Gema retro dan keanggunan jazz-pop bakal merayap lembut ke tengah ibu kota Mei ini. “Senandung Ria Di Kuala Lumpur” mengangkat dua nama yang sinonim dengan estetika klasik, White Shoes & The Couples Company serta NonaRia, ke satu pentas eksklusif yang hanya akan berlangsung untuk satu malam. Tarikh 10 Mei 2026 (Ahad) ditetapkan sebagai pertemuan istimewa itu, dengan Zepp Kuala Lumpur dipilih sebagai latar utama. Anjuran ZS Entertainment bersama LampuNeon Entertainment ini dirancang sebagai sebuah pengalaman muzikal yang lebih daripada sekadar persembahan rutin.
Pihak penganjur menggambarkan konsert ini sebagai sebuah perjalanan sinematik yang mengangkat nostalgia, keceriaan dan romantika bandar. “Tema utama konsert ini adalah nostalgia, keceriaan dan romantika bandar, yang mengangkat keindahan muzik retro, jazz-pop ringan dan elemen sinematik. Kami mahu penonton merasai pengalaman yang membawa mereka kembali ke suasana klasik yang penuh emosi dan warna,” jelas pihak penganjur.


Suasana yang dirancang bukan sahaja meraikan muzik, tetapi turut mengajak hadirin memperlahankan langkah kehidupan moden yang serba pantas.“Kami mahu penonton merasai keindahan setiap melodi dan lirik, dan sejenak melupakan kesibukan harian dan hanyut dalam perjalanan emosi bersama muzik,” tambah mereka. Gabungan White Shoes & The Couples Company dan NonaRia bukan keputusan sembarangan. Kedua-duanya memiliki identiti yang berakar pada bunyi retro, pop klasik dan naratif romantik yang jarang dipertemukan dalam satu pentas berskala penuh.
“Kedua-dua kumpulan ini berkongsi DNA muzik yang seiring, berakar pada bunyi retro, pop klasik dan naratif romantik. Gabungan ini jarang dipersembahkan dan menjadikan konsert ini sesuatu yang unik dan eksklusif,” ujar penganjur. White Shoes & The Couples Company dikenali dengan susunan muzik yang sofistikated serta sentuhan sinematik yang memikat, manakala NonaRia tampil dengan pesona ceria, feminin dan bersahaja yang mencairkan suasana. “Apa yang menjadikan mereka istimewa adalah keupayaan mencipta suasana persembahan yang intim dan juga dekat dengan penonton, walaupun berada di pentas yang berskala besar,” jelas pihak penganjur lagi.


Penampilan kali ini dianggap signifikan buat kedua-dua kumpulan di Malaysia kerana produksi penuh dirancang khusus untuk Kuala Lumpur. Susunan muzik khas, visual berkonsep retro-sinematik, aliran persembahan yang tersusun seperti sebuah cerita serta kemungkinan kolaborasi spontan di atas pentas menjadi antara elemen yang dinantikan. “Kami teruja untuk melihat reaksi penonton terhadap persembahan ini. Setiap susunan muzik, visual dan detik pentas telah dirancang untuk memberi pengalaman yang unik dan tidak dapat dilupakan. Ini lebih daripada sekadar konsert, ia adalah satu perjalanan emosi bagi penonton,” kata pihak penganjur.
Pemilihan Zepp Kuala Lumpur pula bukan tanpa sebab. Ruang ini menawarkan keseimbangan antara skala besar dan rasa intim yang sukar diperoleh di lokasi lain, selain keupayaan teknikal audio-visual yang menyokong konsep persembahan. “Zepp Kuala Lumpur menawarkan keseimbangan sempurna antara skala besar dan keintiman. Akustik yang mantap dan fasiliti canggih memastikan pengalaman penonton benar-benar menyeluruh dari setiap sudut,” jelas mereka.


White Shoes & The Couples Company turut menyatakan keterujaan untuk kembali menyapa peminat tempatan. “Kami sangat teruja untuk kembali ke Kuala Lumpur dan berharap penonton dapat menikmati setiap detik ‘Senandung Ria Di Kuala Lumpur’ bersama kami.” NonaRia pula melihat konsert ini sebagai peluang mengukir memori bersama peminat Malaysia. “Kami tidak sabar untuk berkongsi pentas dan mencipta malam penuh keceriaan bersama penonton Malaysia.”
ZS Entertainment dan LampuNeon Entertainment dalam kenyataan ringkas mereka menegaskan bahawa fokus utama penganjuran adalah pengalaman hadirin. “Konsert ini dirancang dengan teliti untuk memberikan pengalaman yang eksklusif, intim dan bermakna kepada semua yang hadir.”


Konsert “Senandung Ria Di Kuala Lumpur” menawarkan beberapa kategori tiket iaitu Standing (RM200), Category 2 (RM290), Category 3 (RM290) dan VIP Box (1 Pax) berharga RM450. Maklumat lanjut mengenai saluran penjualan tiket akan diumumkan dalam masa terdekat. Mei ini, ibu kota bakal dihiasi cahaya retro, alunan jazz-pop dan romantika bandar yang mengalir lembut. Sebuah malam yang berpotensi menjadi memori panjang buat pencinta muzik yang menghargai estetika klasik dalam nuansa moden.
