
oleh: zizi hashim
Tanpa menjanjikan ledakan luar biasa, Supergirl memilih untuk mengajak penonton menelusuri luka yang tidak pernah sembuh. Itulah rasa pertama yang singgah dalam diri saya ketika lampu pawagam mula malap dan Supergirl membuka tirainya. Datang tanpa meletakkan harapan terlalu tinggi, mungkin kerana pengalaman dengan beberapa filem adiwira kebelakangan ini yang lebih sibuk mengejar skala berbanding jiwa tetapi anehnya, kali ini saya pulang dengan hati yang tidak puas sepenuhnya, tetapi tetap membawa sesuatu untuk direnungkan.
Craig Gillespie memilih jalan yang agak berbeza. Tidak tergesa-gesa menjadikan Kara Zor-El sekadar bayang-bayang kepada Superman, sutradara ini cuba menyulam asal-usul sepupu Kal-El itu melalui perjalanan yang lebih kasar, lebih berliku dan jauh lebih rapuh. Kara bukan hadir sebagai adiwira yang sudah sempurna. Dia masih bergelut dengan kehilangan rumah, keluarga dan identitinya sendiri. Krypton baginya bukan sekadar kisah sejarah yang diceritakan orang lain, tetapi memori yang masih bernafas dalam ingatan.


Naratif filem ini berkembang apabila Kara dipertemukan dengan Ruthye Marye Knoll, gadis muda yang seluruh keluarganya dibunuh oleh Krem of the Yellow Hills. Pertemuan mereka tidak berlaku dengan mudah. Malah, perjalanan untuk menyatukan dua jiwa yang sama-sama dibelenggu dendam terasa panjang dan kadangkala terlalu bersimpang-siur. Ada ketika saya merasakan filem ini sengaja mencipta terlalu banyak halangan sehingga penyelesaiannya akhirnya terasa terlalu mudah. Konflik bertingkat-tingkat yang dibina sejak awal seakan kehilangan tenaga apabila tiba ke penghujung cerita.
Namun, saya tidak dapat menafikan bahawa hubungan antara Kara dan Ruthye menjadi nadi sebenar filem ini. Dinamika mereka berkembang perlahan-lahan seperti hubungan seorang kakak yang keras kepala dengan adik yang sedang belajar memahami dunia. Eve Ridley memberikan persembahan yang cukup meyakinkan sehingga Ruthye tidak pernah terasa sekadar watak sampingan. Dia menjadi cermin kepada perjalanan emosi Kara sendiri.


Milly Alcock pula benar-benar membuktikan mengapa James Gunn begitu yakin memilihnya sebagai Supergirl baharu. Kara versinya jauh daripada gambaran gadis sempurna. Dia impulsif, keras kepala, mudah melenting, kadangkala membuat keputusan yang salah, malah gagal menyelamatkan semua orang. Tetapi justeru kelemahan itulah saya lebih mudah mempercayainya sebagai manusia sebelum mempercayainya sebagai adiwira.
Menariknya, saya melihat Kara jauh lebih matang dan berdikari berbanding Superman dalam filem ini. Dia tidak bergantung kepada sesiapa untuk membuat keputusan. Dia melangkah mengikut naluri sendiri walaupun sering tersasar. Ada keberanian yang terasa lebih mentah tetapi lebih jujur. Superman masih membawa sifat optimis yang menyenangkan, namun Kara memiliki sisi yang lebih liar dan lebih dekat dengan realiti kehidupan yang tidak pernah memberi peluang kedua.


Salah satu perkara kecil yang paling saya gemari ialah bagaimana filem ini menggunakan konsep "tempoh tiga kali bulan penuh" sebagai ukuran masa, bersamaan kira-kira 72 jam. Ia menggantikan kiraan jam moden melalui alat ciptaan ayah Kara yang dibekalkan ketika dia dihantar meninggalkan Krypton. Perincian sebegini mungkin tampak remeh, tetapi ia memberikan identiti budaya Krypton yang lebih hidup tanpa terasa berlebihan atau menolak logik dunia yang dibina. Filem ini juga memperluaskan pemahaman kita tentang Krypton dengan lebih mendalam. Selama ini kita hanya mengenali planet itu melalui kenangan Clark Kent. Kali ini, Krypton hadir sebagai rumah yang benar-benar dirindui oleh seseorang yang pernah membesar di sana.
Flashback bersama ibu bapanya, Zor-El dan Alura, walaupun singkat, berjaya meninggalkan kesan emosi yang mendalam. Kemunculan Krypto pula menjadi kejutan yang paling menyentuh hati saya. Saya memang mudah tersentuh apabila melibatkan haiwan, jadi apabila Krypto menjadi mangsa kekejaman Krem sehingga hampir kehilangan nyawa akibat panah beracun, saya benar-benar rasa marah. Naluri sayangkan haiwan terusik sepanjang babak tersebut. Saat Kara berusaha bermati-matian menyelamatkan sahabat berkaki empatnya menjadi antara momen paling emosional dalam keseluruhan filem.


