Dari Mangsa Jadi Mafia, 'I'm Not Gangster' Kisah Komedi Tentang Kuasa Yang Tersalah Alamat

oleh: zizi hashim

Percikan mercun dan aroma limau mandarin Tahun Baru Cina 2026 terasa seperti ironi manis saat layar memancarkan I’m Not Gangster, karya kedua layar lebar daripada pasukan Dissy Definition Film Company selepas kejayaan fenomena Close Ur Kopitiam yang mengutip lebih RM13.2 juta dan dinobat sebagai filem Cina Malaysia ketiga tertinggi sepanjang zaman. Kali ini, eksperimen mereka lebih berani dengan menggabungkan komedi, jenayah dan drama dalam satu naskhah berdurasi 96 minit berbahasa Mandarin, bersarikata Bahasa Melayu dan diklasifikasikan 13.

Di bawah arahan sutradara Vince Chong, sosok kreatif yang sebelum ini dikenali melalui video-video viral penuh satira, filem ini terasa seperti lanjutan logik kepada dunia Dissy yang lucu dan sinis tetapi menyimpan renungan sosial yang tidak ringan. Penerbitan bersama oleh Mark Lee menambah graviti komersial, manakala barisan pelakon seperti Song Bill 丧彪, DaHee 大Hee, Adeline Wong 楚琳, Zuvia, Abeyong 培永, Yuriko 籽涵, Anthony Ng, Yuniyce dan Michie menyuntik warna pada naratif yang lincah.

Ah Loong, protagonis yang digarap sebagai lelaki biasa bekerja di kedai serbaneka, digambarkan seolah-olah tidak wujud dalam peta sosial sekelilingnya. Dia diremehkan, dipandang enteng, dan hidupnya bergerak tanpa sorotan. Satu malam yang kelam menukar segalanya apabila dia secara tidak sengaja menyelamatkan Hao Lian, ketua sindiket “Yi Qi”. Pada detik akhir hayat, Hao Lian menyerahkan kod dan simbol rahsia yang menjadikan Ah Loong pewaris takhta dunia gelap.

Premis ini terdengar seperti komedi tak masuk akal, namun di situlah kekuatannya. Lelaki yang sepanjang hidupnya ditekan tiba-tiba diberi peluang untuk menulis takdir sendiri. Berbekalkan akal biasa dan logika harian, jauh berbeza daripada budaya ganas sindiket, Ah Loong mula mengemudi operasi. Anehnya, pendekatan konvensionalnya membuahkan hasil. Sindiket berkembang pesat. Keuntungan meningkat. Penghormatan yang dahulu mustahil kini hadir dengan mudah.

Rasa dihargai itu, bagaimanapun, perlahan-lahan berubah menjadi ketagihan. Transformasi Ah Loong daripada pekerja timid kepada ketua mafia yang inovatif tetapi semakin dingin terasa seperti penolakan terhadap segala label yang pernah dilekatkan masyarakat kepadanya. Filem ini mengamati perubahan itu dengan lensa yang tajam. Setiap keputusan kecil menjadi batu loncatan menuju identiti baharu.

Satira menjadi nadi yang menghidupkan perjalanan ini. Babak pembukaan menyindir lembaga penapisan dengan adegan dua geng yang hampir bertempur, sebelum senjata tajam mereka tiba-tiba bertukar menjadi bantal dan mainan lembut atas “nasihat” pegawai penapisan yang muncul secara metafora dari langit. Adegan itu lucu, tetapi juga komentar berani terhadap batas kreativiti dan sistem yang huru-hara.

Lebih jauh daripada sekadar jenaka, filem ini menyelit kritikan terhadap taktik lintah darat yang kejam. Ah Loong memilih manipulasi emosi berbanding cat merah dan ancaman fizikal menggunakan rasa bersalah dan tekanan psikologi sebagai alat. Pendekatan itu mungkin kurang berdarah, namun tetap mempersoalkan moraliti kuasa.

Ketika keuntungan meningkat, bayang-bayang konflik dalaman, kecurigaan polis dan sabotaj geng saingan semakin menghimpit. Naratifnya berkembang menjadi pertarungan antara kebetulan dan konspirasi. Apakah penyelamatan malam itu benar-benar tidak disengajakan? Atau semuanya telah dirancang untuk meletakkan Ah Loong sebagai bidak dalam permainan lebih besar?

Plot twist di penghujung filem merobohkan persepsi yang telah dibina sejak awal. Rasa marah dan tidak percaya yang mungkin timbul itulah yang menjadi inti eksperimen ini, sebuah peringatan bahawa garis antara mangsa dan penjahat sangat tipis. Saat kredit akhir berputar, satu kesedaran merayap perlahan. Hidup barangkali bukan soal takdir semata-mata, tetapi rangkaian sebab dan akibat yang dibentuk oleh pilihan kecil. Ah Loong mungkin watak fiksyen, namun cerminan yang dipantulkannya terasa nyata.

Sebagai filem komedi jenayah sempena musim perayaan, I’m Not Gangster menggabungkan hiburan dan komentar sosial dengan rentak yang ringan tetapi berlapis. Ia mengangkat persoalan klasik: jika peluang menjadi kaya dan berkuasa datang melalui jalan yang salah, adakah kita cukup teguh untuk menolaknya?

Sudah mula menemui penonton di seluruh pawagam Malaysia sejak 19 Februari 2026. Penuh humor nakal, sindiran tajam dan plot twist yang menguji persepsi, I’m Not Gangster menjanjikan pengalaman tontonan yang menghibur tetapi tetap meninggalkan gema renungan.Ayuh ke pawagam terdekat. Bawa keluarga, ajak sahabat, dan rasai sendiri bagaimana satu pilihan mampu mengubah seluruh takdir.