Api di Sebalik Istana Tanpa Batas, Refleksi Peribadi Menyambut 'Demon Slayer: Kimetsu no Yaiba – Infinity Castle'

Langkah pertama selalunya yang paling getir. Itulah yang saya rasakan ketika layar mulai menyala dan membawa saya masuk ke ruang asing bernama Infinity Castle, sebuah dimensi rekaan yang terasa seperti jerat tak berpenghujung. Sejujurnya, saya memang tidak tahu apa-apa langsung tentang anime Demon Slayer ini sehinggalah saya 'dipaksa' menontonnya oleh anak lelaki saya sendiri. Masuk ke pawagam blur blur tanpa sebarang ekpektasi, meski pada mulanya sudah mulai rasa mengantuk kerana tidak faham. Namun, apa yang berlaku selepas itu ibarat satu hentakan kilat. Saya terhanyut, terpukau dan langsung tidak mampu melepaskan diri.

Ufotable, studio yang selama ini dipuja kerana dedikasi visualnya, memilih taruhan berani menutup saga Kimetsu no Yaiba bukan melalui siri, melainkan dengan trilogi filem. Dan Infinity Castle berdiri sebagai pembuka, mengangkat beban harapan setinggi langit. Tidak hanya tampil sebagai pembuka trilogi penutup, tetapi juga sebagai babak yang menandakan permulaan perpisahan dengan saga yang sudah bertahun-tahun membentuk imaginasi dan hati penggemarnya. Selama 2 jam 35 minit, saya terikat dalam dunia yang menempatkan Korps Pembasmi Iblis bersama para Hashira ke dalam perangkap Muzan Kibutsuji, sang Raja Iblis. Infinity Castle menjadi gelanggang utama dengan satu lokasi, satu latar, namun digarap dengan kreativiti tanpa batas. Warna, struktur, dan transformasinya membuat istana itu hidup, bernafas, bahkan menindas.

Tiga pertarungan menjadi tulang belakang filem ini. Shinobu Kocho berhadapan dengan Doma dalam pertarungan yang memercikkan kegetiran peribadi. Zenitsu, yang selama ini dianggap pengecut, akhirnya berdiri menentang Kaigaku, membuka lembaran peribadi tentang hubungan persaudaraan yang retak dan maruah yang harus ditegakkan. Dan tentu saja, klimaks yang ditunggu-tunggu: Tanjiro bersama Giyu berhadapan dengan Akaza. Pertarungan ini bukan hanya soal kekuatan, tetapi juga konfrontasi dengan trauma lama, dendam yang belum usai, dan akhirnya sebuah pengungkapan tentang siapa Akaza sebenarnya. Setiap pertempuran berdiri seolah-olah ianya adalah babnya sendiri, namun sutradara Haruo Sotozaki bijak menjahitnya dengan satu benang merah, iaitu perjuangan untuk menumpaskan Muzan.

Infinity Castle tampil sebagai janji bahawa trilogi ini akan menjadi epik yang sukar dilupakan. Markas Muzan Kibutsuji yang misteri, penuh liku-liku tipu helah dan perubahan wujud yang tak terduga. Setiap lorong dan ruang bagaikan metafora: dunia yang bisa menelan siapa saja yang berani menentang takdir. Ada yang berkata kilas balik terlalu kerap memotong arus pertempuran. Saya akui, ritmanya kadang terganggu. Namun di sebalik itu, flashback menghadirkan lapisan emosi yang membuat babak aksi tidak kering semata-mata. Kisah Shinobu terasa lebih getir kerana masa lalunya dengan Doma; Zenitsu tampil lebih berani kerana luka yang diwariskan Kaigaku; dan Akaza… ah, di sinilah filem ini mencapai puncaknya.

Saya tidak menyangka akan begitu terikat pada latar belakang Akaza atau secara lebih tepatnya, Hakuji, pemuda malang sebelum berubah menjadi Iblis, dituturkan dengan penuh nuansa. Dia bukan hanya musuh yang harus ditebas, tetapi manusia malang yang terjerumus ke kegelapan. Tragedi itu membuat setiap serangan terasa memilukan, membuat pedang di tangan Tanjiro terasa berat, kerana yang ditikam bukan sekadar monster, melainkan sisa kemanusiaan yang pernah berjuang untuk bertahan hidup. Empati yang lahir di titik itu menjadi bukti bahawa Demon Slayer bukan hanya tentang pertarungan, tetapi tentang luka dan kehilangan. Sedar tak sedar airmata saya turut jatuh berlinangan.

