Gemerlap Aidilfitri tahun ini terasa sedikit berbeza: lebih berani, lebih berwarna, dan sarat dengan nuansa yang tidak dijangka. Lewat karya terbaharunya, Warna Warni Hari Raya, penyanyi Ushera memilih untuk tidak sekadar menyanyi tetapi mencipta pengalaman. Sebuah persembahan eksklusif bertajuk Warna Warni Hari Raya Latin Jazz Style bakal berlangsung di Bobo KL pada 18 April 2026, jam 8.30 malam, menjanjikan malam penuh ritma dan rasa yang tidak klise.
Mengangkat irama latin jazz yang kaya dengan elemen groove dan swing, persembahan ini menampilkan Ushera sebagai vokalis utama, diiringi pemuzik berbakat seperti Ganesh Bala di piano, Omar Ibrahim Azmi di dram, serta Norman Rahman di bass, bakal mencipta lapisan bunyi yang hidup dan penuh karakter.

“Penonton akan dijamu dengan irama yang kaya, semangat perayaan, sedikit groove, sedikit swing… dan semestinya kegembiraan Hari Raya,” ujar Ushera, mengajak peminat untuk bersama merasai pengalaman tersebut. Apa yang menjadikan karya ini lebih menarik ialah perjalanan muzik Ushera sendiri.
Setelah memperkenalkan lagu raya pertamanya Suka Ria Raya pada 2017 dan disusuli Kembali pada 2021 yang bernuansa ghazal tradisional, kali ini beliau kembali dengan pendekatan yang lebih segar: menggabungkan tradisi dengan sentuhan moden yang berani. Lagu Warna Warni Hari Raya sendiri ditulis oleh Ushera, dengan susunan muzik oleh Ganesh Bala yang berjaya menerjemahkan semangat Aidilfitri dalam bentuk yang lebih kontemporari.

Lebih daripada sekadar lagu, karya ini membawa manifesto tentang keberagaman, tentang bagaimana perayaan mampu menyatukan pelbagai latar dan budaya dalam satu ruang yang sama. Visual muzik video pula diperkukuhkan dengan sentuhan pengarah Arnaud Blondel, manakala imej dan gaya disempurnakan melalui kolaborasi bersama pereka fesyen Syomir Izwa Gupta, menjadikan keseluruhan karya ini tampil sebagai sebuah pakej artistik yang lengkap.
Dengan lirik yang ringan tetapi melekat, serta melodi yang mudah diterima pelbagai generasi, Ushera jelas tidak sekadar mahu bersaing, tetapi ingin menghidupkan semula kemeriahan lagu raya dalam bentuk yang lebih luas dan inklusif.

Persembahan ini hanya berlangsung untuk satu malam sahaja, dengan tiket berharga RM100 yang telah mula dijual sejak 18 Mac lalu, satu peluang yang mungkin tidak akan berulang dalam waktu terdekat. Di antara alunan jazz dan semangat raya yang berlapis, malam itu nanti mungkin akan menjadi lebih daripada sekadar persembahan, ia adalah ruang untuk merasa, mengingat, dan merayakan kebersamaan dalam cara yang paling jujur. Jom, jumpa di sana!