oleh: zizi hashim
24 Jan
24Jan

Langkah seni Kmy Kmo dan Luca Sickta kembali bertaut dengan akar budaya dan kegelisahan zaman menerusi pelancaran single terbaharu berjudul "Kertas Wangi", sebuah karya rap reflektif yang menyoal nilai kehidupan di tengah dunia yang semakin mabuk material. Pelancaran rasmi single ini berlangsung pada 24 Januari 2026 di Pasar Seni (Central Market), sebuah bangunan warisan yang menjadi saksi denyutan seni dan budaya tempatan sejak puluhan tahun. Pemilihan lokasi ini bukan kebetulan, sebaliknya selari dengan perjuangan Kmy Kmo dan Luca Sickta yang konsisten memartabatkan identiti Melayu dalam bahasa muzik kontemporari.

Majlis tersebut turut menyaksikan penyerahan plak single "Kertas Wangi" oleh Pengarah Urusan Sony Music Entertainment Malaysia, Singapura, Vietnam & Projek Khas Asia Tenggara, Kenny Ong, sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian karya ini. Lebih istimewa, acara pelancaran ini berlangsung seiring penganjuran Hari Kantin by Pasar Seni anjuran Pesta Kita yang diadakan selama tiga hari berturut-turut dari 23 hingga 25 Januari 2026, sekali gus menyatukan muzik, budaya dan komuniti dalam satu ruang yang hidup dan bernafas seni.

"Kertas Wangi" mengangkat metafora wang sebagai simbol dunia material yang sering memukau pandangan dan membutakan nurani. Lagu ini menyelami realiti manusia yang terperangkap dalam tekanan hidup, perlumbaan gaya, serta ilusi kejayaan yang diukur melalui kebendaan. Diterbitkan oleh Sony Music Entertainment Malaysia, karya ini hadir sebagai rap moden yang padat makna, namun tetap mudah didekati melalui susunan muzik kontemporari yang disusun teliti dan berlapis emosi. Menurut Kmy Kmo, inspirasi lagu ini lahir daripada pemerhatiannya terhadap kehidupan seharian yang semakin sarat dengan godaan luaran.

“Inspirasi lagu ini datang daripada apa yang saya lihat dan alami. Kita semua diuji dengan tekanan hidup dan tarikan dunia. Kadang-kadang kita tak sedar, mengejar perkara material boleh mengaburi hati dan nilai budi. Kertas Wangi adalah cerminan diri saya, dan mungkin juga cerminan sesiapa yang mendengarnya,” jelasnya. Luca Sickta pula melihat Kertas Wangi sebagai refleksi kolektif tentang perjalanan manusia.
“Lagu ini bukan hanya pengalaman peribadi. Ia cerita tentang kita semua. Pesan yang saya mahu sampaikan mudah: jangan biarkan dunia material menguasai hati dan jiwa,” katanya.

Keserasian kreatif antara dua seniman ini jelas terpancar sepanjang proses penciptaan. Perbezaan idea tidak menjadi jurang, sebaliknya memperkayakan hasil akhir. Kmy Kmo menumpukan kepada lirik dan makna, manakala Luca Sickta memberi bentuk melalui susunan muzik dan tekstur bunyi.

“Cabaran paling besar ialah menyatukan dua kepala kreatif yang penuh idea. Tapi daripada perbezaan itulah lahir karya yang lebih jujur dan matang,” ujar Kmy. Luca menambah, kerjasama ini terasa organik sejak awal. “Kmy membawa kedalaman kata, saya membina ruang bunyi. Setiap lapisan muzik dan lirik saling menyokong, menjadikan Kertas Wangi terasa hidup dan tulus,” katanya.

Dari segi sonik, "Kertas Wangi" menggabungkan rap moden dengan elemen tradisi Pantai Timur, khususnya nuansa Dikir Barat yang diserap secara halus melalui ritma, harmoni vokal latar dan susunan muzik. Beat yang tegas dipadankan dengan rasa Melayu, menjadikan lagu ini segar tanpa kehilangan jati diri. Rap dipilih sebagai medium kerana sifatnya yang terus terang, jujur dan dekat dengan generasi muda, sekali gus memberi ruang luas untuk menyampaikan mesej sosial dan kerohanian.

Bagi Kmy Kmo dan Luca Sickta, "Kertas Wangi" bukan sekadar sebuah single baharu, tetapi sebuah peringatan untuk berhenti sejenak dan menilai kembali apa yang benar-benar penting dalam hidup.

“Jika lagu ini mampu menyentuh walau seorang pendengar untuk berfikir dan menilai diri semula, itu sudah cukup besar bagi kami,” kata Kmy menutup bicara. Selepas ini, duo ini turut merancang beberapa projek baharu termasuk penghasilan album penuh, menjadikan Kertas Wangi sebagai pembuka kepada fasa seterusnya dalam perjalanan seni mereka. Single “Kertas Wangi” kini boleh distrim di semua platform penstriman digital utama seperti Spotify, Apple Music dan YouTube Music.

Comments
* The email will not be published on the website.