Xiamen Airlines Sambung Semula Laluan Terus Hangzhou–Kuala Lumpur

oleh: zizi hashim

Sentuhan roda pesawat MF8713 di KLIA Terminal 1 pada jam 2.45 petang, 13 Disember 2025 menjadi penanda kepada satu kembalinya hubungan udara yang lama terhenti. Selepas tujuh tahun digantung sejak 2018, Xiamen Airlines akhirnya menyambung semula laluan terus Hangzhou–Kuala Lumpur, satu langkah yang sarat makna buat landskap pelancongan dan ekonomi dua negara.

Penerbangan ini dikendalikan menggunakan pesawat Boeing 737-800 berkapasiti 169 tempat duduk, memperkukuh akses dari China Timur, khususnya Hangzhou dan kawasan sekitarnya. Laluan ini bukan sekadar penghubung fizikal, tetapi jambatan strategik yang menyokong pertumbuhan pelancongan, perjalanan perniagaan dan pertukaran budaya antara Malaysia dan China.

Ketibaan sulung penerbangan yang disambung semula ini diraikan dengan majlis sambutan rasmi yang dihadiri kepimpinan utama sektor pelancongan dan penerbangan. Antaranya Tourism Malaysia yang diwakili oleh Ketua Pengarahnya, Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim, bersama Timbalan Ketua Pengarah (Promosi II) Samuel Lee Thai Hung, Pengurus Besar Xiamen Airlines Gao Ya Shuang, serta wakil Malaysia Airports Holdings Berhad.

Menurut Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim, penyambungan semula laluan ini memudahkan pergerakan pelancong dari China Timur ke Malaysia, sekali gus memperkukuh kerjasama pelancongan dan ekonomi antara kedua-dua negara. Ucapan itu mencerminkan harapan besar terhadap potensi pasaran China yang terus menunjukkan pertumbuhan kukuh.

Langkah ini juga hadir tepat pada masanya menjelang Visit Malaysia 2026 (VM2026), kempen nasional yang bakal bermula kurang daripada sebulan dari tarikh penerbangan tersebut disambung. VM2026 akan dimulakan dengan sambutan VM2026 Eve Celebration di Kuala Lumpur pada 31 Disember 2025, menampilkan pelbagai aktiviti termasuk acara kira detik rasmi, festival dan persembahan kebudayaan. Aspirasi kerajaan melalui kempen ini adalah untuk mengalu-alukan 47 juta pelawat antarabangsa serta merancakkan perjalanan domestik sebagai kerangka strategik masa depan pelancongan negara.

Data pelancongan semasa menguatkan keyakinan ini. Dari Januari hingga Ogos 2025, Malaysia merekodkan 3.3 juta ketibaan pelawat dari China, peningkatan 27.5 peratus tahun ke tahun berbanding tempoh sama pada 2024. Angka ini menegaskan daya tarikan berterusan Malaysia serta kepentingannya sebagai destinasi utama dalam pasaran China.

Bagi Tourism Malaysia, penyambungan laluan Hangzhou–Kuala Lumpur ini memperkukuh misi meletakkan Malaysia sebagai pintu masuk utama ke ASEAN, menawarkan kepelbagaian pengalaman budaya, kulinari dan keindahan alam yang sukar ditandingi. Laluan ini juga berfungsi sebagai pelengkap kepada rangkaian penerbangan serantau, memudahkan pelancong meneruskan perjalanan ke destinasi lain di Malaysia.

Kembalinya penerbangan ini tidak datang dengan sorakan kosong, tetapi sebagai isyarat keyakinan terhadap masa depan bahawa pergerakan manusia, idea dan budaya akan terus mengalir, membawa bersama peluang baharu untuk dua negara yang berkongsi hubungan erat.