oleh: zizi hashim
30 Jul
30Jul

Perlahan-lahan menyelinap ke dalam hati, menjadi teman kepada kenangan, rindu dan perjalanan yang sukar diungkapkan dengan kata-kata. Itulah magis yang dimiliki yung kai, penyanyi alternatif indie-pop yang kembali mengembara ke Asia dengan membawa lebih daripada sekadar sebuah konsert. Kali ini, beliau membawa sebuah perjalanan yang dipenuhi emosi, cerita dan melodi yang pernah menyentuh jutaan pendengar di seluruh dunia. Selepas menamatkan siri jelajah yang mendapat sambutan hangat di Amerika Utara, penyanyi kelahiran Kanada itu bakal kembali ke rantau Asia menerusi stay with the ocean, i'll find you: Asia 2026, yang turut singgah di Zepp KL pada 6 November 2026.

Kuala Lumpur menjadi salah satu daripada sembilan bandar utama dalam jelajah terbesar beliau setakat ini, bersama Shanghai, Bangkok, Singapura, Manila, Taipei, Hong Kong, Seoul dan Tokyo. Jelajah ini bermula di bandar kelahirannya, Shanghai, pada 30 Oktober, sebelum meneruskan perjalanan ke beberapa destinasi utama di Asia. Bagi peminat di Malaysia, persinggahan di Kuala Lumpur menjadi peluang untuk kembali menikmati persembahan penyanyi yang pernah mencipta fenomena menerusi lagu blue, selain karya popular seperti "teach me how to dance" yang dijangka menjadi antara lagu utama dalam senarai persembahan malam itu. 

Mengulas mengenai kepulangannya ke Asia, yung kai tidak menyembunyikan keterujaannya untuk bertemu semula peminat yang sentiasa memberikan sokongan luar biasa. "Asia don't you worry... yung kai is back!!!!!" Sebelum ini, beliau pernah menjelajah Asia pada musim panas 2025 dengan semua tiket habis terjual, sekaligus membuktikan pengaruhnya yang semakin kukuh dalam kalangan pencinta muzik indie-pop di rantau ini.

Di sebalik kejayaan tersebut, perjalanan seni yung kai berkembang dengan cukup pantas sejak kemunculannya pada tahun 2022. Namanya melonjak di peringkat antarabangsa selepas lagu blue menjadi fenomena global pada 2024, mengumpul lebih 2 bilion penstriman serta menerima pensijilan emas di Amerika Syarikat dan Kanada. Album sulungnya, stay with the ocean, i'll find youterus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara nama paling menonjol dalam gelombang baharu muzik alternatif. Tahun ini juga menyaksikan beliau dicalonkan bagi JUNO Breakthrough Artist of the Year, selain membuat penampilan sulung di festival terkenal Head in the Clouds anjuran 88rising.

Keunikan muzik yung kai lahir daripada latar belakangnya yang menggabungkan budaya China dan Kanada. Pengaruh Timur dan Barat diterjemahkan ke dalam karya-karyanya melalui melodi yang lembut, lirik yang introspektif dan susunan muzik yang menghidupkan emosi secara perlahan tetapi mendalam. Gaya inilah yang menjadikan setiap lagunya terasa dekat dengan pendengar tanpa mengira bahasa atau sempadan negara. Bagi mereka yang ingin mendapatkan tiket lebih awal, beberapa fasa jualan telah disediakan.

Artist Presale berlangsung pada 3 Ogos, diikuti Mastercard Presale pada 4 hingga 5 Ogos, sebelum Live Nation Presale dibuka pada 5 Ogos. Jualan umum pula bermula 6 Ogos 2026, jam 11 pagi, menerusi platform golive-asia.com. Tatkala cahaya pentas mula menyinari Zepp KL nanti, yang bergema bukan sekadar rangkaian lagu yang pernah memenuhi carta penstriman. Yang diraikan ialah sebuah perjalanan muzik yang menyatukan jutaan hati melalui melodi yang jujur, emosi yang tulus dan kisah yang sentiasa menemukan jalan pulang kepada mereka yang mendengarnya.

Comments
* The email will not be published on the website.