'Semua Akan Baik Baik Saja' Hidang Kisah Hangat Tentang Keluarga Saling Memikul Beban Bersama

oleh: zizi hashim

Terkadang ada filem membuatkan saya menangis kerana sedih. Sesetengah filem pula membuatkan saya menangis kerana terlalu mengenali rasa yang sedang dipaparkan di layar. Semua Akan Baik-Baik Saja berada dalam kelompok kedua itu. Sejujurnya, saya sudah bersedia untuk menonton sebuah drama keluarga yang sarat dengan emosi. Namun saya tidak menjangka filem ini akan menyentuh bahagian hati yang selama ini saya simpan kemas. Belum pun cerita benar-benar berkembang, mata sudah mula bergenang. Belum sempat air mata kering, filem ini menghadiahkan pula detik-detik lucu yang membuatkan satu pawagam tertawa bersama.

Belum sempat lama, hati kembali direntap. Begitulah perjalanan emosi sepanjang 113 minit menonton filem ini. Naik dan turun. Ketawa dan menangis. Seperti kehidupan sebenar. Baim Wong yang sebelum ini lebih sinonim dengan filem-filem bergenre seram memilih laluan berbeza kali ini. Hasilnya sebuah naskhah yang terasa sangat manusiawi. Tidak terlalu melodramatik, tidak cuba memaksa emosi, tetapi perlahan-lahan meresap masuk ke dalam jiwa.

Kisahnya bermula selepas pemergian Mentari, anak sulung yang menjadi pengikat kepada sebuah keluarga yang sebenarnya sudah lama retak di sana sini. Langit, lakonan Reza Rahadian, tiba-tiba terpaksa memikul tanggungjawab yang tidak pernah dipintanya. Daripada seorang lelaki yang hidupnya sendiri masih bercelaru, dia kini perlu menjadi tempat bergantung buat tiga anak saudara yang sedang kehilangan arah. Namun keindahan filem ini terletak pada hakikat bahawa Langit bukan seorang wira sempurna. Dia melakukan kesilapan. Dia marah. Dia kecewa. Dia tersalah langkah. Dia manusia biasa. Dan kerana itulah saya begitu mudah mempercayai wataknya.

Reza Rahadian sekali lagi membuktikan mengapa dia antara pelakon terbaik yang dimiliki rantau ini. Langit terasa hidup. Setiap kegelisahan, setiap kekeliruan dan setiap usaha untuk menjadi lebih baik diterjemahkan dengan cukup meyakinkan. Sehingga saat saya menulis ulasan ini, saya masih kagum dan terbayang-bayang babak awal filem ketika Reza ditugaskan untuk menangis. Tangisannya begitu realistik sehingga saya turut teresak-esak dibuatnya, sama-sama merasakan 'kesakitan' yang entah bagaimana dapat dipujuk untuk segera sembuh.

Sebegitu hebat sang Reza Rahadian, namun filem ini tidak hanya bergantung kepada satu watak. Setiap ahli keluarga diberikan ruang untuk bernafas. Christine Hakim sebagai Wida menghadirkan sosok ibu yang tenang tetapi menyimpan seribu luka. Raihaanun dan Ari Irham pula membawa konflik mereka sendiri dengan cukup jujur. Antara lain yang paling mencuri perhatian saya ialah Aquene Aziz Djorghi sebagai Malika. Wataknya menyimpan terlalu banyak kemarahan, terlalu banyak kerinduan dan terlalu banyak persoalan yang tidak pernah terjawab selepas kehilangan ibunya.

Setiap kali Aquene muncul di layar, saya dapat merasakan beban yang sedang dipikul oleh seorang remaja yang dipaksa menjadi dewasa sebelum waktunya. Ada letupan emosi dalam persembahannya. Ada luka yang tidak diucapkan melalui dialog. Dan ada kesunyian yang hanya dapat diterjemahkan melalui pandangan matanya. Saya percaya ramai akan mula menyebut namanya selepas filem ini.

