Ini bukan sesuatu yang Mungkinkah Terjadi lagi. Apa yang selama ini mungkin hanya menjadi Nazraku dalam hati peminat akhirnya bakal menjadi kenyataan apabila Spider mengundang seluruh generasi yang pernah membesar bersama muzik mereka untuk berkumpul dalam sebuah perayaan yang diberi nama 'Spideraya'. Tanggal 26 September 2026, Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil bukan sekadar menjadi lokasi sebuah konsert. Ia bakal bertukar menjadi ruang yang menghimpunkan segala Suka Duka Kita sepanjang lebih tiga dekad perjalanan sebuah kugiran yang tidak pernah hilang daripada ingatan peminat.
Daripada era Aladin yang memperkenalkan nama mereka kepada arus perdana, sehinggalah ke Ankabut yang membuktikan Spider masih punya taring dalam dunia muzik tempatan, setiap fasa perjalanan itu akan diraikan dalam satu malam yang dijangka menjadi antara detik paling bermakna dalam sejarah kugiran kelahiran Johor Bahru tersebut. Bagi B7 Resources Sdn Bhd, Spider bukan nama yang perlu dipaksa untuk dipercayai. Mereka tidak perlu Relaku Pujuk sesiapa untuk hadir. Malah tidak perlu mencipta sensasi baharu untuk terus relevan.


Apa yang dimiliki Spider adalah sesuatu yang jauh lebih sukar dibina dalam industri hiburan, iaitu kepercayaan peminat yang terhasil daripada kualiti karya dan kredibiliti yang dipertahankan selama lebih 30 tahun. "Spider tidak memerlukan promosi yang berlebihan untuk mengisi sebuah stadium. Kekuatan mereka sentiasa datang daripada karya mereka." ujar wakil B7 Resources, Khairul Afizi. "Daripada album Ngam Ho yang mengangkat nama mereka ke arus perdana, sehinggalah Ankabut yang membuktikan Spider masih mempunyai bisa meski selepas puluhan tahun berkarya."
Bagi Tam pula, 'Spideraya' bukan sekadar tentang menghimpunkan lagu-lagu lama untuk dinyanyikan bersama. Sebaliknya, ia adalah tentang meninggalkan kesan. Tentang mencipta sebuah sejarah yang akan dikenang bukan sahaja oleh Spider dan peminat, tetapi oleh keseluruhan industri hiburan tempatan. “Spider mahu membawakan konsep perayaan yang tidak akan pernah dilupakan,” katanya. Dan jika melihat kepada senarai lagu yang pernah menjadi soundtrack kehidupan ramai rakyat Malaysia, sukar untuk menolak kenyataan itu.


Spider tidak mengejar trend. Spider tidak berlumba-lumba mencari perhatian. Sebaliknya, mereka membiarkan lagu-lagu mereka melakukan semua kerja tersebut. Barangkali itulah yang membuatkan Spider sentiasa berbeza. Dan lagu-lagu itulah yang akhirnya membawa ke terciptanya 'Spideraya'. Menurut Khai lagi, nama Spideraya dipilih sebagai simbol kepada keseluruhan evolusi muzik Spider yang berkembang bersama peminat selama lebih tiga dekad. Daripada generasi milenial yang membesar dengan Aladin dan Relaku Pujuk, hinggalah generasi Z yang mengenali Kacap Terlabik dan karya-karya lain melalui platform digital, semuanya mempunyai tempat dalam perayaan tersebut.
Sementara itu, Spider sendiri melihat 'Spideraya' sebagai sesuatu yang perlu dilakukan dengan penuh kesungguhan. Bagi Tam, penganjuran konsert besar tidak boleh sekadar berakhir sebagai hiburan semata-mata. Ia perlu meninggalkan impak. Ia perlu mencipta sejarah. Dan yang paling penting, ia perlu memberikan sesuatu yang bermakna kepada peminat yang selama ini tidak pernah berhenti menyokong perjalanan mereka. “Visi dan misi yang dibawa oleh B7 Resources sangat selari dengan apa yang Spider perjuangkan selama ini. Menghiburkan peminat tanpa meninggalkan kesan mungkin mudah. Tetapi apa yang kami sentiasa pentingkan adalah bagaimana sesuatu persembahan itu mampu meninggalkan impak yang baik kepada peminat dan juga industri hiburan secara keseluruhan,” katanya.


Bagi Tam, Spider sentiasa serius terhadap setiap karya dan setiap kemunculan mereka. Justeru 'Spideraya' bukan acara yang dirancang secara sambil lewa. Sebaliknya, ia dibangunkan sebagai sebuah “perayaan” yang diharapkan akan menjadi salah satu momen paling bermakna dalam sejarah perjalanan kugiran tersebut. Dan mungkin itulah cara terbaik untuk menggambarkan 'Spideraya'. Bukan sekadar sebuah konsert. Bukan sekadar tempat untuk menyanyikan lagu-lagu lama, tetapi sebuah malam yang menghimpunkan segala Suka Duka Kita.
Malam yang mengingatkan bahawa ada lagu-lagu tertentu yang tidak pernah benar-benar meninggalkan hidup kita. Malam yang menyatukan semula ribuan peminat yang pernah melalui pelbagai fasa kehidupan bersama karya Spider. Maka apabila lampu Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil mula menyala pada malam 26 September nanti, yang bergema bukan hanya bunyi gitar atau suara Tam. Yang bergema adalah kenangan. Yang bergema adalah perjalanan. Dan yang bergema adalah sebuah kisah yang sudah lebih 30 tahun ditulis bersama oleh Spider dan peminat mereka. Kerana selepas semua yang dilalui bersama, 'Spideraya' akhirnya menjadi bukti bahawa kita memang Kita Satu.

