oleh: zizi hashim
Saya pernah jadi remaja yang takutkan Fisherman, lelaki berhoodie hitam dan cangkuk berdarah, archetype yang menghantui zaman VHS dan poster seram di bilik tidur. Filem asal tahun 1997 mungkin bukan mahakarya sinematik, tetapi ia punya jiwa. Trauma, rasa bersalah, cinta yang bergelut, semuanya tertulis dalam nadi naratifnya. Kini, dua dekad lebih kemudian, warisan itu cuba dihidupkan semula… tapi sayangnya, nyawanya seperti sudah menghilang. Menyaksikan I Know What You Did Last Summer (2025), saya tidak pulang dengan rasa puas hati, melainkan kehampaan yang bergaung, seperti pantai yang ditinggalkan ombak selepas badai.
Ia bermula dengan janji. Sekumpulan remaja di Southport, North Carolina, meraikan 4 Julai dengan letupan yang bukan hanya bunga api, tetapi takdir yang terbelah dua. Sebuah kemalangan, tubuh yang tenggelam, dan sumpah rahsia yang mengikat 5 jiwa ke liang rasa bersalah. Saya hampir tertarik, hampir terseret ke tepi tebing itu… tetapi naskhah ini seperti hilang arah selepas langkah pertama. Cuba melukis nostalgia, tetapi dengan tangan yang menggigil. Permulaannya bagai menjanjikan sesuatu. Kemalangan di lereng gunung, janji dirahsiakan dan mesej ancaman di majlis bridal shower. Namun irama cerita segera terpesong, bak lagu lama yang dimainkan terlalu laju, terlalu sumbang.
Chase Sui Wonders sebagai Ava? Jujur saya katakan, emosinya mendatar, dan wataknya terlalu dibebani eksposisi tanpa nyawa. Dia yang sepatutnya menjadi 'final girl' versi 2025, gagal menyuntik rasa dengan watak yang tidak akan dikenang. Dan walaupun kembalinya Jennifer Love Hewitt dan Freddie Prinze Jr. memberi sedikit degupan nostalgia, mereka lebih terasa seperti cameo kasihan daripada watak yang masih hidup dalam semesta ini. Saya cuba mencari cahaya dan ya, ada beberapa momen yang membuat saya meneka siapa dalangnya.
Namun permainan itu cepat jadi hambar apabila segala petunjuk hanya membawa ke jalan buntu, dan penghujungnya? Seolah disulam daripada benang plot twist yang kusut dan tak terlerai. Bukan kerana dia tidak cuba, tetapi kerana dia dibebani skrip yang tidak memberinya peluang untuk benar-benar menyerlah. Dia kelihatan seperti bayang-bayang kepada Julie James, tanpa arah, tanpa denyut. Meski penonton diberi reunion singkat Jennifer Love Hewitt dan Freddie Prinze Jr., kemunculan mereka lebih terasa seperti dekorasi nostalgia semata-mata, bukan jantung yang mengepam semula ingatan kita terhadap nadi asal filem ini.
Ada detik-detik di mana saya berharap plot akan mengejutkan, tetapi ia lebih kerap menjengkelkan. Pembunuhan yang seharusnya mencengkam tetapi dipenuhi klise. Klimaks yang kononnya twist, jadi seperti simpulan yang dipaksa ikat walau tali sudah reput. Tension dibina sekejap, hanya untuk dilepaskan seperti belon yang dicucuk jarum. Saya tertanya-tanya sendiri, siapa yang filem ini cuba puaskan? Ia cuba jadi meta, kononnya menyindir warisan sendiri sambil memuja bayang-bayangnya. Tapi realitinya, naskhah ini terjerumus ke dalam jurang ironi yang digali sendiri. Mahu kelihatan pintar, tetapi gagal memikat bahkan pada tahap paling asas: untuk menakutkan.
