oleh: zizi hashim
Kalau selalu kebiasaannya kita masuk pawagam nak tengok filem seram, jantung mesti laju, confirm peluh dingin, dan rasa nak tutup mata dengan tangan tetapi ParaXnormal bagi pengalaman terbalik habis. Dari awal sampai tamat filem, perut macam kena geletek tanpa henti. Bayangkan nak tengok hantu, tapi yang keluar lebih banyak lawak sengal dan punchline padu, sampai lupa nak rasa takut.
Memang filem ni 'pop-corn movie' dengan hiburan yang ringan, senang faham, straight to the point tapi naskhah ini bukanlah filem seram biasa-biasa. Ia hadir sebagai sebuah eksperimen berani menggabungkan seram psikologi, komedi gelap dan konflik persahabatan, menjadikannya antara tontonan paling kelakar, paling kacau bilau dan paling ‘tak normal' tahun 2025 ini, setakat ini.
Kisahnya tentang 4 sahabat lama iaitu Yasin (Joey Daud), Asri (Azhan Rani), Fateh (Epy Kodiang) dan Anas (Amir Nafis) yang selepas 3 dekad berpisah, kembali berkumpul dengan satu rancangan gila: merompak Vila Casablanca, sebuah rumah tinggal yang kononnya berhantu tetapi menyimpan harta bernilai lebih RM10 juta. Dari situlah bermula rentetan peristiwa ganjil, kacau dan melucukan, kerana yang lebih menyeramkan daripada hantu rupanya sikap tamak, dendam dan pengkhianatan di antara manusia itu sendiri.
Apa yang best, filem ni tak cuba nak jadi seram sangat pun. Dia tahu penonton datang untuk rileks, release stress, enjoy dan gelak. Jadi setiap karektor memang over-the-top dengan gaya masing-masing, macam tengok geng kawan sendiri bila tengah panik tapi masih sempat buat lawak. Sampai ada masa aku rasa macam tengok stand-up comedy yang disalut dengan efek hantu. Sumpah tak tipu, aku hampir tidak berhenti ketawa. Non-stop! Babak bacaan mentera yang tersalah jadi resepi, adegan kejar-mengejar yang berubah jadi sandiwara lawak, semuanya terakam dengan spontan.
Penerbit Nurul Ain Nordin menyebut idea filem ini lahir secara tidak sengaja dalam perbualan santai bersama Epy Kodiang, dan menariknya ia asalnya dirancang hanya sebagai sebuah super telemovie pada 2023. Namun kekuatan jalan ceritanya membuat mereka yakin untuk diangkat ke layar perak di bawah Nanord Studio Production. Di sebalik kelucuan, saya juga merasai betapa rumitnya proses penggambaran. Ada kisah teknikal, kabel rosak, kru yang melihat “dua Ain” serentak, hinggalah penolong pengarah yang tiba-tiba mengamuk lalu pengsan. Seolah-olah filem ini sendiri diselimuti misteri.
Lakonan mantap para pelakon veteran dan generasi baharu mencipta keseimbangan unik. Ellie Suriaty Omar dan Kamarool Haji Yusoff sebagai pelengkap memberikan warna yang meneguhkan lagi jalan cerita. Gabungan tenaga ini menjadikan Paraxnormal bukan sekadar komedi seram tempatan, tetapi sebuah naskhah yang menyuntik kesegaran dalam genre yang sering dianggap klise. Memang penat ketawa sampai cramp pipi saya dibuatnya. Sebab setiap kali fikir “ok kali ni mesti seram betul”, tiba-tiba muncul lagi babak kelakar yang tak diduga. Bonusnya, jalan cerita masih kemas meski vibe dia santai.
Durasi 1 jam 27 minit tak rasa pun draggy atau meleret-leret. Kalau tanya saya, memang saya cukup terhibur. Hilang terus stress kepala otak, macam keluar pawagam dengan energi baru. Filem sebeginilah yang saya suka tonton sebenarnya. Ya, kadang-kadang kita memang perlukan filem macam ni, yang tak berat, tak serabut, dan boleh repeat tengok banyak kali tanpa jemu sebab memang kelakar terok. Tak kira kau dah hafal punchline dia pun, bila tengok balik tetap pecah gelak sebab delivery pelakon tu hidup gila.
Kekuatan ParaXnormal banyak datang daripada lakonan pelakon-pelakonnya. Joey Daud dengan gaya lawak selamba signatur dia memang jadi nadi komedi utama. Setiap kali dia buka mulut, confirm ada benda kelakar yang melekat dalam kepala terkeluar. Azhan Rani pula bagi warna berbeza; meski selalu kita tengok dia dalam watak serius, kali ni dia buktikan sisi kelakar dia pun power. Epy Kodiang dan Amir Nafis pula bawa vibes anak muda yang selamba, jadi penyeri geng dan berjaya tarik penonton muda untuk rasa dekat dengan karektor.
Elly Suriati, yang biasanya kita kenal dalam watak berat dan dramatik, tampil dengan gaya lebih santai tetapi masih ada karisma besar sehinggakan Joey Daud member nama baru 'Elly Seriauti' kepadanya kerana benar-benar rasa seriau sewaktu berlakon bersama. Kamarool pula? Tak usah cakaplah, ekspresi wajah dia sendiri dah cukup buat orang ketawa, tak payah banyak dialog pun. Kehadiran dia dalam setiap bingkai pun dah buat satu panggung riuh dan gamat.
Kalau anda sedang stress, tengah serabut dengan kerja, atau sekadar nak lepaskan penat hujung minggu, ParaXnormal confirm jadi ubat paling mujarab. Jangan pelik kalau keluar wayang nanti bukan takut hantu, tapi takut teringat balik babak lawak sampai tersengih sorang-sorang. Saya keluar panggung rasa recharged! Hilang semua stress! ParaXnormal akan ditayangkan di seluruh negara mulai 28 Ogos 2025. Anggap ini filem ubat lawak, yang boleh “cure” rasa penat dan suram. Bawa kawan, keluarga, atau siapa saja yang perlukan senyuman tulus. Ajak semua tonton dan ketawa sambil rileks kerana memang ParaXnormal ini komedi seram paling kelakar tahun ini yang layak sangat ditonton! Jom ke pawagam!