Borneo Fashion Week 2025 Menutup Tirai dengan Gemuruh Standing Ovation!

oleh: zizi hashim

Kilauan lampu di Pavilion Damansara Heights menyinari lebih daripada sekadar pentas, ia menjadi gelanggang impian bagi mereka yang mempercayai bahawa fesyen boleh menjadi suara, bukan hanya rupa. Borneo Fashion Week (BFW) 2025 melabuhkan tirainya dengan aura kemegahan yang menggetarkan, selepas dua hari perayaan seni dan gaya yang bernafas antara 10 hingga 11 Oktober lalu.

Mengangkat tema “Fashion With Purpose”, edisi tahun ini menjelma sebagai pertemuan antara keindahan dan kesedaran, satu simfoni yang menggabungkan warisan Borneo, kelestarian alam, dan nadi komuniti kreatif yang menjadi degup di sebalik setiap helaian kain.

Di bawah pandangan tajam dan sentuhan halus pengasasnya, Stephanie Alcantara, bekas ratu cantik yang kini menjadi arkitek gerakan fesyen berjiwa, BFW 2025 mengukuhkan kedudukannya sebagai wadah penyatuan pereka, model, seniman dan pencinta gaya dari pelbagai penjuru Asia.

Pembukaan BFW 2025 disambut dengan lenggok tarian tradisional dan upacara simbolik pemotongan riben, sebelum pentas menyala oleh deretan pereka penuh daya cipta terdiri dari GC Jade, Bilang, Clarissima, Even Ong, Aldrin Artistry dan Hayden Ng. Setiap helaian yang melangkah ke pentas seakan menceritakan kisah tentang tekstur yang bernafas, siluet yang berani, dan palet warna yang menghidupkan khazanah Borneo dalam tafsiran moden.

Tatkala malam menjengah, suasana semakin memuncak dengan koleksi dramatik dan berkarektor daripada Nasha Prive, Barzwang, Inayad, Wan Bynun, Jay K, Maswira Majid serta Ocely. Tepukan dan seruan kagum penonton memenuhi ruang, menandakan satu malam di mana tradisi dan keberanian berpadu dalam bahasa gaya yang melampaui sempadan.

Keesokan harinya, pagi dimulakan dengan sesi Sponsor Appreciation, tanda terima kasih buat para penaja yang mengukuhkan ekosistem BFW, antaranya Cavu Fragrance, NADI Clinic, Pensonic, Esperer Cosmetiques, Laurastar, Felix Relocations, Jambo BSC, Kai Academy, Go Viral Labs, Music Force, ROGUES Café serta Pavilion Damansara Heights.

Ucapan penuh apresiasi turut disampaikan oleh Stephanie kepada ASEAN Fashion Designers Showcase (AFDS) dari Brunei, Singapura, Vietnam dan Malaysia yang menghidupkan kolaborasi lintas negara.Pertunjukan diteruskan dengan persembahan koleksi daripada Indra Murak, December Teo, Bianca, Saerah R. Kunjan dan Angelique membawa audiens menyusuri perjalanan estetik dari elegan kontemporari hingga avant-garde etnik.

Kemuncak malam hadir dengan Awards Night BFW 2025, dimeriahkan dengan persembahan budaya dan pertunjukan istimewa oleh Calvin Thoo, Nasha Prive, Heritage Wear serta Yacutha. Antara penerima anugerah yang diraikan:

  • Green Thread Award – Saerah R. Kunjan
  • Most Promising Designer – Ocely
  • Emerging Designer of The Year – Barzwang
  • Designer of The Year – Nasha Prive
  • Model of The Year (Female) – Rania
  • Model of The Year (Male) – Ariq

Malam itu menjadi perayaan keberanian untuk berfikir di luar bingkai, dan menghidupkan fesyen sebagai bahasa kebebasan.

“BFW 2025 adalah refleksi impian kami melihat fesyen sebagai sesuatu yang bermakna, bukan hanya indah di mata, tapi berjiwa, berakar dan beretika,” tutur Stephanie dengan mata yang berkilau di balik kepuasan. “Setiap helaian yang diperagakan adalah kisah tentang kasih kita pada bumi dan budaya sendiri.” Baginya, BFW bukan lagi sebuah acara, tetapi pergerakan yang menghidupkan semangat Borneo ke pentas global.

Ketika tirai dilabuhkan, gema sorakan dan pancaran cahaya masih tertinggal di udara. BFW 2025 membuktikan bahawa industri fesyen Malaysia khususnya dari tanah Borneo kini berdiri megah sebagai kuasa kreatif baharu di Asia. Kreativiti, keberanian dan jiwa kolektif yang membaluti dua hari itu menjadikan edisi kali ini antara yang paling berimpak dalam sejarahnya. “Borneo Fashion Week akan terus hidup. Ia bukan hanya pentas, tetapi jiwa yang terus berdenyut,” ujar Stephanie menutup bicara, meninggalkan pesan bahawa fesyen, seperti juga manusia, hanya indah apabila ia berjiwa.