Krypto bukan sekadar maskot comel. Dia ialah teman yang mengingatkan Kara bahawa kasih sayang kadangkala lebih kuat daripada dendam. Setiap kali filem mula terasa terlalu suram, kehadiran anjing super itu mengembalikan sedikit kehangatan yang sangat diperlukan. Jason Momoa sebagai Lobo pula benar-benar menyerlah. Rasanya sukar membayangkan pelakon lain yang mampu membawa karakter itu dengan karisma sebegitu bersahaja. Kehadirannya tidak terlalu banyak, tetapi cukup untuk mencuri perhatian setiap kali muncul di skrin.
Berbeza pula dengan beberapa watak yang saya nantikan kemunculannya. Malangnya, mereka sekadar menjadi tempelan yang tidak memberi impak, malah ada yang terasa seperti sengaja diwujudkan tanpa tujuan jelas sehingga kelihatan agak "loser". Antagonis utama, Krem lakonan Matthias Schoenaerts, memiliki rupa dan aura yang mengancam. Namun motivasinya tidak pernah benar-benar digali sehingga saya sukar merasakan kebenciannya berkembang menjadi ancaman besar. Dia lebih banyak berfungsi sebagai alat untuk menggerakkan perjalanan Kara dan Ruthye daripada menjadi musuh yang benar-benar meninggalkan kesan.


Dari sudut aksi pula, saya sebenarnya mengharapkan lebih banyak peluang untuk melihat Supergirl melepaskan keseluruhan potensinya. Beberapa pertarungan kelihatan menarik, tetapi terasa terlalu terkawal. Watak yang memiliki kuasa sehebat Kara sepatutnya diberikan ruang untuk benar-benar mempamerkan kedahsyatan tersebut. Sayangnya, peluang itu hadir terlalu sedikit. Walaupun begitu, saya menghargai keputusan filem ini yang memilih cerita lebih sederhana. Tiada ancaman memusnahkan seluruh alam semesta. Fokusnya lebih dekat kepada manusia, kepada trauma, kepada kehilangan dan kepada pilihan-pilihan yang membentuk siapa diri seseorang.
Nada itu membuatkan Supergirl terasa seperti gabungan semangat pengembaraan kosmik Guardians of the Galaxy dengan dunia lasak ala Mad Max, namun masih memiliki identitinya sendiri. Saya juga suka bagaimana filem ini menyampaikan bahawa adiwira wanita tidak semestinya perlu sentiasa kelihatan anggun, sempurna dan penuh kawalan. Kara dibenarkan melakukan kesilapan. Dia dibenarkan menjadi serabut, emosional dan kadangkala gagal. Ironinya, kelemahan itulah yang membuatkan dirinya terasa lebih hidup.
Akhirnya, Supergirl bukanlah filem yang akan mengubah landskap filem adiwira. Malah, saya sendiri merasakan beberapa bahagian asal-usul Kara masih boleh diperdebatkan dan ada keputusan penceritaan yang agak berani mengambil risiko. Namun saya tetap percaya filem ini berjaya memperkenalkan siapa sebenarnya Kara Zor-El kepada generasi baharu penonton. Jika anda ingin mengenali Supergirl yang lebih matang, lebih keras kepala dan lebih manusiawi berbanding versi-versi terdahulu, filem ini wajar diberi peluang.
Jangan mengharapkan ledakan aksi tanpa henti atau konflik yang terlalu kompleks. Hadirlah untuk mengenali seorang gadis Krypton yang masih mencari makna rumah, sambil belajar bahawa dendam tidak pernah benar-benar mampu mengubati kehilangan. Bagi saya, Supergirl hanyalah sebuah hiburan yang menyenangkan tanpa perlu diambil terlalu serius. Saya menikmati perjalanannya meski tidak semua destinasinya berjaya menyentuh sasaran. Dan mungkin itu sudah memadai. Kini di pawagam seluruh Malaysia mulai 25 Jun 2026. Jom!