
oleh: zizi hashim
Persoalan yang ditinggalkan filem ini jauh lebih menakutkan daripada sebarang makhluk yang muncul sepanjang hampir 1 jam 36 minit durasi tayangannya. "Dah dapat, kenalah bayar balik." Ayat itu kedengaran ringkas, namun semakin lama saya memikirkannya, semakin besar maknanya. Seluruh perjalanan filem Riba sebenarnya berputar pada satu hakikat yang sering manusia lupa. Tiada apa yang datang secara percuma apabila jalan yang dipilih bertentangan dengan kehendak Tuhan.
Filem air tangan sutradara Adhe Dharmastriya terbitan Verona Pictures ini diadaptasi daripada thread viral Getih Anak karya Mitologue yang pernah menggemparkan pengguna media sosial di Indonesia. Namun menariknya, naskhah ini tidak menjadikan kisah viral itu sekadar bahan seram untuk mengutip jeritan penonton. Sebaliknya, ia berkembang menjadi sebuah tragedi kemanusiaan tentang seorang ayah yang perlahan-lahan kehilangan dirinya sendiri akibat keputusan yang dibuat ketika dihimpit kesusahan.


Sugi, lakonan Ibrahim Risyad, hanyalah seorang pengepul tembakau di sebuah desa terpencil di Jawa Tengah. Hidupnya sederhana. Bersama isterinya Rohmah (Fanny Ghassani), dua cahaya mata mereka, Dimas dan Bening serta ibu mentuanya Lastri (Jajang C. Noer), keluarga kecil itu sebenarnya tidak meminta banyak daripada kehidupan. Mereka sekadar mahu hidup tenang. Namun apabila hutang riba mula menghimpit dan tekanan hidup semakin membesar, manusia mula melihat jalan singkat sebagai penyelesaian. Sugi akhirnya menerima tawaran ritual terlarang yang dikenali sebagai Getih Anak, sebuah ilmu hitam yang menjanjikan kekayaan dengan harga yang terlalu mahal untuk dibayar.
Saat itulah kehidupan mereka mula berubah menjadi mimpi ngeri. Apa yang saya suka tentang Riba ialah keberaniannya untuk tidak terburu-buru menakutkan penonton. Babak awal terasa seperti drama keluarga biasa. Pengarah membina hubungan antara setiap watak dengan cukup teliti sehingga saya benar-benar peduli terhadap keluarga ini sebelum segala-galanya mula runtuh. Pendekatan slow burn itu membuatkan setiap detik seram selepasnya terasa jauh lebih menyakitkan. Apabila gangguan mula muncul, ia tidak bergantung sepenuhnya kepada jumpscare. Sebaliknya, ketegangan dibina melalui suasana, bunyi, pencahayaan serta rasa bersalah yang perlahan-lahan memakan jiwa watak utama.


Ya, memang ada beberapa jumpscare yang buat saya terkejut. Gore juga tidak kurang ganasnya. Percikan darah, tubuh disiat dan beberapa visual yang dipaparkan benar-benar membuatkan saya mengalihkan pandangan buat seketika. Dengan klasifikasi 18+, saya faham mengapa filem ini diletakkan dalam kategori tersebut. Namun kalau menurut saya, unsur seram paling mengganggu bukanlah gore atau makhluk ghaib. Yang paling menyeramkan ialah bagaimana ketamakan dan keputusasaan mampu mengubah manusia menjadi hamba kepada sesuatu yang pada awalnya disangka penyelamat.
Di sinilah saya melihat kecerdikan naskhah ini. Ramai mengenali riba sebagai bunga pinjaman atau hutang yang diharamkan dalam Islam. Tetapi filem ini memperluaskan maksud tersebut kepada sesuatu yang lebih besar. Seolah-olah kehidupan ini sendiri mempunyai sistem "riba" yang tidak kelihatan. Setiap nikmat yang diperoleh melalui jalan yang salah akhirnya tetap akan menuntut bayaran. Kalau kita bermain permainan tanpa memahami peraturannya, lambat-laun kita tetap akan kalah. Itulah metafora yang saya tangkap sepanjang menonton filem ini.


