oleh: zizi hashim
Sejak babak pertama menyala, saya tahu perjalanan ini bukan lagi tentang sekadar syaitan melompat dari sebalik pintu. The Conjuring: Last Rites terasa seperti doa terakhir yang dibisikkan ketika senja. Penuh getar, kehilangan, dan cinta yang tidak mahu padam. Michael Chaves, sutradara yang kembali mengemudi waralaba ini, menyulam kisah penutup Ed dan Lorraine Warren dengan lapisan emosi yang kental, mengingatkan kita bahawa seram paling tajam dan kejam adalah ketakutan kehilangan orang yang paling kita sayang.
Filem dibuka dengan adegan Lorraine (Vera Farmiga) dan Ed (Patrick Wilson) pada usia muda menanti kelahiran Judy. Malam itu jadi saksi: kehidupan dan seram hadir serentak, menautkan ikatan batin mereka dengan anak sulungnya. Dari situ, jelas kenapa pasangan ini sepanjang hidup begitu melindungi Judy, bahkan selepas luka besar yang Ed alami dalam filem sebelumnya. Namun ketika mereka memutuskan untuk undur dari dunia pengusiran syaitan, datang pula keluarga Smurl. Sebuah keluarga sederhana, penuh tawa, yang rumahnya tiba-tiba menjadi sarang cermin terkutuk. Satu demi satu anggota keluarga diburu, hingga rasa aman pun hilang sekelip mata.
Saya perhatikan skrip yang ditulis Ian Goldberg, Richard Naing, dan David Leslie Johnson-McGoldrick sengaja merangkai filem ini seperti kilas balik ke The Conjuring (2013). Keluarga Smurl sangat mirip keluarga Perron: besar, hangat, tetapi rentan dihancurkan oleh kejahatan ghaib. Peralihan cerita yang membelah antara kisah rumah Smurl dan dinamika keluarga Warren membuat naskhah terasa dua lapis, antara seram supernatural dan seram emosional.
Dan dalam lapis kedua inilah saya paling terikat: hubungan Judy (Mia Tomlinson) dengan Tony (Ben Hardy), bekas polis yang jatuh hati setengah mati padanya. Adegan Tony berusaha mengambil hati Ed sementara Lorraine lebih mudah memberi restu, benar-benar menghadirkan kehangatan di tengah badai. Namun jangan disangka filem ini sunyi dari seram. Michael Chaves masih menyelitkan jumpscare yang berkesan meski formula itu begitu mudah di ramal. Salah satu yang paling mengingatkan saya adegan anggota keluarga Smurl menonton video sendirian di malam buta. Hening, kemudian hantu menyelinap seperti bayangan dingin di tengkuk.
Sinematografer Eli Born menciptakan atmosfera 80-an yang autentik, dengan cahaya remang dan warna dingin yang memaksimakan rasa sesak. Sound design pun tajam: pintu berderit, bisikan halus, dentuman tiba-tiba, semua menjadi senjata yang menegangkan. Namun, yang membekas bukan teriakan, melainkan keharuan. Wilson dan Farmiga sekali lagi menjadi jiwa francais ini. Kemistri mereka tetap hidup, malah lebih matang ketika harus berdepan 'ritus terakhir'. Cinta mereka nyata, terasa sampai ke tulang.
Adegan mereka dengan Judy sering membuat pawagam hening, bukan kerana takut, tetapi kerana mata kami mulai berkaca. Di sini, Last Rites membuktikan kekuatannya: ia menyeimbangkan ketakutan dengan cinta, mengingatkan bahawa setiap pengusiran syaitan selalu berakar pada keberanian sesebuah keluarga. Meski saya akui, babak awal terasa lambat, dan ending agak tergesa, namun cameo mengejutkan dari filem-filem terdahulu serta penggunaan rakaman arkib asli Ed dan Lorraine Warren di penghujung kredit terasa seperti salam perpisahan yang menusuk dada.
Ia bukan sekadar epilog, tapi juga elegi penutup yang mungkin tidak sempurna, namun cukup untuk membuat kita mengucapkan 'selamat jalan' kepada pasangan ikonik ini. Durasi 2 jam 16 minit tidak terasa membosankan kerana setiap babak punya roh. Last Rites memang tidak menyamai kedahsyatan The Conjuring pertama yang masih terbayang-bayang hingga berminggu-minggu selepas menonton. Namun ia menghadirkan sesuatu yang berbeza: keindahan pahit, perpisahan yang syahdu, dan pengakuan bahawa warisan cinta juga adalah senjata melawan kegelapan.
Last Rites mungkin bukan filem Conjuring terbaik atau terburuk. Meski ada kritik mengatakan bahawa filem ini kurang berani sehingga tidak menakutkan seperti yang terdahulunya, Last Rites tetap menawarkan tontonan yang menghiburkan. Saya siap sedia mengucapkan 'selamat tinggal' untuk kisah Lorraine dan Ed. Dalam masa yang sama, saya tidak sabar dan teruja menantikan aksi Judy dan Tony di filem Conjuring berikutnya setelah smooth handover ketika Ed menghulurkan kunci kepada Tony. Dari situ, saya tahu ini bukan penamat, bakal bermula satu babak lain nanti...
Barisan pelakon tampil cemerlang, setiap watak dibawa dengan penuh tenaga dan meyakinkan. Secara keseluruhan, filem ini tetap berbaloi ditonton bagi penggemar francais Conjuring, meskipun penamatnya tidak benar-benar menepati janji awal yang begitu kuat. Naskhah terbaru Conjuring ini bergerak dari seram murni kepada sesuatu yang lebih emosi. Memang masih ada adegan seram. Darah, visual mengganggu, dan beberapa momen menjijikkan namun intensitinya, saya setuju, tidak setara dengan filem-filem terdahulu.
Sebaliknya, cerita lebih menekankan ikatan keluarga, pengorbanan, serta idea tentang warisan. Naratifnya bukan sahaja menyorot perjuangan keluarga Warren melawan kegelapan, tetapi juga kemunculan generasi seterusnya, yang menambah lapisan kehangatan dan kepedihan. Keistimewaan filem ini bukan pada kejutan, tetapi pada caranya menyeimbangkan ketakutan dengan cinta, iman, dan beban mewarisi penglihatan tentang masa depan.
Ramai keluar panggung bukan dengan rasa takut semata-mata, tetapi dengan dada yang sesak. Tetapi saya rasa sedikit kecewa kerana habisnya sebegitu. Kisah Lorraine dan Ed akhirnya sampai ke titik paling manusiawi: cinta yang bertahan melawan maut. The Conjuring: Last Rites mulai tayang di pawagam Malaysia pada 4 September 2025. Satu epilog yang pahit, indah, dan wajib disaksikan oleh sesiapa yang pernah merinding, menangis, atau percaya pada kisah cinta yang lahir dari kegelapan.
Inilah penutup yang getir sekaligus menyentuh, sebuah kisah yang membuat dada berdebar sambil hati turut terikat. Jika anda pernah merasakan ngeri filem pertama, jangan lepaskan babak terakhir yang epik ini. Bersiap sedialah, gelap pawagam akan jadi saksi, adakah anda cukup berani berhadapan dengan ritus terakhir ini?