oleh: zizi hashim
10 Dec
10Dec

Seakan pintu masa dibuka kembali, pengumuman The Last Kopek: Senariounion 30 Tahun menyentuh ramai dengan sentimen yang sukar diterjemahkan. Nama itu, Senariounion, telah lama menjadi sebahagian daripada memori kolektif rakyat Malaysia, mengisi waktu rehat, malam keluarga dan ruang tawa di rumah sejak pertengahan 90-an. Kini, selepas tiga dekad mencorakkan landskap komedi negara, keenam-enam anggotanya bersedia melangkah ke pentas besar untuk satu persembahan yang digambarkan sebagai ‘penghormatan’, ‘pertemuan semula’, dan mungkin juga, sebuah penutup bab yang sarat makna.

Idea Live Arena bakal menjadi lokasi saksi sejarah itu pada 25 April 2026, dikemudi oleh Dreamscape Events sebagai penganjur, manakala Kapla Entertainment bertindak sebagai penerbit. Lebih istimewa, pentas ini menghimpunkan kembali Azlee Jaafar, Wahid Mohd, Lan Pet Pet, Ilya Buang, Saiful Apek dan Yassin Yahya, enam figura yang telah menemani Malaysia dengan lawak jenaka, sindiran bersahaja, dan karakter-karakter ikonik yang melekat di jiwa penonton. Nama mereka pernah menjadi nadi sitkom paling berpengaruh di TV3, dan momen ini seolah menyatukan semula warisan panjang dengan generasi hari ini.

Suasana nostalgia itu turut dibayangi rasa kehilangan, mengingatkan peminat kepada Hamdan Ramli, seorang anggota asal yang telah meninggalkan dunia pada Januari tahun lalu. Persembahan ini, dalam cara halusnya, juga sebuah dedikasi, seakan ucapan terima kasih kepada seorang sahabat, seorang pelawak, seorang penggerak tawa. Dengan susunan muzik baharu oleh Chaan & The Leman Band, penonton bakal menikmati gabungan nyanyian, sketsa, improvisasi dan nostalgia yang dipersembahkan dalam suasana segar dan penuh emosi. Konsert ini bukan hanya penghargaan kepada legasi Senariounion, tetapi juga pengalaman yang menyatukan peminat lama dan baharu.

Amardip Singh Pannu, mewakili penganjur, menggambarkan acara ini sebagai momen yang akan mengembalikan penonton ke era emas komedi Malaysia. Bukan hanya untuk menghibur, tetapi untuk menghidupkan kembali kehangatan memori melalui sketsa-sketsa yang pernah viral sebelum media sosial wujud, filem-filem yang mencatat box-office, dan lagu-lagu yang melengkapi ‘kehidupan Senario’ seperti Sebelum dan Sesudah, Lip Lap Lip Lap dan Cinta Berkarat. Barisan inilah yang bakal menggema kembali pada malam persembahan, tetapi dengan aura baharu.

Persembahan ini juga dijangka tampil dengan produksi yang lebih matang. Senariounion akan ditemani tujuh pemuzik, lengkap dengan tiga pemain horn dan akordian. Chaan & The Leman Band menggalas tugas sebagai Pengarah Muzik, mempersembahkan susunan semula lagu-lagu lama dengan rasa kontemporari, tanpa menghilangkan semangat asalnya. Ilham pementasan ini tercetus daripada permintaan peminat yang tidak pernah reda. Mereka menunggu begitu lama untuk melihat Senariounion kembali berdiri di pentas berskala besar, sebuah panggung yang benar-benar menghormati karya komedi yang membentuk identiti hiburan rakyat Malaysia sejak 1996.

Bagi peminat tegar, hanya menyebut nama-nama watak seperti “Mat Derih”, “Mat Rambo”, “Wahid Kurus”, “Lan Pet Pet yang hiperaktif”, sudah cukup mencetuskan gelak kecil. Generasi muda pula mengenali mereka menerusi platform digital seperti TikTok, YouTube, meme budaya pop membuktikan bahawa humor mereka merentas masa dan medium. Tidak hairan apabila permintaan terhadap kemunculan semula Senariounion semakin kuat, sehingga terlahirnya persembahan mega ini. Satu malam yang dijanjikan sarat memori, kelucuan, dan kehangatan persahabatan yang bertahan tiga dekad lamanya. Senario tidak pernah berpecah!

Persembahan ini dibayangkan sebagai mesin masa yang membawa penonton kembali ke era sitkom ikonik TV3, ketika jutaan rakyat menunggu setiap episod baharu dengan tawa yang tulus. Kehadiran album sulung Senario pada tahun sama serta deretan filem box-office termasuk Senario The Movie (1999) yang mencatat kutipan RM4.58 juta, membuktikan kedudukan mereka bukan kecil. Mereka menjadi suara sebuah generasi, dan kini, sebuah generasi baharu mula mengenali mereka melalui TikTok dan platform digital lain.

Tiket ditawarkan bermula RM138 hingga RM488, dengan kategori penuh gaya seperti Motor Kapchai, Cinta Berkarat, Lip Lap Lip Lap, Sebelum dan Sesudah, Cinta Sate, Cari Tapak dan Cepat Kaya. Tempahan boleh dibuat melalui www.ilassotickets.com/Senariounion dan www.fantopia.io.Konsert ini turut menerima sokongan daripada Amar Travel & Tour Sdn Bhd, Sunway Putra Hotel, Idea Live Arena, iLasso, Fantopia, Gempak, serta rangkaian radio ERA, Sinar dan THR Gegar sebagai rakan media rasmi.

Pertanyaan yang kini berlegar, mengapa Last Kopek? Adakah ini pentas perpisahan? Reunion terakhir? Atau petanda kepada era baharu? Kata-kata ini bukan jawapan, tetapi undangan. Undangan untuk kembali ke panggung tawa yang membesarkan kita semua.

The Last Kopek: Senariounion 30 Tahun bakal menjadi peristiwa yang menyatukan generasi, daripada pencinta sitkom asal hingga Gen-Z yang menemui semula warisan humor mereka melalui dunia digital. Satu pentas, enam legenda, dan ratusan kenangan yang menunggu untuk dihidupkan kembali. Jumpa di sana ya!

Foto Kredit: Pa Pa Din

Comments
* The email will not be published on the website.