Kemunculan Rahmatullah Nan Alim sebagai Alim juga antara kekuatan terbesar naskhah ini. Apa yang dilakukan Baim Wong dengan memberikan peluang kepada pelakon sindrom Down untuk tampil secara penuh sebagai watak penting harus diberikan penghargaan. Alim bukan hadir untuk meraih simpati. Dia hadir sebagai manusia. Dengan perasaan. Dengan kemarahan. Dengan impian. Dengan hak untuk dicintai dan difahami. Saat Alim tersenyum, saya ikut tersenyum. Saat dia kecewa, saya turut merasa pedih. Hubungan antara Alim dan ahli keluarga lain menjadi antara bahagian paling hangat dan menyentuh dalam keseluruhan cerita.

Apa yang membuatkan Semua Akan Baik-Baik Saja terasa begitu dekat ialah cara filem ini melihat kehidupan golongan pertengahan dan sederhana tanpa menghakimi mereka. Latar rumah susun, kawasan berhampiran rel kereta api, kesibukan warga kota yang sentiasa bergelut dengan masalah kewangan dan emosi, semuanya dipaparkan dengan cukup autentik. Tiada kemewahan yang berlebihan. Tiada romantisasi kesusahan. Hanya kehidupan seperti adanya. Sinematografinya sederhana tetapi penuh jiwa. Kamera sering memerhati dari jauh, seolah-olah memberi ruang kepada watak-watak ini untuk hidup sendiri tanpa gangguan. Visual kawasan perumahan yang padat berjaya mencerminkan sesaknya kehidupan yang sedang ditanggung oleh setiap karakter.

Runut bunyi pula menjadi sahabat baik kepada penceritaan. Lagu Dalam Hitungan daripada .Feast membuka pintu emosi dengan cukup kuat. Kemudian lagu-lagu yang dibawakan Barsena Bestandhi dan Aquene sendiri perlahan-lahan menyelubungi naratif dengan rasa pilu yang sukar dijelaskan. Namun perkara yang paling saya suka ialah bagaimana filem ini memahami bahawa hidup tidak pernah terdiri daripada kesedihan semata-mata.

Di celah-celah tangisan, sentiasa ada ruang untuk ketawa. Di tengah-tengah kehilangan, sentiasa ada momen kecil yang membuat manusia terus bertahan. Sebab itulah elemen komedi dalam filem ini berfungsi dengan baik. Ia tidak terasa dipaksa. Ia terasa seperti kehidupan. Kerana bukankah begitu cara manusia menghadapi luka? Kita menangis, kemudian ketawa. Kemudian menangis lagi, dan hidup tetap terus berjalan.

Menjelang penghujung filem, saya sudah tidak mampu lagi menahan air mata. Bukan kerana filem ini cuba memeras emosi secara berlebihan. Tetapi kerana ia begitu jujur. Tentang keluarga yang tidak sempurna. Tentang manusia yang sering gagal memahami satu sama lain. Tentang cinta yang kadangkala hadir dalam bentuk yang paling tidak kita sedari. Dan tentang hakikat bahawa setiap orang sebenarnya sedang memikul beban masing-masing.

Semua Akan Baik-Baik Saja tidak menjanjikan pengakhiran yang ajaib. Ia tidak menawarkan penyelesaian mudah terhadap semua masalah kehidupan. Sebaliknya, ia mengingatkan bahawa penyembuhan memerlukan masa. Bahawa kehilangan akan sentiasa meninggalkan bekas. Dan bahawa manusia mampu bertahan kerana adanya orang-orang yang memilih untuk tetap tinggal.

Usai kredit penutup bergulir, saya duduk seketika. Membiarkan segala rasa yang terkumpul perlahan-lahan reda. Lalu saya teringat satu perkara. Kadangkala kita tidak memerlukan jawapan untuk semua persoalan hidup. Kadangkala kita hanya perlu seseorang yang memegang bahu kita dan berbisik perlahan,"Tenanglah... semua akan baik-baik saja."

Sebuah drama keluarga yang hangat, jujur, lucu, menyakitkan dan sangat manusiawi. Antara filem paling menyentuh hati tahun ini. Tayangan bermula di pawagam Malaysia pada 18 Jun 2026. Bawalah tisu secukupnya. Percayalah, ada kemungkinan anda akan ketawa, menangis, kemudian ketawa semula sebelum keluar dari pawagam dengan hati yang sedikit lebih ringan daripada ketika masuk. Yang pastinya mata saya bengkak menangis, habis stok tisu dibuatnya!

Comments
* The email will not be published on the website.