Belajar Ikut Cara Sendiri: University of London Lancar Program Pascasiswazah Fleksibel Untuk Rakyat Malaysia

oleh: zizi hashim

Perjalanan ilmu hari ini tidak lagi terikat pada ruang kuliah. Ia bergerak, mengalir, dan menyesuaikan diri dengan kehidupan yang semakin kompleks. Dalam langkah yang mencerminkan perubahan zaman, University of London memperkenalkan mikro-kelayakan pascasiswazah dalam talian sepenuhnya untuk pelajar di Malaysia. Sebuah pendekatan pendidikan yang lebih lentur, modular dan bersifat masa hadapan.

Program ini dibangunkan dengan penyeliaan akademik daripada institusi terkemuka seperti UCL dan City St George’s, sekali gus menawarkan standard pendidikan bertaraf global tanpa perlu meninggalkan negara. Melalui platform Global Digital Campus, pelajar diberi kebebasan untuk memulakan pengajian pada bila-bila masa, belajar dari mana sahaja, dan mengikut rentak sendiri: satu kebebasan yang semakin relevan dalam dunia kerja moden yang tidak lagi linear. 

Pendekatan “stackable” yang diperkenalkan membolehkan setiap modul disusun menjadi laluan akademik yang lebih besar. Kredit yang dikumpul boleh digunakan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat pascasiswazah penuh atau dipindahkan ke program ijazah University of London. Sebanyak lapan mikro-kelayakan ditawarkan pada peringkat awal. Tiga daripadanya memfokuskan kepada pengurusan kewangan di bawah bimbingan UCL, manakala lima lagi tertumpu kepada pengurusan rantaian bekalan global yang diselia oleh City St George’s.

Setiap modul membawa 15 kredit pascasiswazah, memberikan laluan yang lebih fleksibel kepada pelajar untuk membina kelayakan akademik secara berperingkat tanpa tekanan sistem tradisional yang kaku. Lebih menarik, sistem pembelajaran ini direka dengan keperluan profesional berkerjaya sebagai keutamaan. Penilaian dilaksanakan secara atas permintaan, membolehkan pelajar mengimbangi pengajian dengan kerjaya, keluarga dan komitmen harian tanpa perlu mengorbankan salah satu daripadanya.

Menurut Timbalan Naib Canselor, Profesor David Latchman, pendekatan ini memberi kuasa kepada pelajar untuk mengawal pendidikan mereka sendiri: belajar apa yang diperlukan, pada masa yang sesuai, tanpa terikat kepada kekangan geografi atau jadual tetap. Inisiatif ini juga selari dengan aspirasi Malaysia dalam memperkukuh pendidikan digital dan meningkatkan kemahiran tenaga kerja, seiring dengan pelan tindakan ekonomi digital negara, MyDIGITAL.

Dengan lebih 16,000 alumni di Malaysia serta lebih 3,000 pelajar aktif, University of London terus memperluas jejaknya sebagai peneraju dalam pembelajaran jarak jauh dan pendidikan digital global. Langkah ini bukan sekadar memperkenalkan program baharu, ia membuka ruang kepada generasi pembelajar yang tidak lagi mahu terikat, tetapi memilih untuk berkembang mengikut cara sendiri. Dan mungkin, di tengah kesibukan hidup yang tidak pernah berhenti, inilah bentuk pendidikan yang paling memahami, yang hadir tanpa memaksa, tetapi tetap membawa makna.