Lebih menyedihkan, ia menyuntik elemen “Gen Z” dengan begitu artifisial: podcaster true crime yang seolah-olah petikan dari Twitter, karakter yang ‘therapy speak’ sepanjang masa, dan lagu Addison Rae mengakhiri filem dengan ironinya. Ia terasa seperti satu cubaan desperado untuk kelihatan relevan, seperti ingin menjerit, “lihat kami juga hip!”. Gabbriette Bechtel dan Madelyn Cline tidak diberi ruang untuk berkembang. Watak mereka hanya seperti kapsyen dalam Instagram story, hadir sekejap dan hilang dalam angin.
Namun saya berikan kredit pada satu perkara: penampilan Ava sebagai biseksual ditampilkan dengan ringkas tetapi jujur. Tiada babak-babak murahan yang menjadikan identitinya sebagai momen pendidikan. Ia hadir begitu sahaja, seperti angin yang tenang dan itu terasa tulen. Tapi sayangnya, kejujuran itu terapung sendirian dalam lautan sinikal yang terlalu luas. Mungkin yang paling menyakitkan sebagai peminat genre seram adalah menyedari bahawa filem ini, seperti banyak sekuel legasi sebelum ini, terlalu sibuk bermain bayang-bayang sehingga terlupa mencipta identiti sendiri. Ia mempergunakan mitos Fisherman seolah-olah satu ikon agung, sedangkan dalam realiti, kita tahu filem asal pun hanya hidup kerana ia datang dari era yang sarat wajah-wajah popular dan poster VHS yang mendebarkan.
Saya pernah percaya filem seram harus mengganggu, bukan sekadar menggertak. Tetapi I Know What You Did Last Summer (2025) lebih sibuk mencerminkan dirinya dalam cermin nostalgia, seolah berkata, “Lihat, aku masih relevan.” Malangnya, pantulan itu hanyalah wajah letih sebuah genre yang kehabisan tenaga dan idea. Skripnya longgar, penuh dialog canggung dan pilihan-pilihan karektor yang tak masuk akal. Malah, ketika plot twist besar di penghujungnya menjelma, saya tidak terasa teruja langsung. Hanya termenung, cuba memahami logik yang tidak wujud. Filem ini mahu mengangkat dirinya sebagai ‘ikonik’, tapi yang tinggal hanyalah bayang kekosongan yang terlalu yakin dengan dirinya sendiri.
Ketika sampai ke titik pendedahan mengejut itu, saya sudah letih. Letih dengan dialog yang hambar, plot yang tak logik, dan percubaan untuk menjadi ‘pandai’ yang terasa dibuat-buat. Saya masih termenung lama, bukan kerana takut… tetapi kerana kecewa. Mungkin Fisherman seharusnya terus tidur di dasar laut, biar kisahnya jadi bisik legenda semata. Tidak semua yang lama perlu dibangkitkan. Tidak semua trauma patut dirajut semula jadi konten moden.
Kadang-kadang, kenangan yang pahit itu perlu dibiarkan dalam kabut, bukan dihidupkan semula dengan wajah plastik. I Know What You Did Last Summer (2025) bukan sahaja gagal sebagai filem seram, tetapi juga sebagai warisan. Ia adalah tubuh tanpa roh, jeritan tanpa gema, dan musim panas yang kehilangan semua harapannya. Kalau ada satu perkara yang saya pelajari selepas keluar dari panggung, ialah betapa nostalgia boleh membunuh bukan dengan cangkuk, tetapi dengan kekosongan yang terlalu yakin ia masih bermakna.
Satu kesimpulan pahit, I Know What You Did Last Summer (2025) bukan sekadar reboot gagal, ia epitaf kepada sebuah warisan yang tidak sepatutnya dihidupkan semula. Tidak semua kenangan layak dibangkitkan. Sebahagiannya lebih baik dibiarkan tenggelam. Anda tontonlah dan nilai sendiri, tayangan di pawagam Malaysia bermula 17 Julai 2025 dalam durasi 111 minit.