oleh: zizi hashim
Mula-mula memang saya agak skeptikal. Terus terang, saya khuatir filem ini hanya akan menjadi propaganda semata-mata, seperti filem-filem era lama yang penuh dengan retorik kosong. Bayangan filem-filem bergenre action war yang gagal bermain-main di ruang legar kepala, membuatkan saya hampir enggan memberi peluang. Namun, ternyata saya salah besar.
Believe: The Ultimate Battle menampar semua sangkaan awal saya. Filem arahan sutradara Rahabi Mandra dan Arwin Tri Wardhana ini berjaya meruntuhkan dinding skeptisisme dengan kekuatan visual yang mengejutkan, naratif yang jujur, dan lakonan yang penuh jiwa.
Berlatar belakang Operasi Seroja 1975 di Timor Timur, filem ini mengisahkan perjalanan Agus (Ajil Ditto), seorang anak muda yang dibesarkan dalam bayang-bayang keras ayahnya, Ketua Sarjan Dedi (Wafda Saifan), veteran perang yang kemudiannya gugur dalam kemalangan jalan raya pada 1984.
Sepuluh minit pertama sahaja sudah cukup untuk membuat saya terdiam. Adegan keberangkatan prajurit ABRI (kini TNI) dari pelbagai kesatuan menuju Timor Timur pada Disember 1975 digambarkan dengan begitu natural dan mengerikan. Payung terjun yang terbelah di udara, peluru menembusi tubuh sebelum kaki menyentuh bumi, prajurit tersangkut di dahan pokok, terjerembab ke sungai kering berbatu, atau menembusi bumbung rumah penduduk, semua itu disajikan tanpa dramatisasi berlebihan.
Inilah perang yang sebenarnya. Bukan glamour. Bukan heroik. Hanya kematian yang datang tanpa pilih kasih. Yang lebih menakjubkan, sutradara tidak hanya menumpukan pada aksi fizikal semata. Mereka memahami bahawa perang sebenar bermula dari batin setiap prajurit. Konflik dalaman yang menyayat: bertahan di rumah menemani isteri yang sarat mengandung, atau pergi ke medan juang demi tugas, bangsa, dan negara? Keputusan yang tidak pernah mudah, bahkan untuk jiwa paling berani sekalipun.
Serka Deddy Unadi adalah contoh tragis bagaimana perang memusnahkan lebih daripada sekadar nyawa. Isterinya tidak tahan dengan kepahitan hidup sebagai keluarga tentera. Gaji yang tidak mencukupi, suami yang pulang dengan tubuh rosak, apatah lagi trauma yang tidak kunjung reda. Dia pergi, meninggalkan Deddy dan beberapa anak mereka, termasuk Agus yang baru berusia 5 tahun.
Konflik inilah yang kemudiannya mewarnai seluruh perjalanan hidup Agus. Trauma zaman kanak-kanak, luka penolakan, dan kehilangan menjadi beban yang dia pikul sehingga dewasa. Namun filem ini tidak membiarkan Agus tenggelam dalam kepahitan. Sebaliknya, dia bangkit dengan cara yang sangat manusiawi, melalui prestasi dan ketakwaan.
Buku Yasin warisan ayahnya yang selalu terselit di saku baju menjadi simbol kekuatan: Ora et Labora, berdoa dan bekerja. Bahkan di tengah hutan lebat Timor Timur, di sela tembakan gerilya, Agus meluangkan masa untuk membacanya. Kombinasi iman dan usaha inilah yang membentuknya menjadi seorang Jeneral Bintang Empat, Panglima TNI sejak November 2023. Ya, filem ini terinspirasi dari kisah nyata Jeneral Agus Subiyanto.
Letupan nampak begitu hidup. Gegaran tanah terasa sehingga ke tulang belakang. Setiap tembakan membawa akibat visual yang memuaskan, tanpa terasa palsu atau dipaksakan. Setting yang menyerupai Timor Timur, penggunaan kapal perang seperti KRI Teluk Amboina-503, helikopter "hidung pesek", bahagian dalam pesawat Hercules C-130, T-138, dan Dakota C-47, semuanya direka dengan teliti untuk memberikan autentisiti maksima.
Seragam prajurit pun dijahit sendiri agar menyerupai seragam asal Operasi Seroja. Perincian seperti ini yang menjadikan Believe: The Ultimate Battle lebih daripada sekadar tontonan, tetapi pengalaman yang menusuk jiwa. Meski berlatar peperangan, filem ini tidak melupakan unsur kemanusiaan yang paling asasi iaitu cinta. Hubungan Agus dengan Evi Sophia Indra (Adinda Thomas), calon isterinya, diselitkan dengan begitu manis melalui adegan "diplomasi sayuran" ketika bertugas di Garut. Momen tersebut memberikan ruang bernafas kepada penonton sebelum kembali dihentak dengan kengerian perang.
Kesetiaan Evi kepada Agus sepanjang perjalanan hidupnya turut menjadi testimoni kuat: pengorbanan tidak hanya milik prajurit di medan laga, tetapi juga isteri dan keluarga yang menunggu di rumah dengan penuh cemas. Mereka berharap suami pulang dalam keadaan sihat, tetapi bersedia menerima apa sahaja takdir yang menanti.
Tidak ada karya yang sempurna. Beberapa adegan permulaan terasa agak perlahan, mungkin boleh menyebabkan kebosanan bagi sesetengah penonton. Watak sampingan juga tidak dikembangkan dengan baik. Mereka sekadar latar, bukan individu dengan cerita tersendiri. Adegan penurunan dari kapal terbang sedikit kabur secara visual, mengganggu keindahan babak yang sebenarnya berpotensi lebih epik.
Selain itu, terdapat beberapa babak pembunuhan yang kejam dan mengerikan, sesuai untuk tontonan dewasa sahaja. Namun semua kekurangan itu hanyalah selingan kecil dalam sebuah karya monumental. Perang tidak pernah membawa kemenangan sebenar, hanya luka dan kehilangan. Inilah mesej lantang yang perlu didengar oleh generasi muda hari ini, agar mereka lebih sedar dan menghargai pengorbanan para pejuang negara.
Believe: The Ultimate Battle sangat layak ditonton oleh semua lapisan masyarakat. Cerita yang kuat, mesej yang sampai tepat ke jiwa, dan visual yang berkelas menjadikan filem ini lebih daripada sekadar hiburan, ia adalah pendidikan sejarah yang tidak boleh dilupakan, tauladan untuk generasi masa hadapan.
Jalan cerita mudah diikuti tanpa perlu pening. Elemen cinta memberikan warna emosi tambahan. Sinematografi memang padu, dengan babak perang yang letupannya nampak sangat nyata. Setiap saat berharga, setiap minit bermakna. Worth every minute. Sangat recommended! Tayangan bermula 9 Oktober 2025 di seluruh pawagam Malaysia.