
oleh: zizi hashim
Gemuruh aspirasi negara semakin jelas terpancar menjelang tahun 2026, saat Malaysia mula mengatur langkah ke pentas dunia dengan visi yang lebih megah: menghubungkan keindahan pelancongan dengan kecanggihan rawatan kesihatan bertaraf antarabangsa. Momentum itu disempurnakan melalui termeterainya Memorandum of Cooperation (MOC) antara Tourism Malaysia dan Malaysia Healthcare Travel Council (MHTC), satu ikatan strategik yang dirangka bukan sekadar untuk memperkukuh industri, tetapi untuk mempersembahkan Malaysia sebagai destinasi yang memadukan pesona dan penyembuhan dalam satu nafas.
Perjanjian ini membentangkan kerangka besar bagi dua agensi nasional tersebut untuk saling memperteguh penjenamaan Malaysia sebagai pusat perubatan dan kesejahteraan yang dipercayai. Dengan VM2026 menyasarkan 47 juta pelawat antarabangsa, dan MYMT2026 membuka ruang luas untuk segmen pelancongan perubatan, kerjasama ini hadir sebagai pemangkin kepada transformasi negara dalam memanfaatkan pasaran global yang bernilai tinggi.


Datuk Manoharan Periasamy, Ketua Pengarah Tourism Malaysia, menyampaikan keyakinan bahawa gabungan kekuatan antara pelancongan dan penjagaan kesihatan akan menempatkan Malaysia di liga yang lebih tinggi. Baginya, misi ini bukan sahaja meraih angka pelawat yang besar, tetapi membina pengalaman yang berkualiti dan bermakna, perjalanan yang memungkinkan pelawat mencari keindahan alam sambil memperoleh rawatan yang selamat, dipercayai dan bertaraf dunia.
Nada itu disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif MHTC, Mr. Suriaghandi Suppiah. Baginya, kemitraan ini adalah gerbang kepada pengalaman perubatan yang lebih lancar, lebih manusiawi, dan lebih meyakinkan bagi pengunjung luar negara. MYMT2026 dirancang sebagai tahun yang mengangkat reputasi Malaysia Healthcare, dengan MHTC dan Tourism Malaysia bekerjasama memperkukuh promosi, memudahkan aliran maklumat, serta membuka akses kepada jaringan industri di seluruh rantau.
Rangka kerja kolaborasi ini memberi tumpuan kepada pasaran strategik seperti ASEAN, Asia Selatan (Bangladesh dan Sri Lanka), Asia Timur (China), Timur Tengah dan Afrika, wilayah yang menunjukkan keperluan tinggi untuk rawatan perubatan berkualiti. Melalui kempen bersama, perdagangan rentas industri, perkongsian data serta pembangunan pakej pelancongan kesihatan yang terintegrasi, Malaysia kini lebih siap menembusi pasaran global sebagai destinasi penyembuhan yang kompetitif.


Suntikan baharu ini juga seiring dengan reputasi Malaysia sebagai salah satu negara paling diyakini dalam sektor pelancongan kesihatan. Hospital-hospital bertauliah antarabangsa, kepakaran doktor yang multilingual dan bertaraf global, harga rawatan yang kompetitif, serta layanan hospitaliti yang hangat menjadikan Malaysia antara pilihan utama pesakit luar negara. Lebih penting, pelawat yang mendapatkan rawatan perubatan biasanya berbelanja lebih tinggi, tinggal lebih lama, dan menyumbang secara meluas kepada ekosistem pelancongan: merentasi hotel, peruncitan, pengangkutan, spa dan kesejahteraan.
Dengan pelbagai inisiatif terancang yang kini digembleng secara nasional, Malaysia bergerak ke arah memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi perubatan paling dipercayai dan progresif di dunia. Tahun 2026 bukan sekadar satu musim sibuk pelancongan, ia adalah peluang negara menunjukkan wajahnya yang paling profesional, penuh empati dan berdaya saing. Kerjasama antara Tourism Malaysia dan MHTC ini menjadi saksi bahawa Malaysia bukan sahaja bersedia menyambut jutaan pengunjung, tetapi juga penuh tekad untuk menawarkan pengalaman yang menyembuhkan, merehatkan, dan mengembalikan harapan.