Gema Estetika 'Borneo Fashion Week (BFW) 2025' Siap Sedia Angkat Tirai 10 & 11 Oktober 2025

Kuala Lumpur kembali bergetar dengan warna dan gema estetika apabila Borneo Fashion Week (BFW) 2025 bersiap sedia mengangkat tirai di Pavilion Damansara Heights pada 10 hingga 11 Oktober ini. Di ruang baharu yang megah dan imersif itu, dunia fesyen dijanjikan sebuah pengalaman lintas budaya yang bukan sahaja memanjakan mata, tetapi menghidupkan semula erti warisan dan kelestarian.

Acara ini lahir dari jiwa Stephanie Alcantara,  nama yang tidak asing sebagai juara Mrs. Malaysia Classique Globe 23/24, naib juara Miss Malaysia 1990 dan juga ikon Dewi Remaja 1989. BFW bukan terbina sekadar dari minat terhadap pakaian indah, tetapi daripada aspirasi lebih besar: memperjuangkan identiti pribumi, sambil membuka laluan Asia ke dalam wacana haute couture sejagat.

Tahun ini, tema “Fashion With Purpose” ditiupkan sebagai nadi utama. Ia menghubungkan pereka tersohor dengan wajah baharu, jenama gaya hidup dengan persembahan budaya, lalu menempatkan BFW di kalangan acara fesyen yang dinanti di Asia. Di balik gemerlapan kain dan potongan busana, tersimpan falsafah: bahawa setiap helaian mampu menggerakkan kesedaran, memperkukuh warisan, dan memuliakan bumi yang kita pijak.

BFW 2025 menjadi wadah untuk eksperimen berani, di mana setiap pereka diwajibkan mempersembahkan sekurang-kurangnya satu karya bercirikan lestari. Garis ini menandakan bahawa fesyen tidak lagi berdiri sebagai hiasan semata, tetapi sebagai medium yang menyulam inovasi dengan kesedaran alam. Stephanie menegaskan, “Platform ini adalah medan penceritaan tentang kelestarian, tentang warisan, tentang perjuangan pereka kita yang wajar dilihat dunia.”

Inspirasi tahun ini bergema dari tekstil tradisional, anyaman tangan, dan pertukangan Borneo yang dipadu dengan lenggok kontemporari. Setiap rekaan hadir sebagai manifestasi bahawa fesyen bukan hanya soal gaya, tetapi juga mekanisme ekonomi, ruang pemeliharaan budaya dan saksi kreativiti yang merentasi generasi.

BFW terus memperkukuh pengaruh dengan kerjasama media antarabangsa serta pempengaruh fesyen global. Langkah ini membuka horizon baharu buat pereka lokal untuk melangkah berani ke pentas antarabangsa. Stephanie mengisyaratkan perbincangan dengan nama-nama besar dunia fesyen, sebuah kolaborasi yang diyakini bakal menambah nilai prestij acara serta memberi peluang jaringan global yang selama ini hanya diimpikan.

Yang lebih istimewa, ruang sama juga disediakan kepada pereka muda. Mereka diberi pentas setara, liputan media seimbang, dan peluang rangkaian yang luas  memastikan suara generasi baharu fesyen turut terpantul lantang di gelanggang dunia.

BFW 2025 memperteguh komitmen kepada bumi dengan menuntut penggunaan bahan mesra alam dan proses penghasilan eco-conscious. Namun dalam keterbukaan terhadap modeniti, denyut Borneo tetap diangkat melalui motif etnik, tekstil tradisional, dan seni pertukangan yang diberi nafas segar agar selari dengan selera antarabangsa.

Menjadikan visi ini lebih kukuh, BFW 2025 disokong oleh rakan strategik seperti Cavu Fragrance, NADI Clinic, Pensonic, Esperer Cosmetiques dan Pavilion Damansara Heights. Kehadiran jenama ini bukan sahaja memperkuatkan festival, malah menyulam wellness, inovasi dan budaya ke dalam naratif fesyen. Stephanie menekankan, “Kelestarian bukan tema hiasan. Ia roh acara ini, menyelusup dari syarat pereka hingga ke pentas produksi. Dan di tengah semua itu, warisan Borneo terus berdegup, memberi wajah kontemporari kepada tradisi.”

Sebagai pengasas, Stephanie melihat BFW bukan perhentian, tetapi permulaan. Cita-citanya ialah menjadikan festival ini hub fesyen serantau yang disegani dunia, terikat dengan budaya, kelestarian, dan inovasi. Dengan kempen Visit Malaysia 2026, beliau berhasrat BFW tersenarai dalam kalendar tahunan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.“Dalam jangka panjang, saya mahu BFW menjadi pemangkin untuk memupuk bakat lokal, membuka jalan kolaborasi global, dan mewujudkan peluang ekonomi nyata bagi para pereka dan pengkarya Malaysia serta Borneo,” ujar Stephanie penuh tekad.

  • Malaysia: Angelique, Aldrin, Clarissima, Calvin Tho, December Teo, GC Jade, Inayad, Ocely, Saerah, Barzwang, Jayk, Wan Bynun, Even Ong, Penan Bag, Maswira Majid, Nasha Prive, Yacutha
  • Vietnam: Bianca, Gracie
  • Singapore: Hayden Ng, Indra Mubarak
  • Brunei: Bilang

BFW 2025 bukan sekadar festival; ia denyut yang merentas fesyen, budaya dan masa depan, sebuah undangan untuk melihat Borneo bukan hanya sebagai geografi, tetapi sebagai inspirasi dunia.