Cinta Lintas Agama, Budaya Dan Variasi Nilai Masyarakat Dalam Filem Komedi Islamik 'Isan Nikah'

oleh: zizi hashim

Sebaris dialog pembuka membawa kita menyusur lorong-lorong kampung Pattani, di mana hati Sophia terpaut kepada Bak Kai, jejaka Buddha dari Isan. Patutlah mata mereka berbicara, meski bibir masih ragu merangkai kata kerana cinta sering bicara tanpa suara, dan di situlah wujud keberanian yang sunyi. Karya sutradara Kriangkrai Monwichit bukanlah filem berat penuh falsafah. Ianya bagaikan pengukir emosi; menggubah babak satu demi satu dengan irama yang puitis, namun tetap mengundang gelak. Dia mahir mengimbangi ranah komedi ringan dengan getaran trauma yang tersembunyi.

Di sebalik lawak jenaka dan suasana kampung yang santai, tersisip kritikan sosial yang tajam. Tentang prasangka, tentang bagaimana sejarah peribadi membentuk kebencian yang diwarisi, dan bagaimana manusia selalunya takut pada yang mereka tidak mengerti. Bak Kai, lelaki Isan yang polos dan jujur, tidak datang dengan janji-janji megah. Dia hadir dengan keberanian paling suci: meninggalkan agamanya demi cinta, dan menerima Islam demi mempersunting Sophia, gadis Muslim dari Pattani. Sophia memilih cinta bukan karena idealisme romantis, tetapi karena hatinya yang tulus. Bak Kai mengorbankan identitinya, meruntuh tembok kepercayaannya dan memilih Islam demi ikatan suci itu.

Namun cinta yang kelihatan indah itu tidak berjalan di atas permaidani merah. Ia dilintasi dengan jalan berduri, dihantui trauma lama Bang Lee, abang Sophia. Perkahwinan itu bukan sekadar ikatan dua hati, tetapi medan pergelutan antara memori silam dan impian baharu. Abang yang terluka, merangkul dendam lama kerana ibu yang meninggalkan keluarga demi lelaki Isan, kini menjadi bayang yang menyulam ketakutan pada perkahwinan adiknya. Gelagat lucu Bang Lee mungkin mengundang tawa namun renungan matanya mendedah keresahan yang lebih dalam. Di situlah Monwichit menuai keunikan: lawak bertindih rasa, dan jenaka yang melahirkan simpati.

Cerita ini membuka mata penonton kepada dunia masyarakat Muslim Selatan Thailand, bahasa Pattani, juadah tradisi, adat yang tertanam di sanubari. Layaknya sebuah kenduri jiwa, layar ini menyajikan irama budaya yang jarang diterokai dalam mainstream filem Thailand. Empire Film Solution menghimpun naskhah ini demi memaparkan sisi halus dan keinsanan masyarakat yang sering terlindung di sebalik stereotaip. 

Ramai tertawa kecil ketika Bab Kai tersipu-sipu menyebut lafaz nikah, dan terdiam panjang sewaktu Bang Lee menyuarakan kekecewaan yang dibungkus dalam amarah. Di antara babak-babak lucu dan wajah-wajah lugu, filem ini membawa kita melihat betapa kompleksnya hubungan antara budaya Isan dan masyarakat Islam selatan Thailand, satu realiti yang jarang diangkat dalam layar komersial. Namun di sebalik tawa itu, terasa getir: kisah keluarga yang pernah hancur, dosa perpisahan yang tak pernah sembuh.

Adegan-pernikahan mereka terasa syahdu: kamar sederhana, doa dipanjatkan, dan tangisan haru tersisip antara lafaz cinta. Itulah saat filem ini berjaya. Ia tidak hanya tampak, tetapi terasa. Kita bukan sekadar menonton; kita merasakan detik itu, seolah-olah diundang ke dalam majlis mereka. Sepanjang 90 minit, saya terasa seperti menjadi tetamu yang hadir dalam sebuah kenduri jiwa. Dihidangkan gelak ketawa, ditawarkan tangis sendu dan akhirnya pulang dengan dada yang penuh gejolak perasaan.

Meski bercerita tentang cinta dan penerimaan, sesetengah konflik terasa dipermudahkan. Plot dan naratif terasa tergesa-gesa seperti dikejar masa untuk menyelesaikan semua cerita dan konflik dalam masa yang singkat. Dan ya, sesekali humornya menggelitik sampai melebihi batas kesopanan, menjadikan tontonan sedikit tergangu jika terlalu peka dengan kata-kata kasar. Namun kelemahan plot tidak menenggelamkan roh karya ini. Ia tetap mengalir tulus. Justeru, filem ini akar dan menyentuh. Terasnya tetap kuat, memberi ruang penonton bernafas dan menilai sendiri nilai toleransi dalam masyarakat yang berbilang budaya.

Apa yang menjadikan Isan Nikah istimewa bukanlah teknikaliti atau skrip yang canggih. Ia istimewa kerana keberaniannya untuk jujur, tentang cinta yang tidak tunduk pada sempadan, tentang saudara yang patah tetapi masih ingin melindungi, dan tentang iman yang dipilih bukan kerana paksaan, tetapi kerana pengorbanan. Isan Nikah adalah sebuah perjalanan yang tak hanya merentas geografi dan agama, tetapi menelusuri ruang paling sunyi dalam jiwa manusia, keinginan untuk dicintai tanpa syarat.

90 minit berlalu, antara tawa yang hangat dan isyarat sayu, Isan Nikah menyuntik idea bahawa cinta sejati sering memerlukan pengorbanan, bahwa kepercayaan mesti ditebus bukan kerana perintah, tetapi kerana hati sama-sama memilih. Ia bukanlah kisah sempurna, tetapi ia adalah kisah jujur tentang keberanian anak muda memilih cinta melintasi agama; tentang keluarga yang perlu sembuh dari darah sejarah; dan tentang kita, penonton, yang diminta membuka mata kepada dunia di luar sempadan kita sendiri.

Sebuah filem seadanya irama, namun tetap memainkan notasi lembut dan berani. Tayangan di pawagam Malaysia bermula 17 Julai 2025. Tontonan ini bukan hanya hiburan. Ini adalah cermin, yang memantulkan wajah kemanusiaan kita yang kadang takut menerima perbezaan, tapi tetap haus pada kasih yang sahih.