Akibat Cabaran Teknologi, 'Toy Story 5' Cari Gali Semula Kewujudan Imaginasi Zaman Kanak-Kanak

oleh: zizi hashim

Kalau menurut saya, Toy Story 5 hadir kali ini bukan untuk menghiburkan semata-mata, tetapi mengajak kita menoleh ke belakang dan bertanya, bilakah kali terakhir kita benar-benar bermain, berimaginasi dan menikmati zaman kanak-kanak tanpa gangguan sebuah skrin? Pertanyaan itulah yang berlegar dalam fikiran saya sepanjang menonton filem animasi ini. Selepas empat filem terdahulu seakan-akan sudah menutup perjalanan francais ini dengan begitu sempurna, saya sendiri pada awalnya tertanya-tanya sama ada Pixar benar-benar masih mempunyai cerita yang wajar diceritakan. 

Rupanya saya silap. Kali ini mereka tidak lagi berbicara tentang perpisahan antara pemilik dan permainan. Mereka membawa persoalan yang jauh lebih dekat dengan realiti hari ini: apa akan terjadi apabila dunia perlahan-lahan berhenti mempercayai kuasa imaginasi? Bonnie kini semakin membesar. Masa yang dahulunya dipenuhi ketawa bersama Woody, Buzz dan Jessie kini digantikan dengan telefon pintar, skrin digital dan dunia maya yang semakin menguasai perhatian kanak-kanak.

Pixar tidak pernah meletakkan teknologi sebagai musuh. Yang dipersoalkan ialah bagaimana manusia memilih menggunakannya sehingga tanpa sedar, ruang untuk berkhayal dan bermain semakin mengecil. Saya suka cara Andrew Stanton dan Kenna Harris membina konflik itu. Tiada ceramah panjang, tiada dialog yang cuba mengajar penonton. Mereka sekadar memperlihatkan perubahan yang berlaku di hadapan mata kita setiap hari. Dan anehnya, ia terasa jauh lebih menyedihkan. Jika sebelum ini Woody menjadi nadi utama francais, kali ini giliran Jessie mengambil alih keseluruhan emosi cerita. Saya benar-benar gembira melihat keputusan itu.

Jessie bukan cuba menggantikan Woody, tetapi melengkapkan legasi yang telah dibina sejak sekian lama. Dia kekal ceria, optimis dan penuh harapan, namun jauh di sudut hatinya tersimpan kegusaran tentang masa depan dirinya serta semua permainan yang semakin dilupakan. Perjalanan Jessie terasa sangat manusiawi. Dia memimpin bukan kerana dirinya paling kuat, tetapi kerana dia enggan menyerah kepada keadaan. Ada satu babak menjelang penghujung filem, hanya Jessie, sebatang pokok dan keheningan yang panjang, yang membuat saya benar-benar terdiam. Tanpa dialog, tanpa muzik yang memaksa emosi, Pixar berjaya menyampaikan sesuatu yang sangat besar tentang kasih sayang, memori dan erti sebuah pengorbanan.

Bagi saya, itulah antara babak terbaik pernah dihasilkan Pixar dalam tempoh sedekad ini. Satu lagi adegan yang sukar saya lupakan ialah ketika empat orang kanak-kanak berada dalam bilik yang sama, namun masing-masing tenggelam memandang skrin sendiri. Tiada siapa berbual. Tiada siapa bermain. Tiada siapa berimaginasi. Kamera sekadar memerhati dari sudut pandang alat permainan yang hanya mahu disentuh sekali lagi. Saya akui, babak itu terasa sangat menyentuh kerana ia begitu dekat dengan realiti kehidupan hari ini.

Humornya pula masih kekal menjadi kekuatan utama siri ini. Kehadiran sekumpulan Buzz Lightyear yang tersesat ketika bertemu sebuah keluarga yang sedang berkhemah benar-benar menceriakan suasana. Gelagat mereka menghidupkan semula komedi klasik Toy Story yang ringkas tetapi sentiasa menjadi. Ketawa dan air mata datang silih berganti tanpa pernah terasa dipaksa. Dari sudut visual, Pixar sekali lagi membuktikan mengapa mereka masih berada dalam kelas tersendiri. Setiap tekstur fabrik Jessie, pantulan cahaya pada mata Buzz, dedaunan yang bergoyang ditiup angin hinggalah pencahayaan waktu malam kelihatan begitu hidup. Kemajuan teknologi animasi benar-benar dapat dirasakan jika dibandingkan dengan filem pertama yang muncul pada tahun 1995.

Saya juga menghargai keberanian filem ini memperlahankan rentaknya pada beberapa bahagian. Ia memberi ruang kepada penonton untuk benar-benar menghayati perasaan setiap watak. Pengembaraan, aksi dan komedi tetap hadir, namun semuanya disusun dengan cukup seimbang sehingga emosi tidak pernah tenggelam oleh kemeriahan visual. Apa yang lebih saya kagumi ialah cara Pixar mengangkat persoalan falsafah yang sebenarnya cukup berat. Filem ini tidak memberi jawapan mutlak tentang sama ada teknologi itu baik atau buruk. Mereka sekadar mengajak kita berfikir; apakah yang sedang kita hilangkan apabila imaginasi semakin digantikan oleh budaya penggunaan tanpa henti?

Persoalan itu terasa begitu relevan untuk ibu bapa, pendidik dan juga generasi yang membesar bersama Woody dan Buzz suatu ketika dahulu. Kalau tanya saya, Toy Story 5 sebenarnya lebih banyak berbicara kepada orang dewasa berbanding kanak-kanak. Kitalah yang kini berada di sisi alat permainan itu, memerhati anak-anak membesar sambil berharap mereka masih sempat menikmati zaman kecil yang pernah kita rasai dahulu. Woody memang tidak lagi mendominasi cerita seperti dahulu, namun keputusan memberi ruang kepada Jessie ternyata sangat tepat. Ia menjadikan keseluruhan francais terasa terus berkembang tanpa mengkhianati identitinya.

Keluar dari pawagam, saya bawa pulang lebih daripada sekadar rasa nostalgia. Saya bawa pulang bersama saya sebuah peringatan bahawa kenangan paling indah selalunya lahir daripada perkara-perkara kecil seperti bermain di ruang tamu, mencipta dunia sendiri menggunakan imaginasi, dan memeluk alat permainan kegemaran sebelum tidur. Toy Story 5 mengingatkan saya bahawa membesar ialah sesuatu yang pasti, tetapi kehilangan keupayaan untuk berimaginasi adalah satu pilihan. Dan mungkin, itulah mesej paling indah yang pernah cuba disampaikan oleh francais ini sejak tiga puluh tahun lalu.

Andai anda membesar bersama Woody, Buzz dan Jessie, jangan lepaskan peluang untuk kembali 'pulang' kepada kenangan itu. Toy Story 5 kini sedang ditayangkan di seluruh pawagam Malaysia bermula 17 Jun 2026. Percayalah, ada kenangan yang hanya boleh dihidupkan semula di layar perak. Terpulang pada cara kita melihat zaman kanak-kanak yang semakin jauh ditelan waktu. Mungkin sudah tiba masanya kita kembali memeluk kenangan itu, meski hanya untuk seketika.

Comments
* The email will not be published on the website.