oleh: zizi hashim
15 May
15May

Tahun berlalu masa berganti, hidup membawa manusia ke arah berbeza, namun ada lagu-lagu tertentu yang tetap tinggal dalam kepala seperti gema lama yang tidak pernah padam. Ada band yang hilang dari atas pentas, tetapi tidak pernah lenyap daripada hati pendengarnya. Bagi peminat muzik alternatif tempatan era awal 2000-an, Disagree adalah salah satu nama itu. Dan kini, selepas lebih sedekad menyepi, mereka akhirnya kembali bersuara.

Kumpulan alternatif rock Malaysia yang pernah membentuk identiti indie progresif rock tempatan itu tampil semula dengan barisan asal terdiri daripada Zahid, Hamka dan Taa menerusi single baharu berjudul "Let's Do It All Again" yang dilancarkan pada 15 Mei 2026. Namun kepulangan ini bukan sekadar nostalgia kosong atau percubaan menghidupkan semula nama lama. Sebaliknya, ia terasa seperti sebuah perjalanan emosi yang tertangguh terlalu lama, satu usaha untuk menyempurnakan kisah yang pernah terhenti tanpa penutup.

“Kami sebenarnya tidak sempat mengucapkan selamat tinggal,” ujar kumpulan itu dalam kenyataan rasmi mereka. Kata-kata tersebut mungkin sederhana, tetapi cukup untuk menggambarkan bagaimana hubungan antara Disagree dan peminat mereka tidak pernah terputus meski masa berlalu begitu lama. Selepas bertahun-tahun membawa haluan masing-masing akibat komitmen keluarga, perubahan kehidupan dan kerjaya, Disagree perlahan-lahan menghilang daripada dunia muzik tanpa benar-benar merancang perpisahan rasmi.

Namun kehilangan itu rupanya terus meninggalkan ruang kosong dalam kalangan peminat yang membesar bersama lagu-lagu mereka. Dan dari rasa itulah lahirnya "Let's Do It All Again", sebuah anthem emosional tentang kepulangan, penyesalan dan penghargaan terhadap mereka yang tidak pernah berhenti percaya kepada band tersebut. Lagu itu mengisahkan perjalanan sebuah kumpulan yang pernah berada di puncak populariti sebelum perlahan-lahan hilang daripada perhatian tanpa sempat mengucapkan selamat tinggal kepada peminat mereka. Namun bertahun kemudian, kesunyian itu akhirnya kembali mengetuk hati mereka sendiri.

Pada terasnya, karya tersebut bukan sekadar lagu kemunculan semula, tetapi sebuah surat maaf yang jujur dan penuh rasa. “Apa yang kelihatan seperti pengakhiran kadangkala hanyalah jeda dalam perjalanan hidup,” jelas mereka mengenai makna di sebalik lagu tersebut.

Dirakam di Malaysia dan Australia, lagu tersebut diterbitkan serta diadun oleh pemenang pelbagai anugerah AIM, Greg Henderson sebelum dimaster oleh pemenang Grammy, Leon Zervos di Studios 301, Australia. Hasilnya ialah sebuah karya alternatif rock yang masih mengekalkan identiti grunge dan emosional Disagree, tetapi kini tampil lebih matang, reflektif dan penuh lapisan penceritaan tentang kehilangan, trauma dan hubungan semula. Bagi generasi yang membesar dengan lagu seperti Crumbs, Suicide Note, Scarecrow Adams, Osaka dan Haley, kemunculan semula ini terasa seperti menemukan kembali sebahagian memori lama yang pernah hilang.

Disagree sendiri pernah menjadi antara nama penting dalam festival rock tempatan seperti Rock The World selain membuka pentas untuk kumpulan antarabangsa seperti Hoobastank dan The All-American Rejects. Sepanjang perjalanan seni mereka, kumpulan ini turut meraih pelbagai pencapaian termasuk tiga kemenangan Anugerah Industri Muzik serta pengiktirafan daripada Universal Music Malaysia sebagai album paling pantas terjual pada tahun 2005.

Kini mereka kembali dengan perspektif berbeza. Tidak lagi mengejar pengiktirafan semata-mata, tetapi mahu membina semula hubungan dengan peminat yang selama ini menjadi sebahagian daripada identiti mereka sendiri. Kemunculan semula ini juga menjadi pembuka jalan kepada album penuh baharu berjudul Black & White in Colour yang bakal mengangkat tema patah hati, trauma, pergolakan dan proses menemukan diri semula selepas kehilangan. Dan mungkin benar kata mereka, jiwa seorang rocker tidak pernah meninggalkan muziknya. Ia cuma diam seketika… sebelum akhirnya pulang semula dengan cerita yang lebih matang untuk disampaikan.

Comments
* The email will not be published on the website.