Hancur Di Sebalik Topeng Harmoni, 'Suamiku Lukaku' Pancing Emosi Bikin Satu Panggung Marah

oleh: zizi hashim

Sekilas lampu pawagam mulai malap, saya menyangka Suamiku Lukaku hanyalah sebuah lagi drama rumahtangga yang cuba memancing air mata, berdasarkan trailer rasmi. Malah sebelum menonton, saya sudah mendengar pelbagai reaksi tentang filem ini. Ada yang kata terlalu berat. Ada yang kata terlalu menyakitkan. Di saat saya sangat teruja, anak lelaki saya pula sebaliknya. Dia sempat pesan jangan ajak dia menonton filem ini sehingga saya terpaksa berbohong.

Dan ketika tiba di pawagam, dia kesal kerana saya menjebak dia dan tidak dapat lari lagi dari harus menontonnya bersama saya. Namun selepas hampir satu jam berlalu, saya faham mengapa anak saya dan ramai orang memberikan reaksi sebegitu. Suamiku Lukaku bukan filem yang cuba menakutkan penonton dengan hantu atau makhluk ghaib. Sebaliknya ia memperlihatkan sesuatu yang jauh lebih menggerunkan: manusia yang menyakiti orang yang paling menyayanginya.

Kisahnya mengikuti perjalanan Amina lakonan Acha Septriasa, seorang wanita yang hidup dalam tekanan selepas berkahwin dengan Irfan Khalid. Dari luar, Irfan tampak sempurna. Ramah, berkarisma dan dihormati. Namun sebaik sahaja pintu rumah tertutup, wajah sebenar lelaki itu muncul. Amina menjadi mangsa penderaan yang berpanjangan, sambil berusaha menjaga anak mereka, Nadia, yang sedang berhadapan masalah kesihatan serius. Apa yang membuatkan saya sukar melepaskan perhatian daripada layar ialah bagaimana filem ini membina rasa sesak itu perlahan-lahan. Tiada keperluan untuk adegan berlebihan. Setiap kata-kata manipulatif, setiap renungan dingin dan setiap tindakan Irfan terasa cukup untuk membuat darah penonton mendidih.

Dan di situlah kekuatan terbesar filem ini. Baim Wong benar-benar memberikan persembahan yang mengejutkan. Saya sudah biasa melihatnya dalam pelbagai karakter, tetapi watak Irfan terasa seperti sesuatu yang lain. Lakonannya begitu bersahaja sehingga menyeramkan. Dia tidak perlu menjerit setiap masa untuk menimbulkan rasa takut. Kadangkala hanya melalui pandangan mata yang kosong dan dingin sudah cukup membuatkan satu panggung menjadi sunyi. Sepanjang tayangan, saya sempat mendengar beberapa penonton di sekitar saya mengomel geram setiap kali Irfan muncul. Ada yang menggeleng kepala. Ada yang mengeluh panjang. Reaksi spontan itu sebenarnya membuktikan betapa hidupnya karakter tersebut.

Acha Septriasa pula membawa Amina dengan penuh kejujuran. Dia menghadirkan seorang wanita yang patah tetapi belum sepenuhnya menyerah. Ada saat-saat saya melihat ketakutan pada wajahnya, namun dalam masa yang sama terselit sisa keberanian yang masih bertahan. Beberapa adegan emosinya benar-benar menyentuh hati, terutama ketika melibatkan hubungan antara Amina dan Nadia. Salah satu babak yang paling melekat dalam ingatan saya ialah ketika Amina memeluk Nadia yang semakin lemah akibat tekanan dan trauma yang menghimpit kehidupan mereka.

Tiada dialog panjang. Tiada muzik yang memaksa penonton menangis. Hanya seorang ibu yang cuba menahan runtuhnya dunia di hadapan anak yang paling disayanginya. Babak itu terasa begitu manusiawi. Kemunculan Raline Shah sebagai Zahra pula memberi sedikit cahaya dalam perjalanan yang suram itu. Wataknya menjadi simbol harapan bahawa masih ada ruang untuk bangkit, walaupun jalan menuju kebebasan sering kali dipenuhi ketakutan dan keraguan. 

Dari sudut teknikal, filem ini juga berjaya menyokong emosi yang ingin disampaikan. Sinematografinya tidak terlalu mewah tetapi sangat berkesan. Penggunaan ruang sempit, pencahayaan suram dan sudut kamera yang sering memerangkap Amina dalam bingkai tertentu membuatkan penonton turut merasakan tekanan yang sedang ditanggungnya. Colour grading yang cenderung kelam dan pudar memperkuatkan rasa terkurung yang menjadi nadi utama cerita. Setiap ruang rumah terasa dingin walaupun dihuni sebuah keluarga. Seolah-olah kebahagiaan telah lama meninggalkan tempat itu.

Muzik latar pula digunakan secara sederhana tetapi tepat pada waktunya. Tiada percubaan untuk memanipulasi emosi secara berlebihan. Sebaliknya, alunan skor yang lembut dan pilu menjadi bayang halus yang menemani setiap luka yang sedang terbuka di layar. Memang terdapat beberapa bahagian yang terasa sedikit melodramatik dan mengingatkan saya kepada naskhah televisyen. Hubungan antara beberapa watak sampingan juga kadangkala kelihatan terlalu didramakan. Namun kelemahan itu tidak cukup besar untuk meruntuhkan impak keseluruhan filem. Tambahan pula, beberapa plot twist yang muncul berjaya menghidupkan semula momentum cerita.

Apa yang paling saya hargai ialah keberanian filem ini mengangkat isu keganasan rumah tangga tanpa cuba mempermaniskannya. Suamiku Lukaku mengingatkan kita bahawa ramai mangsa memilih untuk terus diam bukan kerana mereka lemah, tetapi kerana mereka terperangkap dalam ketakutan, tekanan sosial dan kekurangan pilihan. Lebih menyakitkan, luka yang ditanggung bukan hanya milik pasangan, tetapi turut diwariskan kepada anak-anak yang membesar dalam persekitaran penuh trauma.

Menjelang babak kemuncak ketika Amina akhirnya menemukan suaranya selepas bertahun-tahun hidup dalam ketakutan, saya dapat merasakan seluruh panggung memberi perhatian yang tidak berbelah bahagi. Saat itu bukan sekadar pertelingkahan antara suami dan isteri. Ia adalah pertembungan antara ketakutan dan keberanian. Antara diam dan kebebasan.

Suamiku Lukaku mungkin bukan filem yang mudah ditonton. Ada adegan yang mengganggu emosi. Ada momen yang membuatkan dada terasa berat. Namun justeru itulah filem ini penting. Kerana sesetengah luka tidak meninggalkan kesan pada kulit. Ia tinggal jauh di dalam jiwa. Dan Suamiku Lukaku memilih untuk memperlihatkan luka itu dengan penuh keberanian.

Dengan durasi sekitar 92 minit serta klasifikasi 16, Suamiku Lukaku hadir sebagai sebuah drama yang sarat dengan mesej kemanusiaan dan kesedaran sosial. Ada babak yang mungkin membuatkan anda tidak selesa. Ada dialog yang mungkin membuatkan anda marah. Ada juga momen yang mampu mengundang air mata. Bermula 4 Jun 2026, datanglah menonton dengan hati yang terbuka. Kerana filem ini bukan hanya sebuah cerita, tetapi sebuah peringatan bahawa setiap mangsa berhak didengar, dilindungi dan diberikan peluang untuk memulakan hidup yang baharu.

Comments
* The email will not be published on the website.