
oleh: zizi hashim
Laut sentiasa kelihatan indah dari kejauhan. Warnanya membiru, ombaknya menenangkan dan ufuknya seolah-olah menjanjikan kebebasan yang tiada penghujung. Namun sesiapa yang pernah hanyut di tengah lautan pasti tahu, keindahan itu mampu berubah menjadi ketakutan hanya dalam sekelip mata. Perasaan itulah yang menemani saya sepanjang menonton The Bay. Premisnya sebenarnya cukup ringkas. Dua sahabat baik, Emma dan Lani, berkunjung ke Thailand bagi menghadiri sebuah majlis perkahwinan. Ketika menikmati percutian, Emma berkenalan dengan seorang lelaki bernama Mandal yang menawarkan pengalaman melihat kawasan perlindungan jerung dari jarak dekat.
Kedengaran seperti aktiviti pelancongan biasa, sehinggalah bot yang mereka naiki mengalami kerosakan sebelum perlahan-lahan karam tepat di tengah habitat jerung harimau. Sejak detik itu, filem ini berubah daripada kisah percutian menjadi sebuah perjuangan untuk terus bernafas. Saya akui, babak awal bergerak sedikit perlahan. Filem memberi ruang memperkenalkan hubungan antara watak-watak utama sebelum benar-benar membawa penonton ke tengah lautan. Ada ketika saya berharap ritmanya dipercepatkan sedikit, namun apabila bot mula karam, segala-galanya berubah. Jantung mula berdegup lebih laju.


Setiap kali kamera menyelam ke dasar laut, saya terasa sesak nafas. Entah kenapa, filem berkaitan jerung sentiasa mempunyai kelebihan yang sama. Walaupun kita tahu apa yang bakal berlaku, kita tetap tidak mampu mengalihkan pandangan. Saat kaki watak-watak terapung di permukaan air, fikiran mula membayangkan apa yang mungkin sedang berenang jauh di bawah mereka. Itulah kekuatan utama The Bay. Ia tidak bergantung sepenuhnya kepada serangan jerung. Sebaliknya, pengarah Phil Volken lebih gemar membina ketegangan melalui rasa tidak pasti. Penonton sentiasa menunggu bilakah ancaman itu akan muncul. Kadangkala, penantian itulah yang terasa jauh lebih menyeramkan daripada serangan itu sendiri.
Visual Thailand juga menjadi antara nilai tambah filem ini. Lautannya benar-benar cantik. Airnya yang jernih, langit yang luas serta panorama pulau-pulau tropika memberikan kontras yang menarik terhadap situasi getir yang sedang berlaku. Tempat secantik itu akhirnya menjadi perangkap yang memisahkan mereka daripada dunia luar. Dari sudut teknikal, sinematografi bawah air berjaya membina rasa cemas yang konsisten. Penggunaan sudut kamera dari dasar laut membuatkan penonton sentiasa tertanya-tanya apa yang sedang menghampiri mangsa. Runut bunyi pula tidak terlalu berlebihan. Ia hadir sekadar membantu membina tekanan psikologi tanpa memaksa emosi.


Walaupun begitu, saya merasakan pembangunan watak masih belum cukup kuat. Emma dan Lani memang mudah disukai, tetapi filem tidak benar-benar memberi ruang untuk penonton mengenali mereka dengan lebih mendalam. Akibatnya, impak emosinya sedikit terbatas ketika mereka berdepan situasi genting. Begitu juga dengan beberapa keputusan yang dibuat oleh watak-watak tertentu. Ada beberapa babak yang membuatkan saya menggeleng kepala sambil berkata, "Kenapa lambat sangat nak buat keputusan?" Namun saya percaya, inilah antara formula tipikal filem survival yang sengaja diwujudkan bagi memanjangkan konflik.
Dari sudut efek visual pula, CGI jerung berada pada tahap sederhana. Ada babak yang kelihatan cukup meyakinkan sehingga membuatkan saya menggenggam erat tempat duduk. Namun terdapat juga beberapa adegan yang sedikit mengganggu kerana kesan visualnya kelihatan kurang realistik. Nasib baik kekurangan itu tidak terlalu menjejaskan pengalaman keseluruhan. Saya juga menyukai mesej kecil yang cuba diselitkan filem ini."Jerung menyerang kerana keliru, manusia membunuh kerana tamak." Ayat itu terus bermain di fikiran saya selepas filem tamat.


Ramai yang melihat jerung sebagai pembunuh laut, sedangkan hakikatnya manusia jauh lebih banyak memusnahkan habitat mereka. Tahukah anda, saintis pernah menemui plastik, objek logam dan pelbagai bahan buangan lain di dalam perut jerung sehingga haiwan ini digelar sebagai "tong sampah laut"? Ironinya, manusialah yang sering menjadi ancaman sebenar kepada alam. Secara keseluruhannya, The Bay mungkin tidak menawarkan sesuatu yang revolusioner dalam genre survival jerung. Plotnya masih mengikuti formula yang biasa kita lihat, malah terdapat beberapa bahagian yang agak klise dan sedikit perlahan.
Namun apabila filem mula memasuki fasa survival, ketegangannya berjaya mengekalkan perhatian saya hingga ke penghujung. Ini ialah sebuah popcorn movie yang tidak terlalu berat untuk dihadam, tetapi cukup menghiburkan bagi pencinta filem survival dan thriller. Jika anda sukakan filem seperti 47 Meters Down, The Shallows atau Open Water, besar kemungkinan anda akan menikmati pengalaman bersama The Bay.
Kadangkala kita tidak memerlukan cerita yang rumit. Cukup sekadar sebuah lautan yang luas, bot yang mula tenggelam, dan bayangan sirip yang perlahan-lahan muncul dari permukaan air. Percayalah... itu sudah cukup membuatkan saya berfikir dua kali sebelum turun ke laut lagi. The Bay mula menghuni pawagam seluruh Malaysia bermula 2 Julai 2026. Jadi, ajak kawan atau keluarga, beli tiket awal, dan bersedialah untuk menguji keberanian anda. Cuma satu nasihat... lepas keluar panggung nanti, mungkin anda pun akan jadi macam saya fikir dua kali sebelum terjun ke laut lagi.