Secara peribadi, saya suka bagaimana unsur Islamik diselitkan tanpa terasa seperti sedang mendengar ceramah. Pengajaran tentang syirik, pergantungan kepada Allah dan bahaya menghalalkan cara hadir secara organik melalui perjalanan hidup Sugi sendiri. Sesukar mana pun kehidupan, pertolongan tetap perlu diminta daripada Tuhan, bukan daripada jalan yang memesongkan akidah. Dari sudut lakonan pula, Ibrahim Risyad memberikan persembahan yang sangat meyakinkan. Dia berjaya membuatkan saya bersimpati terhadap Sugi walaupun saya tahu setiap keputusan yang dibuatnya semakin membawa keluarganya ke arah kehancuran. Wataknya tidak lahir sebagai manusia jahat. Dia hanyalah seorang ayah yang terlalu takut gagal melindungi keluarganya.
Fanny Ghassani pula tampil cukup menyentuh sebagai Rohmah. Ada beberapa babak yang hanya bergantung kepada riak wajahnya, namun emosi itu tetap sampai kepada penonton. Jajang C. Noer seperti biasa membawa karisma yang sukar dinafikan, manakala Kevin Danu berjaya menghidupkan watak Dimas dengan cukup natural. Saya juga benar-benar benci melihat watak Pak Haji lakonan Wafda Saifan. Dan apabila penonton membenci sesuatu watak, itu bermakna pelakonnya telah berjaya.


Dari aspek teknikal, saya cukup mengkagumi gerakan kamera dan transisi yang sangat lembut. Banyak camera movement terasa begitu lancar sehingga membantu penceritaan tanpa mengganggu fokus penonton. Sinematografi Fajar Bagaskara berjaya memanfaatkan pencahayaan lampu teplok, kabus malam, kebun tembakau serta rumah-rumah desa yang sunyi untuk menghasilkan visual yang terasa autentik. Runut bunyi hasil sentuhan Rahung Nasution pula menjadi antara kekuatan terbesar filem ini. Gabungan gamelan tradisional dengan susunan muzik moden mencipta suasana yang benar-benar menghantui. Kadangkala hanya bunyi angin dan bisikan perlahan sudah cukup membuat bulu roma saya meremang.
Cuma kalau ada sedikit kekurangan, saya rasa beberapa kesan visual CGI masih belum benar-benar meyakinkan. Ada babak yang kelihatan cantik, tetapi ada juga yang sedikit mengganggu pengalaman menonton. Nasib baik kelemahan tersebut tidak terlalu besar sehingga merosakkan keseluruhan filem. Penghujung ceritanya juga mungkin tidak akan memuaskan semua orang. Saya sendiri merasakan ada beberapa watak yang sepatutnya menerima balasan lebih setimpal. Namun secara keseluruhannya, pengakhiran itu masih logik dan selari dengan tema utama filem. Apa yang kita pilih, akhirnya kitalah yang perlu membayarnya. Riba bukan filem seram yang hanya mahu membuat penonton menutup mata setiap lima minit. Ia sebuah naskhah yang menggunakan seram untuk menyampaikan refleksi tentang ketamakan, tekanan ekonomi, akidah dan pilihan hidup manusia.
Saya keluar dari pawagam bukan hanya dengan rasa takut. Saya keluar dengan rasa insaf. Kadangkala hantu yang paling menggerunkan bukanlah makhluk yang muncul dari alam ghaib. Sebaliknya dosa yang kita sendiri jemput masuk ke dalam kehidupan. Jika anda sukakan filem seram yang mempunyai lapisan cerita, elemen Islamik, sedikit gore, misteri dan pengajaran yang masih bermain dalam kepala selepas kredit akhir tamat, Riba memang antara filem yang patut diberi peluang.
Jangan lupa saksikan Riba yang mula menghantui pawagam Malaysia bermula 25 Jun 2026. Datang dengan hati yang bersedia... sebab filem ini mungkin membuatkan anda pulang dengan lebih banyak renungan daripada rasa takut.