Secara teknikal, filem ini adalah perayaan mata dan telinga. Ufotable kembali membuktikan reputasinya dengan animasi yang seolah tidak mengenal batas dana. Setiap frame begitu teliti, dari efek cahaya, koreografi nafas, hingga pergerakan kamera digital terasa organik dan memukau. Muzik karya Yuki Kajiura dan Go Shiina menambah dimensi lain, tidak hanya mengiringi, tapi benar-benar mengangkat setiap adegan ke tingkat ekstasi. Kehadiran suara LiSA dan Aimer dalam runut bunyi menambah sentuhan megah sekaligus melankolik, seolah-olah kita sedang menyaksikan opera tragedi di panggung terbuka.

Namun, keindahan visual dan dentuman muzik itu tidak sepenuhnya menutup kelemahan pacing. Format filem membuat penonton harus menelan semuanya sekaligus, tanpa ruang jeda seperti episod mingguan. Ada saat di mana intensiti aksi mendadak terhenti, digantikan potongan masa lalu yang lambat dan berat. Dalam format siri, transisi itu masih boleh dihadam kerana episod memberi ruang pause. Tetapi dalam format filem, penonton harus menelan semuanya sekaligus dan kadang kala terasa melelahkan. Bagi penggemar setia, ia adalah hadiah yang menakjubkan. Meski begitu, bagi saya, kilas balik tetap penting kerana ia memperkaya karektor dan membuat pertarungan tidak kosong dari jiwa.

Apa yang membuat filem ini selayaknya disebut epik adalah caranya menyeimbangkan skala besar dan inti emosional. Shinobu, yang selama ini tampak tenang, akhirnya memperlihatkan lapisan getir masa lalunya. Zenitsu, yang sering jadi sumber ketawa dan rasa kesal, akhirnya mencapai titik klimaks perkembangan karektor. Dan Tanjiro, sosok sederhana dengan hati yang lembut terus menjadi pusat cahaya di tengah dunia yang kian gelap. Di sebalik dentuman dan percikan cahaya pedang, filem ini juga memberi ruang untuk keheningan yang lirih. Momen-momen di mana air mata jatuh tanpa suara, di mana kehilangan terasa begitu nyata, membuat kita sedar bahawa Demon Slayer bukan hanya tentang kemenangan, tetapi juga tentang keberanian menerima luka.

Saya keluar dari panggung setelah hampir 3 jam dengan hati yang penuh. Infinity Castle berhasil menyalakan semangat dan membuat saya jatuh cinta perlahan-lahan meski pada awalnya sedikit bimbang akan tertidur sepanjang filem berlangsung. Filem pembuka trilogi ini sekaligus sebuah pengakuan bahawa Kimetsu no Yaiba ingin menutup tirai dengan cara paling megah. Jika Ufotable mampu menjaga bara ini hingga dua filem seterusnya, maka saga ini tidak hanya akan dikenang sebagai anime fenomena, tetapi sebagai pengalaman sinematik yang membekas dalam memori kolektif kita.

Ada kepuasan usai menonton, meski disertai letih oleh panjangnya naratif. Infinity Castle sukses menyalakan api antisipasi, membangun jambatan menuju dua filem berikutnya. Saya pulang dengan keyakinan bahawa jika bara ini terus dipelihara, trilogi ini akan menjadi catatan monumental dalam sejarah anime. Demon Slayer: Kimetsu no Yaiba – Infinity Castle kini masih ditayangan di pawagam Malaysia sejak 14 Ogos 2025, dan bagi saya, ia lebih dari sekadar tontonan biasa, ia adalah badai pertama dari trilogi perpisahan yang akan terus bergema menyatukan keganasan, keindahan, dan kesedihan dalam satu pengalaman yang sukar dilupakan.