Dari jam 6.00 hingga 7.00 petang, peminat berpeluang bertemu Daiyan Trisha, Idris Khan dan Yusuf Bahrin di Booth Drama Sangat sebelum mereka tampil di Pentas Utama dari jam 8.00 hingga 9.00 malam. Turut hadir ialah Dr. Samsiah Mohd Nor, penulis novel asal Anom Suraya yang juga merupakan ibu kepada Daiyan Trisha sendiri, menjadikan sesi tersebut lebih istimewa dan penuh nilai sentimental.

Selain dua drama utama itu, pelbagai lagi wajah popular TV3 bakal memeriahkan suasana sepanjang pesta buku berlangsung. Antaranya termasuk Nabil Aqil dan Alya Iman menerusi Fathi Gabrielle, Sophia Albarakbah, Rita Rudaini dan Shahz Jaszle daripada Jiwa Seorang Pentaksub, Lorenzo Irmann, Arfie Shah dan Ezzanie Jasny daripada Neraka Yang Terhijab, serta Imran Aqil dan Ariana Yusof daripada siri mikro Offside Husband. Kehadiran personaliti Tonton turut menambah warna kepada keseluruhan acara.

Apa yang menjadikan inisiatif ini menarik ialah bagaimana TV3 berjaya menghubungkan dua dunia yang saling melengkapi iaitu dunia penulisan dan dunia lakonan. Pembaca yang selama ini membayangkan watak kegemaran mereka melalui halaman novel kini berpeluang melihat sendiri wajah-wajah yang menghidupkan kisah tersebut di layar kaca.

Dalam era digital yang semakin pantas, pertemuan seperti ini memberi nilai yang lebih mendalam kepada peminat. Ia bukan sekadar sesi bergambar atau mendapatkan tandatangan, tetapi peluang untuk meraikan karya, menghargai pengkarya dan menghidupkan kembali hubungan antara cerita dengan mereka yang setia mengikutinya. PBAKL 2026 mungkin dipenuhi ribuan judul buku, namun bagi peminat drama tempatan, hujung minggu ini juga menjadi peluang untuk membawa pulang sesuatu yang lebih bermakna, kenangan bertemu insan yang selama ini hanya ditonton dari jauh.

Comments
* The email will not be published on the website.