Kilauan bintang Malaysia terpancar gemilang di Seoul apabila Anna Jobling dinobatkan sebagai penerima Outstanding Asian Star – Malaysia di pentas berprestij Seoul International Drama Awards (SDA) 2025 yang berlangsung di Yeouido KBS Hall, Korea Selatan. Majlis anugerah penuh berwibawa itu turut disiarkan secara langsung menerusi saluran SBS TV, memperlihatkan nama Anna mekar seiring bintang-bintang besar Asia yang diiktiraf di peringkat global.
Kemenangan ini menegaskan kematangan serta daya tarik seorang pelakon muda yang sudah lama berlabuh di hati penonton tanah air. Melalui lakonan berkesan dalam drama Hai Cinta, Dengarkanlah!, Anna bukan sahaja menguasai ruang jiwa peminat Malaysia, malah turut menawan khalayak antarabangsa. Trofi yang digenggamnya kini menjadi saksi bahawa wajah dan suara dari Malaysia mampu menyinar di pentas dunia.
“Saya benar-benar terharu dan amat bersyukur atas pengiktirafan ini. Terima kasih kepada Seoul International Drama Awards kerana membuka ruang untuk Malaysia bersinar di pentas antarabangsa. Kemenangan ini sangat bermakna kerana ia bukan sahaja untuk diri saya, tetapi untuk seluruh peminat, keluarga, serta pasukan produksi yang tidak pernah berhenti menyokong saya. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Tonton dan TV3 kerana sentiasa menjadi sebahagian daripada perjalanan seni saya. Trofi ini adalah kebanggaan bersama, hadiah istimewa yang saya bawa pulang untuk Malaysia,” ujar Anna penuh terharu.
Sebagai meraikan kejayaan bersejarah ini, Tonton memperkenalkan kod promo eksklusif ANNAJOBLING — langganan 3 bulan dengan harga istimewa RM20 bermula 25 September 2025. Melalui tawaran ini, peminat dapat menghayati koleksi khas “Koleksi Pujaan Hati”, yang menghimpunkan karya popular Anna termasuk Melur Untuk Firdaus, Terima Kasih Cinta dan Bella – Bila Cinta Bersatu, selain menonton kembali drama yang melorongkan kemenangan ini, Hai Cinta, Dengarkanlah!.
Buat Anna, kemenangan ini lebih daripada sekadar anugerah, ia ibarat halaman baharu yang menulis cita-cita lebih luas di peta seni antarabangsa. Tekadnya kini jelas: menjadi inspirasi untuk generasi baharu pelakon Malaysia agar berani memeluk impian yang jauh, dan yakin bahawa seni tanah air berhak diraikan di mata dunia. Pada malam bersejarah ini, Anna berdiri megah bukan sahaja sebagai bintang, tetapi sebagai lambang kebangkitan sinema Malaysia di gelanggang global.