Lembaran demi lembaran sejarah muzik Malaysia telah melahirkan ramai bintang yang mewarnai pentas tempatan dan antarabangsa. Namun di sebalik gemerlap lampu sorot, sorakan peminat dan kejayaan yang sering diraikan, tersimpan pelbagai persoalan yang masih belum menemukan jawapan. Soal royalti, peluang kerjaya yang semakin menyempit, kemunculan kecerdasan buatan (AI) serta masa depan generasi baharu penggiat muzik kini menjadi keresahan yang semakin sukar dipinggirkan.
Atas kesedaran itulah Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) bakal menganjurkan Konvensyen Penggiat Muzik pada 21 Jun ini di Restoran Saloma, Kuala Lumpur. Perhimpunan yang dijangka menghimpunkan lebih 200 artis, pemuzik, komposer, penerbit, pengurus artis, ahli akademik dan pemain industri itu dilihat sebagai satu usaha penting untuk membuka ruang dialog yang lebih jujur tentang keadaan sebenar industri muzik negara.

Presiden KARYAWAN, Datuk Freddie Fernandez, berkata konvensyen tersebut bukan sekadar sebuah program perbincangan biasa, sebaliknya platform untuk mencari penyelesaian terhadap pelbagai isu yang telah lama membelenggu industri. “Selama 20 tahun yang lepas, saya nampak banyak perkembangan yang membimbangkan, merisaukan dan juga tidak begitu sihat dalam industri. Kita kena ada pembaharuan dalam industri dan tengok apa yang perlu dibaiki,” katanya ketika sidang media konvensyen berkenaan.
Menurut Freddie, segala pandangan dan cadangan yang dikumpulkan sepanjang konvensyen akan dirumuskan dalam bentuk memorandum sebelum diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kira-kira seminggu selepas acara tersebut berlangsung.Memorandum itu bakal merangkumi pelbagai aspek termasuk pembangunan industri, pendidikan muzik, peluang pekerjaan, bantuan kepada artis, sistem royalti, geran, penganjuran konsert serta penggunaan teknologi AI yang semakin memberi impak kepada landskap muzik global.


Antara topik yang dijangka menjadi perhatian utama ialah isu royalti yang sejak sekian lama menjadi perdebatan dalam kalangan penggiat muzik tempatan. Bagi Freddie, perkara tersebut tidak boleh lagi dianggap sebagai isu sampingan kerana ia melibatkan hak serta kelangsungan hidup ramai pengkarya. Beliau mendedahkan bahawa penelitian terhadap laporan tahunan industri menunjukkan jurang yang cukup besar antara jumlah kutipan yang diperoleh syarikat rakaman dan agihan yang diterima oleh badan artis.
“Kami dapati bahawa dari hampir RM700 juta yang dikutip oleh syarikat rakaman dalam tempoh kira-kira 15 tahun, dari 2002 hingga 2017, hanya sekitar RM20 juta dibayar kepada badan artis.” Pendedahan itu dijangka menjadi antara isu paling hangat yang akan dibincangkan sepanjang konvensyen berlangsung. Ramai melihat angka tersebut sebagai gambaran jelas bahawa sistem sedia ada memerlukan penambahbaikan yang lebih menyeluruh agar penggiat seni menerima pulangan yang lebih adil.


Selain royalti, kemunculan teknologi AI turut menjadi antara kebimbangan terbesar industri ketika ini. Perkembangan pesat teknologi tersebut membuka peluang baharu kepada penciptaan karya, namun pada masa sama menimbulkan pelbagai persoalan mengenai hak cipta, pemilikan intelektual dan kedudukan karya yang dihasilkan dengan bantuan AI.Freddie mengakui masih wujud kekeliruan mengenai perkara tersebut kerana setiap pihak mempunyai tafsiran yang berbeza.
“Sekarang ini ada badan seperti MACP yang kata ia tidak diterima langsung, manakala ada pihak lain pula kata boleh terima separuh. Keadaan itu mengelirukan, jadi kita kena cari jalan tengah, apa yang boleh diterima dan apa yang tidak.” Menurut beliau, pendekatan yang lebih praktikal perlu dicari agar teknologi AI dapat dimanfaatkan tanpa menjejaskan hak pengkarya manusia. “Kalau karya itu menggunakan AI, kita isytiharkan sahaja ia sebagai karya AI dan teruskan. Kenapa perlu ada sekatan penuh? Perkara-perkara sebegini yang kita mahu perjelaskan melalui perbincangan agar mendapat satu keputusan yang tuntas.”


Selain isu royalti dan AI, Freddie turut menegaskan bahawa industri muzik perlu menyediakan lebih banyak peluang serta laluan kerjaya yang jelas kepada generasi muda. Beliau berpandangan ramai bakat baharu masih kabur tentang hala tuju kerjaya dalam industri muzik kerana kurang pendedahan mengenai peluang yang sebenarnya wujud.KARYAWAN juga mahu melihat perbincangan mengenai aspek undang-undang dan peraturan industri diperluaskan agar ekosistem muzik tempatan dapat berkembang secara lebih sihat dan tersusun.
“Kita mungkin akan fikirkan tentang undang-undang berkaitan industri, peraturan dan apakah bantuan yang lebih baik kepada artis-artis untuk mengembangkan kerjaya mereka dalam industri.” Konvensyen sehari itu bakal menampilkan beberapa tokoh industri dan ahli akademik sebagai panel, termasuk aktivis muzik Joe Lee, komposer Dr Moja Salim dan Pengarah Urusan Live Nation Malaysia, Para Rajagopal. Perbincangan akan meliputi topik-topik berkaitan royalti, AI, geran, konsert, pendidikan muzik serta media sosial dan pemasaran digital yang kini menjadi komponen penting dalam pembinaan kerjaya artis moden.


Freddie optimis sambutan terhadap konvensyen tersebut akan mengatasi sasaran awal apabila minat yang ditunjukkan oleh penggiat muzik dari pelbagai sektor semakin memberangsangkan. “Setakat ini saya melihat minat yang sangat tinggi daripada penggiat muzik, termasuk ahli muzik daripada Petronas yang menyatakan hasrat untuk datang. Jadi ia membabitkan pelbagai pihak dalam industri.” Lebih daripada sekadar sebuah konvensyen, pertemuan ini membawa harapan bahawa suara yang selama ini berselerak dapat disatukan menjadi sebuah agenda yang lebih jelas.
Dalam dunia yang semakin dipengaruhi teknologi, perubahan corak penggunaan muzik dan cabaran ekonomi yang tidak menentu, industri muzik Malaysia memerlukan sebuah pelan tindakan yang mampu melindungi penggiatnya tanpa menghalang inovasi. Andai segala cadangan yang bakal dirumuskan berjaya diterjemahkan kepada dasar dan tindakan yang nyata, Konvensyen Penggiat Muzik 2026 mungkin akan dikenang sebagai antara detik penting yang membuka lembaran baharu buat industri muzik tanah air. Sebuah industri yang selama ini menjadi nadi kepada budaya, kreativiti dan identiti Malaysia.
