Langkah seni Noryn Aziz sentiasa punya elemen kejutan. Belum reda gema pengumuman showcase eksklusif This Is Noryn Aziz yang bakal berlangsung di Auditorium DBKL pada 19 September 2025, penyanyi jazz tersohor itu menghadiahkan lagi satu buah tangan iaitu single terbarunya berjudul “Kaki Kiriku”.
Dicipta oleh Reza Salleh bersama Hin Ee Jeng dengan lirik nukilan Reza sendiri, lagu ini menandakan kemunculan Noryn kembali dalam jalur segar yang rancak setelah terakhir kali tampil dengan balada penuh jiwa, Kertas. Apa yang ditawarkan kali ini bukan irama biasa, melainkan sebuah Jazz Joget Revival yang menyulam jazz klasik, ritma joget tradisional, dan aura Parisian jazz.
“Single ini adalah misi kecil saya untuk mengangkat bahasa dan budaya melalui muzik. Saya mahu khalayak merasa, bahasa Melayu itu indah, hidup, dan menyeronokkan,” tutur Noryn yang bertindak selaku Eksekutif Produser bagi projek ini di bawah naungan Moonshine Productions.
Yang paling mengujakan, Kaki Kiriku hadir dengan permainan tongue twister Melayu, “Kakakku kata kuku kakiku kaku, Ku kikis kikis kuku kaki kiriku…” Lirik yang tampak sederhana ini sebenarnya menuntut kelincahan lidah, sekali gus menjadi simbol bahawa bahasa kita kaya dengan ritma dan jenaka.
“Ramai yang akan tersasul, dan memang itu yang saya mahukan,” kata Noryn sambil ketawa kecil. “Ia cara saya meraikan bahasa, bukan sekadar alat komunikasi, tetapi sumber kreativiti.”
Barisan pemuzik yang menghidupkan karya ini juga bukan calang-calang: KJ (drums), Che Wan (double bass), Hady Afro (gitar), serta Farid Izwan (clarinet). Keseluruhan rakaman, adunan dan mastering dikemudi oleh Rozhan Razman di RMP Productions, manakala vokal Noryn dirakam oleh Yee Xing di Little Bad Music MY.
Muzik video Kaki Kiriku arahan Revo dengan sentuhan kreatif Patt Ibrahim pula memperlihatkan sisi visual yang elegan. Dirakam di Limapulo Terrace, Tong Shin, Noryn tampil mempesona dalam persalinan kebaya daripada Collaborate Store, Four Season dan Calvin Thoo. Kebaya, bagi Noryn, bukan hanya pakaian tetapi simbol keanggunan, kekuatan, dan warisan wanita Melayu. “Kebaya itu lambang kita. Saya mahu ia menjadi sebahagian daripada perayaan budaya dalam lagu ini,” jelasnya.
Segala elemen ini akan dipertontonkan secara eksklusif dalam This Is Noryn Aziz, persembahan intim yang hanya menyediakan 500 kerusi. Malam itu akan dibahagikan kepada dua babak, iaitu babak pertama meraikan Jazz & Soul dengan karya asli dari album Fantasi Realiti, Alam Maya, hingga yang terbaru, Kaki Kiriku; babak kedua pula memberi ruang kepada R&B Celebration dengan kolaborasi artis jemputan.
“Showcase ini cerminan diri saya sebagai penyanyi, wanita, dan anak Malaysia. Saya mahu jazz keluar dari stigma eksklusif dan asing, lalu menjadi sesuatu yang hidup, dekat, dan sebati dengan kita semua,” ujar Noryn penuh makna. Dengan naratif visual yang dirancang sinematik, muzik langsung oleh pemuzik handalan, serta ruang intim yang membenarkan setiap nada meresap ke jiwa penonton, This Is Noryn Aziz menjanjikan pengalaman tak terlupakan.
“Bagi saya, ini bukan hanya konsert. Ia sebuah perjalanan emosi, perayaan budaya, dan doa agar generasi baharu terus berani berkarya dalam jazz. Saya mahu muzik ini kekal bernyawa, dan berbunyi seperti kita dengan bahasa kita, ritma kita, jiwa kita,” katanya menutup bicara.Hanya mereka yang berjaya mendapatkan tiket eksklusif bakal menyaksikan Noryn Aziz dalam sisi paling intim, jujur dan penuh pesona. Sebuah malam yang menjanjikan kepuasan, nostalgia, dan juga nafas segar untuk masa depan muzik tanah air.