Ketika Kek Bercerita, NONA Meraikan 41 Tahun Bersama TV3 di Taman Impian Wanita

oleh: zizi hashim

Setiap kek ada ceritanya. Setiap lapisan membawa rasa, dan di sebalik rasa itu, terselit kenangan, keikhlasan, kadang-kadang air mata yang tidak tumpah. Suasana itu terasa hangat meski embun masih menempel di daun. Villa Rimba Flora, persis menyarung jubah pesta, menyambut NONA dan TV3 yang hadir dengan niat meraikan sekaligus mengenang, memberi penghargaan dan menghidupkan semula jiwa siaran yang sudah mencecah empat dekad lebih setia di hati penonton Malaysia.

Kali ini, sambutan ulang tahun ke-41 NONA dan TV3 tidak berlaku di studio yang serba formal, tetapi di sebuah taman rahsia yang membisikkan rasa kekeluargaan dan alam. Bertemakan Cake Piknik, acara ini menyuntik nafas baru, bukan dalam nada gah, tetapi dalam cara yang lembut, mendalam dan menyentuh. Semerbak harum kek di tengah taman, merayakan NONA, wajah yang sentiasa memancarkan kelembutan dan kekuatan wanita, menyambut ulang tahunnya yang ke-41 bersama TV3 dalam sebuah acara yang tidak hanya meriah, malah sarat makna.

Bertemakan Cake Piknik, satu kolaborasi manis antara NONA dan pengusaha bakeri tempatan. Latar pastel yang lunak, kek-kek yang tersusun seperti galeri rasa dan cinta, serta hadirin yang datang membawa bukan hanya kek istimewa tetapi juga harapan dan penghormatan. Tetamu tidak datang tangan kosong. Masing-masing membawa kek sebagai simbol rasa terima kasih kepada NONA, kepada TV3, kepada setiap kisah wanita yang pernah ditayangkan dan kepada semangat yang masih membara. Sebuah ‘potluck emosi’ yang jarang berlaku di mana kek dan cerita berbaur menjadi satu.

Amyra Rosli, pengacara yang dikenal dengan pesona lembut dan tutur penuh mesra, menjadi tali penghubung antara semua wanita, baker, selebriti dan peminat yang berkumpul demi merayakan perjalanan empat dekad NONA, program yang telah menjadi ruang bicara dan suara kepada begitu banyak cerita kewanitaan. Anggun dalam gaya ringkas yang bersahaja, Amyra tidak bercakap kepada kamera semata, tetapi berbual seolah-olah dengan sahabat lama. Di sekelilingnya, kek dalam bentuk gubahan luar biasa, daripada yang bercorak klasik ke bentuk surreal menjadi pelengkap kisah. 

Tirai acara dibuka oleh suara Nabila Razali yang menyelinap seperti aroma vanila. Tenang, manis dan mempesona. Tona suaranya yang tulus memantulkan harapan bahawa wanita akan terus bersinar, meski dalam gelap sekalipun. Kemudian, tibalah sesi ‘Air Tangan’ yang menyaksikan baker terkenal Jessica dari @missshortcakes menunjukkan seni menghias Mille Feuille berbentuk angka 41. Angka yang bagi orang biasa cuma umur, tapi bagi TV3 dan NONA itu adalah lambang kepercayaan berpuluh juta penonton yang tidak pernah berpaling. Mille Feuille ini seolah-olah melakar zaman: rangupnya usaha, lembutnya pendekatan, dan manisnya impak yang kekal.

Sesi ‘Dramatic Success’ pula bukan saja membuka mata, malah menggoncang jiwa. Chef Kecik dan Nor Arieni Adriena tampil bukan sebagai usahawan berjaya, tapi sebagai manusia yang pernah terjatuh, terluka dan bangkit semula dengan semangat yang jauh lebih mengkagumkan daripada sekadar resipi. Mereka mengajar bahawa kejayaan bukan terletak pada jumlah kek yang terjual, tetapi pada jumlah air mata yang ditukar menjadi inspirasi.

Sambil kek dipotong dan dibahagi, para tetamu — dari selebriti ke peminat, dari usahawan kecil ke wajah-wajah biasa — bergaul tanpa batasan. Tiada siapa ‘lebih penting’. Masing-masing berkongsi rasa, berkongsi senyuman, berkongsi gambar dan… berkongsi kek. Ada yang terharu, ada yang tergelak, dan ada yang tak sangka kek bentuk ‘TV lama zaman Mak Tok’ boleh menang Most Dramatic Cake Award.

Penghujung acara menyaksikan tawa yang tulus, pelukan yang tidak dibuat-buat dan gambar-gambar yang akan dikenang lebih dari sekadar #OOTD. Momen yang terakam bukan hanya pada lensa kamera, tetapi dalam ruang perasaan yang sukar diungkap. Acara ini menyuburkan semula makna: bahawa wanita bukan hanya penerima kisah, tetapi pencipta naratif, pereka rasa dan penjaga legasi.

41 tahun NONA adalah himpunan ribuan kisah wanita yang tidak pernah letih memperjuangkan harapan. Ia adalah saksi kepada cinta tanpa syarat antara media dan masyarakat. Dan sambutan ini, Cake Piknik, adalah cara paling manis untuk berkata: "Kami masih di sini, dan akan terus ada." Kek mungkin akan dimakan. Hiasannya akan cair. Tetapi apa yang tertinggal ialah rasa. Dan rasa itu, seperti NONA, akan terus hidup, dari generasi ke generasi.