oleh: zizi hashim
15 Jul
15Jul

Lembayung senja belum pun reda, tetapi gema namanya sudah mula berkumandang di penjuru ibu kota. Setiap langkahnya ke pentas ibarat helaian puisi yang pernah dibacakan berulang kali, tak pernah basi, malah semakin sarat makna. Begitulah hadirnya Bunga Citra Lestari, atau BCL, penyanyi yang tidak hanya menyanyi, tetapi menuturkan cinta dalam bentuk yang paling halus dan paling tulus. Nama yang tidak pernah luput daripada landskap muzik cinta Nusantara, seorang penyanyi yang menyulam kisah hidup, luka dan harapan dalam setiap bait lagu yang dilantunkannya.

Dan kini, denyut itu akan berpadu dalam satu malam yang dinamakan BCL: Eternal Love – Timeless Romance, konsert istimewa yang akan berlangsung pada 27 September 2025 di Plenary Hall, Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC). Dibawakan oleh Pulse Project Asia, konsert ini adalah sebuah perayaan cinta yang akan membalut jiwa dalam helaian-helaian melodi. Di tengah riuh rendah dunia yang sering mempercepat langkah manusia, malam ini dicipta sebagai ruang perlahan. Ruang untuk merasa, untuk mengingati, untuk menyelami detik-detik indah yang pernah dibingkai bersama lagu-lagu BCL.

Dari Cinta Sejati, Karena Ku Cinta Kau, 12 Tahun Terindah, hingga karya terbaharu Memulai Kembali, setiap satunya bagaikan dedaun gugur yang disusun semula menjadi mahkota kenangan. Lebih daripada sekadar panggung, Pulse Project Asia menzahirkan impian ini sebagai sebuah anjakan emosional. Biarpun syarikat ini masih muda dari segi nama, semangat yang menghidupkannya sarat dengan pengalaman dan ketekunan. Mereka bukan sahaja mahu menganjurkan sebuah konsert, tetapi mencipta momen yang akan terpahat sebagai ritual cinta, yang akan dikenang jauh selepas cahaya pentas dipadamkan.

Dalam kata Muhammad Anuar Zaini, pengarah acara yang melahirkan impian ini, getaran pertama saat BCL melangkah masuk ke ruang sidang media bersama Jaclyn Victor dan Dennis Lau sudah cukup membuat bulu roma meremang. Dan itu hanyalah bayangan kecil daripada apa yang bakal terjadi pada malam sebenar. Ya, konsert ini bakal menyatukan 3 figura seni yang tidak asing lagi, Jaclyn Victor, pemilik suara yang bisa menggegarkan dinding batin, serta Dennis Lau, virtuoso biola yang mampu menuturkan kisah tanpa sepatah kata pun. Mereka hadir sebagai penyeri dan menjadi sebahagian daripada naratif agung cinta yang ingin diceritakan semula dalam bentuk yang paling jujur, melalui suara, getaran dawai dan cahaya pentas yang menyatu dalam satu produksi bertaraf dunia.

BCL sendiri menyambut acara ini sebagai sebuah perjalanan pulang. Memang bukan ke tanah airnya, tetapi sudah menjadi ‘rumah kedua’ yang tidak pernah berhenti memeluknya. Malaysia, dengan peminat yang setia menyambut setiap langkah seninya, menjadi medan untuk beliau berbahagi kasih sayang dalam bentuk paling tulus. Lebih sedekad berada dalam hati peminat tempatan, konsert ini adalah hadiah, atau barangkali, jawapan kepada semua cinta yang tidak pernah putus mengalir dari seberang tambak.

Dan seperti cinta yang tidak pernah hadir tanpa kejutan, konsert ini turut menjanjikan pengalaman yang sukar dilupakan. Sebuah pakej eksklusif “Cinta Abadi”, menggantikan kategori VVIP yang klise, telah dirangka dengan layanan mewah: sesi Meet & Greet peribadi bersama BCL, sesi bergambar, dan barangan kenangan yang ditandatangani sendiri oleh beliau. Bagi 300 peminat terawal yang berjaya mendapatkan tiket, mereka akan menikmati pengalaman paling eksklusif, menyaksikan sesi soundcheck langsung sebelum malam konsert bermula, seolah-olah dibenarkan mengintai rahsia di sebalik tirai waktu.

Harga tiket dibuka serendah RM259 (pre-sale) dan RM288 (harga biasa), tersedia secara rasmi melalui Ticket2U bermula 6 Jun 2025, jam 3 petang. Dan sebagai penghargaan kepada penyokong awal, kod diskaun PULSEBCL akan memberikan potongan 10% sehingga 17 Julai, jam 11:59 malam. Namun perlu diingat, kuota tempat duduk promosi amat terhad. Sebaik sahaja habis, ia akan kembali ke harga asal, tanpa kompromi.

Dalam dunia di mana muzik seringkali hilang makna di antara algoritma dan statistik, konsert ini hadir sebagai pengingat bahawa masih wujud ruang untuk keikhlasan, untuk nyanyian yang menyentuh, dan untuk momen yang membuat mata berkaca hanya kerana satu baris lirik. Ia bukan sekadar hiburan malam minggu; ia adalah upacara emosi, satu malam yang mengajak kita jatuh cinta semula kepada seni, kepada diri sendiri, dan kepada kenangan yang hampir kita lupakan.

Jangan sekadar menonton dari jauh. Hadirlah, dan biarkan BCL: Eternal Love – Timeless Romance menjadi malam yang mengukir senyuman di hati anda, selepas pentas ditinggalkan sepi, buat selamanya.

Comments
* The email will not be published on the website.